Koronavirus

Images

117 kes tempatan baru COVID-19 di Singapura, termasuk 42 tanpa hubung kait

SINGAPURA: Singapura melaporkan 117 kes tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Sabtu (31 Jul) termasuk 42 kes jangkitan yang tiada hubung kait dengan kes-kes lalu.

Sebanyak 67 kes berhubung kait dengan kes terdahulu dan sudahpun dikuarantin. Lagi lapan yang berhubung kait kes sebelumnya pula dikesan melalui ujian pengawasan.

Dalam kemas kini awal hariannya, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan 26 kes berkait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim manakala satu berhubung kait dengan kelompok KTV.

Kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong kini meningkat kepada 1,025 kes dan kekal sebagai kelompok aktif terbesar di negara ini.

Dalam kalangan kes baru hari ini, tujuh merupakan warga emas berusia lebih 70 tahun yang belum divaksinasi atau sudah menerima dos suntikan pertama dan berisiko menghadapi penyakit serius, menurut MOH.

Sementara itu, MOH melaporkan tiga kes import dan semuanya sudahpun dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di negara ini. Satu kes import dikesan sewaktu ketibaan individu itu manakala lagi dua mengalami penyakit ketika menjalani tempoh SHN atau pengasingan mereka.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 120 kes baru COVID-19 pada Sabtu.

MOH akan mengumumkan maklumat lanjut tentang keadaan COVID-19 di Singapura pada malam nanti.

Setakat Sabtu, Singapura melaporkan jumlah terkumpul sebanyak 64,981 kes COVID-19. 

- CNA/FZ/fz

Top