Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee mengenai kejayaan Murali: Bukan setakat kemenangan bagi Bukit Batok

Menyusuli kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Batok, Encik Murali Pillai tidak sabar untuk memenuhi cita-cita besarnya bagi kawasan undi perseorangan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee mengenai kejayaan Murali: Bukan setakat kemenangan bagi Bukit Batok

Calon PAP, Murali Pillai, mencium ibunya selepas sidang media menyusuli keputusan pilihan raya. (Gambar: Linette Lim)

Diterbitkan : 08 May 2016 02:28AM Dikemas Kini : 08 May 2016 03:46AM

SINGAPURA: Menyusuli kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Batok, Encik Murali Pillai tidak sabar untuk memenuhi cita-cita besarnya bagi kawasan undi perseorangan itu.

Beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai "asas yang baik" untuk melakarkan pelan beliau, meskipun jumlah undi yang beralih dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) agak ketara.

"Saya rasa ia adalah satu keputusan yang amat baik," kata peguam berusia 48 tahun dan aktivis veteran akar umbi yang sungguh tersentuh dengan keputusan pilihan raya kecil itu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk Bukit Batok kerana memberikan saya mandat ini."

Encik Murali meraih 14,428 undi atau 61.2 peratus undi.

Ia adalah satu persaingan sengit, dengan calon Parti Demokratik Singapura (SDP) berhasil merapatkan jurang berbanding keputusan Pilihan Raya Umum 2015 apabila calon PAP ketika itu, David Ong memperolehi 73 peratus undi, menewaskan calon SDP Sadasivam Veriyah.

Apabila ditanya mengenai kemerosotan hampir 12 peratusan mata itu, yang lebih besar berbanding pilihan raya kecil 2013 di mana PAP kehilangan Punggol East, Encik Murali berkata: "Berdasarkan pengalaman di Aljunied, saya sudah biasa dengan jurang sedemikian."

"Dari awal lagi, saya ada mengatakan bahawa ini adalah persaingan yang sengit dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini."

Encik Murali adalah sebahagian daripada pasukan PAP yang bertanding di GRC Aljunied yang kalah tipis di tangan Parti Pekerja setelah mendapat 49 peratus undi.

"Tentunya banyak lagi yang perlu dilakukan. Saya akan mula "bekerja esok", kata Encik Murali.

Menulis di laman Facebooknya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Encik Murali sambil berkata pasukannya sudah bekerja keras sepanjang tempoh berkempen, namun tugas mereka yang sebenar bermula sekarang.

IMBAS KEMBALI TEMPOH BERKEMPEN

Sepanjang kempen yang bermula pada 27 April, Encik Murali mengadakan dua rapat berbanding empat yang diadakan oleh Dr Chee. Beliau meluangkan masanya bertemu para penduduk dan mengadakan lawatan dari rumah ke rumah, memilih untuk menjelaskan kepada mereka tentang program-program beliau.

Ini termasuk menubuhkan sebuah koperatif kesihatan, pusat jagaan warga tua yang baru dan program mentor untuk para belia dari keluarga berpendapatan rendah.

Selain itu, beliau turut mendedahkan rancangan untuk menaik taraf kawasan kejiranan Bukit Batok, termasuk taman berbilang generasi dan laluan berbumbung.

Beliau juga meyakinkan penduduk bahawa program-program itu akan disokong oleh keseluruhan rangkaian masyarakat “keluarga besar Jurong” serta sumber-sumber dari Majlis Bandaran Jurong-Clementi.

Sepanjang tempoh berkempen, pengalaman Encik Murali berkhidmat sebagai aktivis selama 16 tahun di Bukit Batok cukup menyerlah – menunjukkan bahawa beliau benar-benar mengenali estet tersebut, komited kepada para penduduk dan melaksanakan program-program.

Beliau juga menerima pengiktirafan daripada Encik Tharman, yang menyifatkannya sebagai “individu yang berwawasan” yang akan memberi khidmat yang baik kepada penduduk.

Pilihan Raya Kecil Bukit Batok diadakan menyusuli peletakan jawatan Encik David Ong pada bulan Mac lalu, kerana menjalin hubungan sulit.

Sebelum Pilihan Raya Umum 2015, kali terakhir Bukit Batok dipertandingkan sebagai SMC adalah pada tahun 1991, apabila Encik Kwan Yue Keng dari parti SDP meraih 48.2 peratus undi, kalah tipis kepada calon PAP Ong Chit Chung.

Kawasan undi itu kemudian menjadi sebahagian daripada GRC Bukit Timah dan kemudian GRC Jurong, sebelum dijadikan SMC sekali lagi pada tahun 2015.

Sumber : CNA/aw/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan