Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murali: Kenali beliau dengan lebih dekat

Ini merupakan kali kedua Encik Murali Pillai, 48 tahun, bertanding dalam pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 May 2016 10:40PM Dikemas Kini : 08 May 2016 01:21AM

SINGAPURA: Pilihan raya kecil Bukit Batok merupakan kali kedua Encik Murali Pillai, 48 tahun, bertanding dalam pilihan raya.

Seorang aktivis akar umbi veteran di kawasan undi itu, beliau bertanding sebagai anggota pasukan PAP di GRC Aljunied dalam pilihan raya umum tahun lalu.

LATAR BELAKANG MURALI PILLAI

Laporan BERITAMediacorp ini mengajak anda mengenali lebih dekat Encik Murali - perwatakan serta penglibatannya dalam politik.

Setelah lama berkhidmat kepada masyarakat, Encik Murali mencuba buat kali kedua untuk memasuki Parlimen.

Semasa pilihan raya umum tahun lalu, Encik Murali menjadi anggota pasukan PAP yang bertanding di GRC Aljunied menentang Parti Pekerja. Pasukan Encik Murali kalah tipis tetapi beliau terus berjuang.

"Politik sebenarnya berkhidmat kepada para penduduk. Saya menyifatkan diri saya sudah biasa dengan hal itu kerana saya sudah menghabiskan agak banyak masa untuk berkhidmat memenuhi keperluan para penduduk. Itu memang menjadi tumpuan saya," kata Encik Murali.

SUDAH LAMA BERKHIDMAT DI BUKIT BATOK

Kawasan undi Bukit Batok tidak asing bagi Encik Murali. Di sinilah beliau mula melakukan kegiatan akar umbi dalam tahun 2000.

Encik Murali menyertai PAP dalam tahun 2001 dan menjadi setiausaha cawangan parti itu di Bukit Batok dari 2007 hingga 2011. Kegiatan akar umbinya termasuk memberi bantuan guaman secara percuma kepada para penduduk.

Encik Murali kemudian berpindah ke GRC Aljunied di mana beliau menjadi pengerusi divisyen Paya Lebar dalam tahun 2012.

Kini beliau kembali ke Bukit Batok dan Encik Murali meluangkan banyak masa bertemu para penduduk semasa berkempen. Beliau mahu memahami keperluan mereka.

Manifesto pilihan raya beliau tertumpu kepada tiga bidang utama - pekerjaan, warga tua dan mobiliti sosial.

Anak bekas tahanan politik, Encik Murali belajar di Sekolah Rendah dan Menengah Monk's Hill. Di peringkat pra-U, beliau menuntut di Maktab Rendah Hwa Chong. Beliau lulus dalam jurusan undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS).

SUMBANGAN MURALI SEMAKIN MENYERLAH

Bekas rakan-rakan sekolahnya berkata Encik Murali tidak suka berkonfrontasi. Perwatakannya itu dapat dilihat sepanjang kempen pilihan raya kecil.

Beliau memilih untuk tidak bertikam lidah dengan pencabarnya, ketua Parti Demokratik Singapura Dr Chee Soon Juan.

Sebaliknya, beliau secara sistematik membentangkan saranan-saranannya seperti membina sebuah pusat jagaan warga tua yang baru dan program mentor belia. Matlamat utama beliau untuk memahami keperluan para penduduk dan bagaimana hendak membantu mereka.

"Ini bukan mengenai saya, ia mengenai anda, berkhidmat kepada anda. Undi menyokong kami adalah undi bagi satu kepastian! tidak perlu eksperimen! Dengan mendapat mandat daripada anda, saya akan mengetuai sendiri pasukan relawan saya yang berdedikasi yang sudah saya kenal dengan amat baik sepanjang 16 tahun lalu," ujar Encik Murali. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan