Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murali mahu tubuh koperatif jagaan kesihatan di Bukit Batok

Encik Murali fokus kepada satu perkara utama dalam manifestonya - iaitu jagaan kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 May 2016 04:10PM Dikemas Kini : 02 May 2016 09:25PM

SINGAPURA: Sehari setelah beliau berkongsi tentang program mencari pekerjaan yang diadakan bagi para penduduk Bukit Batok, calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Pilihan Raya Kecil Bukit Batok, Encik Murali Pillai hari ini (2 Mei) menumpukan perhatiannya kepada satu lagi perkara utama dalam manifestonya - iaitu jagaan kesihatan.

Bercakap kepada pihak media setelah sesi bertemu penduduk selama dua jam di kawasan undi perseorangan itu, Encik Murali mendedahkan The Good Life Cooperative sebagai rakan kerja yang akan melaksanakan pelan bagi koperatif jagaan kesihatan di kawasan undi itu.

Sebelum ini, Encik Murali pernah bekerjasama dengan koperatif tersebut untuk membawa khidmat jagaan kesihatan kepada para penduduk Paya Lebar.

"Idea koperatif jagaan kesihatan ini wujud setelah beberapa rundingan dengan para penduduk Bukit Batok. Kami mendapat tahu bahawa penduduk Bukit Batok prihatin tentang kos jagaan kesihatan, khususnya yang berkaitan dengan warga tua serta mereka yang memerlukan rawatan jangka panjang," kata Encik Murali.

"Paya Lebar sebenarnya merupakan estet yang lebih matang berbanding Bukit Batok. Paya Lebar berusia sekitar 40-an tahun berbanding Bukit Batok yang berada dalam lingkungan usia 30-an. Maka anda dapat lihat, jumlah warga tua di Paya Lebar lebih ramai dan di sana saya berpengalaman bekerjasama dengan The Good Life Cooperative." tambah beliau.

BANTU GOLONGAN PERTENGAHAN, WARGA TUA

Encik Murali menjelaskan bahawa terdapat dua tujuan koperatif jagaan kesihatan itu.

Pertama, ia menyasarkan untuk "mengurangkan kos sebahagian keperluan gunaan segera, lebih-lebih lagi bagi golongan pertengahan, kerana mereka tidak menerima jumlah subsidi yang sama seperti golongan berpendapatan rendah".

Kedua, ia bertujuan memperhebat pemahaman penduduk tentang perubatan, khususnya warga tua, untuk membantu mereka "memahami penyakit dengan lebih baik, agar mereka dapat mencegah atau menangguhkan permulaan penyakit menerusi perubahan gaya hidup".

"Saya gembira kerana saya mempunyai pengalaman bekerja dengan Good Life Cooperative di Paya Lebar, di mana menerusi klinik-klinik bergerak yang kami bawakan, dapat mendekati lebih ramai warga tua, lebih-lebih lagi dalam bahasa yang mereka fahami, bukan sahaja Mandarin, malah Hokkien dan Teochew, supaya warga tua lebih mudah memahami mesej yang disampaikan dan juga kami berharap mereka dapat memulakan langkah yang betul untuk memanfaatkan program-program yang kami sediakan dan hidup dengan selesa di usia tua," katanya.

Encik Murali menambah, dana bagi koperatif itu akan ditambah apabila perlu.

"Dari segi bagaimana program itu akan dimulakan, saya boleh memberitahu anda bahawa kami mahu mendampingi seramai mungkin penduduk yang boleh kami bantu. Dari segi jadual - berapa kerap klinik mudah alih itu diadakan, ini adalah perincian yang akan kami susun nanti, namun buat masa ini kami meminta sokongan penduduk Bukit Batok dan berharap mereka boleh memberikan sokongan kepada program ini."

KOPERATIF JAGAAN KESIHATAN TIADA KAITAN POLITIK

Pengerusi Good Life Cooperative, Dr Carol Tan, menekankan bahawa koperatif itu "tiada kaitan politik" dan disokong oleh para doktor dan jururawat yang bergabung demi memberi khidmat kepada masyarakat.

Pakar Geriatrik berusia 54 tahun, dari Hospital Mount Alvernia itu sudah melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan selama 30 tahun.

"Ia bukan sahaja tentang adanya wang untuk membeli sebuah bas (bagi klinik bergerak), kerana jika bas diadakan namun tiada orang yang datang, ia tidak bermakna. Encik Murali bekerjasama dengan kami di Paya Lebar untuk mengumpulkan para pemimpin masyarakat dan juga untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan lain serta membantu kami mendampingi warga tua," kata Dr Tan.

"Anda perlukan para pemimpin masyarakat yang mahu berkhidmat kepada masyarakat. Maka apabila beliau bertanyakan kepada saya bahawa tugas yang dijalankan di Paya Lebar sudah stabil, sama ada saya mahu ke Bukit Batok? Saya katakan 'semestinya'," menurut Dr Tan.

Menurut Dr Tan, koperatif itu memerlukan pemimpin masyarakat seperti Encik Murali untuk menyatukan penduduk supaya ia dapat membeli barangan keperluan secara pukal - bagi barangan seperti vaksin, lampin orang dewasa, susu, vitamin - dengan harga yang lebih rendah.

Ini kemudian boleh diberikan kepada para penduduk.

Koperatif itu kini mempunyai hampir 1,000 anggota di Paya Lebar dan Aljunied.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan