Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilihan Raya Kecil Bukit Batok: Pengundi dinasihati guna pengangkutan awam, jalan kaki ke pusat mengundi

Mereka yang akan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Bukit Batok lusa (7 Mei) dinasihati supaya menggunakan pengangkutan awam atau berjalan kaki ke pusat mengundi jika boleh.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 May 2016 05:24PM Dikemas Kini : 05 May 2016 09:07PM

SINGAPURA: Mereka yang akan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Bukit Batok lusa (7 Mei) dinasihati supaya menggunakan pengangkutan awam atau berjalan kaki ke pusat mengundi jika boleh.

Demikian diumumkan pihak polis hari ini (5 Mei).

Dalam nasihat trafik dan keselamatan bagi Hari Mengundi untuk Pilihan Raya Kecil Bukit Batok, pihak polis turut mendedahkan bahawa kenderaan tidak dibenarkan diletak di pekarangan pusat-pusat mengundi yang ditempatkan di sekolah-sekolah.

“Bagi Pusat Mengundi yang terletak di kolong flat HDB, tempat meletak kereta di bahagian hadapan Pusat Mengundi akan ditutup bagi memudahkan proses mengundi,” menurut pihak polis.

Pada hari Sabtu (7 Mei), tempat-tempat menurunkan penumpang disediakan bagi warga tua atau golongan kurang upaya. Para pemandu boleh meminta bantuan daripada para pegawai pilihan raya yang bertugas, tambah polis.

Orang ramai juga dinasihati supaya jangan berlegar-legar di kawasan pusat mengundi. Para pengundi perlu meninggalkan pusat mengundi sejurus selepas melaksanakan tanggungjawab mereka, menurut polis.

“Bagi memudahkan prosiding pilihan raya, para pegawai polis akan dikerahkan di persimpangan jalan yang terjejas untuk membantu para pengguna jalan raya dan mengawal trafik. Para pemandu tidak dibenarkan meletak kenderaan mereka di tepi jalan raya. Kenderaan yang diletakkan sembarangan atau menghadang laluan jalan raya akan ditunda,” menurut polis.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan