Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lee Wei Ling nafi tandatangani petisyen kecam tindakan persoal kewibawaan Chee

Dr Lee Wei Ling, anak perempuan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, hari ini (5 Mei) menafikan beliau menandatangani petisyen yang menyeru agar tindakan mempersoalkan kewibawaan Dr Chee Soon Juan dihentikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 May 2016 11:51AM Dikemas Kini : 05 May 2016 09:15PM

SINGAPURA: Dr Lee Wei Ling, anak perempuan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, hari ini (5 Mei) menafikan beliau menandatangani petisyen yang menyeru agar tindakan mempersoalkan kewibawaan Dr Chee Soon Juan dihentikan.

Dr Lee juga adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Petisyen tersebut, yang merupakan inisiatif sekumpulan warga Singapura termasuk pelakon-pelakon veteran Neo Swee Lin dan Lim Kay Siu, dimulakan sebagai membalas komen-komen sejak kebelakangan ini tentang Dr Chee, Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP) dan calon bagi pilihan raya kecil Bukit Batok.

Kumpulan itu menyatakan mereka tidak akan membiarkan "serangan-serangan peribadi dan tindakan yang mempersoalkan perwatakan" Dr Chee oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Speaker Parlimen, Halimah Yacob dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Grace Fu.

Petisyen tersebut, yang sudah ditandatangani lebih 4,000 orang sejak dimulakan dua hari lalu, turut ditandatangani seseorang yang memberi namanya sebagai Dr Lee Wei Ling.

Namun, Dr Lee menafikan beliau antara mereka yang menandatangani petisyen tersebut, dan berkata, beliau tidak sekali-kali menyokong Dr Chee dan berpendapat beliau "tidak layak menyertai Parlimen."

"Lelaki ini masih tidak berubah langsung, meskipun beliau kini menampilkan dirinya seolah-olah beliau sudah berubah, dengan menggunakan keluarganya," kata Dr Lee dalam catatan di Facebooknya.

"Minggu lalu, beliau membenarkan individu-individu yang bercakap (di rapat pilihan raya SDP) untuk menyerang David Ong, kemudian beliau naik ke pentas, berpura-pura berhati mulia dan berkata kita tidak sepatutnya menyerang perwatakan seseorang.

"Apabila didesak, beliau mengaku beliau sudah tahu apa yang akan dikatakan mereka.

"Saya sama sekali tidak akan menyokong seseorang seperti ini," tambahnya.


Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan