Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu Cina, ayah India namun pelajar juarai peraduan mengarang dalam Melayu

Memupuk penggunaan Bahasa Melayu sepatutnya dimulakan dari rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Sep 2016 09:31PM Dikemas Kini : 19 Sep 2016 10:04PM

SINGAPURA: Memupuk penggunaan Bahasa Melayu sepatutnya dimulakan dari rumah.

Namun, ia semakin mencabar terutama dalam konteks hari ini di mana mencampur adukkan kedua-dua Bahasa Inggeris dan Melayu menjadi kebiasaan. Sempena Bulan Bahasa, laporan berikut meninjau peranan ibu bapa dalam melestarikan Bahasa Ibunda.

Meskipun ibu berbangsa Cina dan ayahnya pula berbangsa India, ia tidak menghambat Zishan Haq Mohd Yousoof untuk fasih dan cemerlang dalam Bahasa Melayu.

Pelajar Darjah 4 itu menjadi juara untuk peraduan Saya Boleh Mengarang (Peringkat Nasional) bagi Kategori Darjah 3 dan 4, baru-baru ini.

"Pertandingan ini menggalakkan saya untuk membuat yang terbaik untuk karangan kerana usaha tangga kejayaan. Ibu saya sentiasa melatih saya dan ringan tulang supaya saya boleh mendapat markah yang cemerlang untuk peperiksaan karangan saya," katanya.

PROAKTIF DAPAT TIP DARI GURU BAHASA MELAYU

Sungguhpun Bahasa Melayu bukan bahasa utama yang digunakan di rumah, ibu Zishan, Cik Aishah Abdullah sendiri proaktif mendapatkan tip-tip dari guru-guru Bahasa Melayu.

"Saya dan suami saya memilih Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ibunda untuk Zishan Haq kerana saya rasa banyak teks mengenai agama Islam di rantau ini semuanya dalam Bahasa Melayu.

"Saya belajar sendiri, kemudian dengan bantuan cikgu, sokongan-sokongan dengan kakak dan abang Zishan, jadi saya cubalah ajar Zishan sendiri di rumah. Saya menggalakkan dia membaca buku Melayu. Kadang-kadang, kita dengar radio Warna 94.2FM dalam kereta semasa saya hantar atau jemput dia dari sekolah," kata Cik Aishah.

LEBIH RAMAI IBU BAPA HANTAR ANAK KE KELAS BIMBINGAN MELAYU

Menurut penganjur peraduan itu, Nusa Bahasa, yang banyak mengendalikan program pengayaan Bahasa Melayu, lebih ramai ibu bapa kini menghantar anak-anak ke kelas bimbingan Bahasa Melayu.

Pengasas Pusat Nusa Bahasa, Hayati Abdullah, berkata: "Pertama, ibu bapa lebih sedar bahawa markah Bahasa Melayu itu juga sama penting dengan markah-markah subjek lain. Kedua, di rumah agak sukar untuk mereka menggunakan Bahasa Melayu. Jadi, ada keperluan untuk menghantar mereka pada pihak lebih pakar untuk membantu anak-anak mereka."

Seperti Cik Aishah, seorang lagi ibu, Cik Nur Hafyzah Jumee juga menekankan kepentingan untuk fasih dalam kedua-dua bahasa terutama dalam konteks hari ini.

"Dari kecil, kita gunakan Bahasa Inggeris, kita gunakan bahasa yang betul. Ayat itu mesti betul. Jadi kita jangan campur adukkan dan Bahasa Melayu kita terpelihara. Jadi saya rasa jika kita hendak menulis Bahasa yang baik, kita mula dengan membaca. Hanya dengan membaca, kita akan jumpa ayat-ayat yang baik, kosa kata yang luas," ujarnya.

Anaknya, Naurah Khalisah Nasser mendapat tempat pertama bagi peraduan yang sama untuk Kategori Darjah 1 dan 2.

"Di rumah saya selalu cakap Bahasa Melayu dan Inggeris. Saya juga berkongsi jurnal saya dengan ibu saya," ujarnya.

Melalui pertandingan seperti itu, Pusat Nusa Bahasa berharap ia dapat menjadi titik tolak untuk para pelajar semangat berkarya dalam Bahasa Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan