Koronavirus

Images
  • medical worker ppe dorm
    Kakitangan perubatan dalam peralatan perlindungan peribad di dormitori pekerja asing di Singapura pada 27 Apr 2020. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

1 penghuni dormitori antara 4 kes baru COVID-19 di S'pura

SINGAPURA: Seorang penghuni dormitori yang bekerja sebagai penolong penghantaran adalah antara empat kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Selasa (23 Feb).

Ini adalah kes COVID-19 pertama melibatkan seorang penghuni di sebuah dormitori dalam hampir dua minggu - kali terakhir kes sedemikian dilaporkan adalah pada 10 Feb.

Penghuni dormitori itu adalah satu-satunya kes jangkitan tempatan COVID-19 yang dilaporkan pada Selasa. Tiga lagi kes adalah jangkitan import dan dikenakan notis jangan keluar rumah sebaik tiba di Singapura.

Kes jangkitan tempatan itu adalah seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai penolong penghantaran di Chng Woodworking dan tinggal di dormitori yang terletak di Kranji Way.

Tugasnya adalah memunggah barangan, dan beliau tidak berinteraksi dengan klien-klien, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Beliau dikesan apabila ujian COVID-19 berkumpulan yang dijalaninya pada 21 Feb, sebagai sebahagian daripada ujian rutin berjadual, kembali positif. Ujian swab dilakukan pada 22 Feb dan lelaki itu mula mengalami sakit tekak dan batuk pada hari yang sama.

Beliau disahkan dijangkiti COVID-19 pada 22 Feb dan dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dalam sebuah ambulans.

Siasatan epidemologi sedang dijalankan.

PEMBANTU RUMAH ASING ANTARA KES IMPORT

Selebihnya tiga kes adalah kes import yang dikenakan notis jangan keluar rumah sebaik sahaja tiba di Singapura, menurut MOH.

Salah satu kes import melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Filipina dan merupakan seorang pekerja pembantu rumah asing.

Seorang lagi ialah pemegang pas kerja yang tiba dari UAE dan United Kingdom. Satu lagi kes import melibatkan pemegang pas jangka pendek yang tiba dari India untuk mengunjungi para anggota keluarganya yang merupakan penduduk tetap.

Tiada jangkitan dalam masyarakat dilaporkan.

LAGI 7 KES DIBENARKAN PULANG

Lagi tujuh kes COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan-kemudahan pengasingan masyarakat sekali gus membawa kepada jumlah keseluruhan 59,753 kes yang sudah pulih di Singapura.

Buat masa ini terdapat 19 kes yang masih berada di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih. Satu kes dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Seramai 82 orang diasingkan dan dijaga di kemudahan-kemudahan masyarakat. Mereka hanya mengalami simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19.

- CNA/HA/ha

Top