Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MDA buat aduan polis terhadap The Middle Ground

Penguasa Pembangunan Media (MDA), bagi pihak Pegawai Pilihan Raya, memfailkan aduan polis terhadap laman berita, The Middle Ground (TMG), setelah ia dikatakan melanggar Akta Pilihan Raya Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
MDA buat aduan polis terhadap The Middle Ground

Petikan gambar dari laman The Middle Ground.

Diterbitkan : 06 May 2016 08:04PM Dikemas Kini : 06 May 2016 08:08PM

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Media (MDA), bagi pihak Pegawai Pilihan Raya, memfailkan aduan polis terhadap laman berita, The Middle Ground (TMG), setelah ia dikatakan melanggar Akta Pilihan Raya Parlimen.

Aduan itu difailkan pada 12.40 tengah hari tadi (6 Mei). Pada 9.30 pagi, MDA mengeluarkan arahan agar artikel TMG bertajuk "BB BE: 50 voters in Bukit Batok" ditarik balik. TMG diarahkan memadamkan artikel itu dari lamannya selewat-lewatnya pada 3.30 petang.

Artikel itu, yang diterbitkan semalam, bertanyakan kepada 50 pengundi Bukit Batok sejak seminggu lalu tentang bagaimana mereka akan mengundi.

"Dengan menerbitkan artikel ini, TMG melanggar Seksyen 78c (1) Akta Pilihan Raya Parlimen. Di bawah Seksyen 78C (1), adalah satu kesalahan untuk menerbitkan atau mengizinkan atau menyebabkan penerbitan keputusan sebarang tinjauan pilihan raya semasa tempoh pilihan raya," kata seorang jurucakap Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Tajuk artikel TMG membayangkan bahawa tinjauan itu dijalankan terhadap para pengundi yang akan mengundi dalam pilihan raya kecil Bukit Batok, tambah jurucakap itu lagi.

"Sejumlah besar mereka yang ditinjau itu menyatakan siapakah calon yang akan mereka undi, secara langsung atau tidak langsung.

"Ini disahkan dalam satu lagi artikel TMG yang menyertakan responsnya terhadap arahan tersebut, di mana ia menyatakan ia bertanya kepada para pengundi Bukit Batok tentang bagaimana mereka akan mengundi," menurut jurucakap ELD lagi.

Menurut Seksyen 78c (1) Akta Pilihan Raya Parlimen, "tinjauan pilihan raya" bermakna tinjauan pendapat di kalangan para pengundi tentang bagaimana mereka akan mengundi pada pilihan raya.

Ia juga meninjau pengundi tentang kecenderungan mereka terhadap mana-mana calon, sekumpulan calon atau parti politik, atau tentang sebarang isu yang dikaitkan dengan mana-mana calon atau sekumpulan calon yang boleh dikenal pasti dalam pilihan raya.

TMG melaporkan bahawa MDA mulanya memberikan laman TMG sehingga 3.30 petang untuk memadamkan artikel itu, dan TMG sendiri menyatakan ia akan mengekalkan laporan itu sehingga 2.30 petang.

TIDAK PASTI 100% IA TINJAUAN PILIHAN RAYA

"Kami tidak berniat ia dijadikan tinjauan pilihan raya. Pemerintah fikir ia tinjauan sedemikian. Mungkin ya, mungkin tidak - jika anda bertanya kepada kami, kami juga tidak 100 peratus pasti, jadi ini sebabnya kami terus mengekalkannya sehingga sekitar sejam sebelum waktu yang ditetapkan MDA," menurut TMG dalam artikel berasingan bagi mengumumkan arahan yang dikenakan terhadapnya itu.

Tetapi pada 1.22 petang, TMG melaporkan bahawa MDA sudah mengeluarkan arahan untuk memadamkan artikel itu serta merta.

Sesiapa yang didapati bersalah atas kesalahan itu boleh didenda sehingga S$1,500, dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali, menurut Akta tersebut.

Jurucakap ELD menyatakan tindakan yang serupa dikenakan terhadap tinjauan-tinjauan pilihan raya yang melanggar Seksyen 78C(1) Akta Pilihan Raya Parlimen.

"Contohnya, amaran tegas diberikan kepada The Straits Times dan editornya pada Jun 2013 kerana menerbitkan artikel berjudul 'Tinjauan ST: Lebih ramai sokong PAP' selepas Writ Pilihan Raya bagi pilihan raya kecil Punggol East dikeluarkan," katanya lagi. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan