Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Chee akan usahakan skim insurans pemberhentian kerja jika dipilih

Dr Chee Soon Juan berkata beliau akan "berusaha dengan gigih" untuk mewujudkan "skim insurans pemberhentian kerja" sekiranya dipilih menyertai Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 May 2016 07:32PM Dikemas Kini : 02 May 2016 09:26PM

SINGAPURA: Dr Chee Soon Juan berkata beliau akan "berusaha dengan gigih" untuk mewujudkan "skim insurans pemberhentian kerja" sekiranya dipilih menyertai Parlimen.

Bercakap kepada para wartawan semasa lawatan bertemu penduduk hari ini (2 Mei), Dr Chee, calon Parti Demokratik Singapura (SDP) bagi pilihan raya kecil Bukit Batok, berkata partinya mempunyai "pasukan terdiri daripada pakar-pakar" untuk membantu mereka yang mengalami masalah kewangan.

"Kami boleh membantu dari segi cuba melihat bagaimana mereka yang mengalami masalah kewangan boleh menguruskan kewangan mereka dengan lebih berhemat, dan merujuk mereka ke tempat-tempat tertentu di mana mereka boleh dapatkan bantuan," kata Dr Chee, yang juga Setiausaha Agung SDP.

Tambah beliau lagi: "Dan di Parlimen, inilah yang kami perlu usahakan - anda tahu bukan, tidak kira bagaimana (calon Parti Tindakan Rakyat) Encik Murali bercakap tentang usahanya cuba mendapatkan pekerjaan untuk rakyat, jika tiada pekerjaan disediakan di peringkat nasional, bagaimana anda akan cari pekerjaan untuk penduduk Bukit Batok? Bagi kami, kami memastikan ada jaring keselamatan untuk mereka.

"Di Parlimen, jika saya dipilih, saya akan berusaha dengan gigih untuk skim insurans pemberhentian kerja ini."

INSURANS PEMBERHENTIAN KERJA

Sehari lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyentuh tentang isu insurans pemberhentian kerja atau seperti yang disifatkan sesetengah pihak, insurans pengangguran, semasa menyampaikan Amanat Hari Buruh.

Beliau menyifatkannya sebagai topik yang akan sentiasa dibangkitkan dari semasa ke semasa.

Bercakap kepada Gerakan Buruh, Encik Lee berkata: "Jawapannya ialah, saya beritahu mereka, sebenarnya, kami ada sesuatu yang lebih baik daripada insurans pengangguran. Kerana dengan insurans pengangguran, pekerja harus keluarkan mungkin 1 peratus daripada gajinya untuk insurans ini, dan apabila dia menganggur, anda memberi subsidi kepadanya, membantunya terus menganggur sementara dia mencari pekerjaan.

"Skim kami berbeza. Skim ini tidak dibayar oleh pekerja atau majikan. Ia dibayar Pemerintah. Dan skim ini tidak digunakan untuk membantu anda terus menganggur, tetapi untuk membantu anda mencari pekerjaan. Cari pekerjaan, pertingkat diri sendiri, jadikan anda lebih berharga. Jadi sokonglah usaha ini, jalankan usaha, dan kami akan bersama anda," ujar beliau lagi.

Encik Lee juga mendedahkan bahawa Program Sokongan Kerjaya menyaksikan kemajuan baik dalam lima bulan pertamanya. Program itu bertujuan memberikan insentif kepada syarikat-syarikat yang mengambil karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang diberhentikan kerja semasa pertengahan kerjaya mereka.

Di bawah inisiatif itu, majikan diberikan sokongan dari segi gaji untuk tempoh setahun, bagi mengurangkan kos mengambil pekerja.

Sekitar 200 PMET berpengalaman menyertai program tersebut, dan separuh daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan.

Membalas ucapan Encik Lee itu, Dr Chee berkata: "Anda tahu, mereka selalu kata ia tidak akan dapat dilakukan, sehingga mereka mula melaksanakannya.

"Untuk begitu lama, mereka kata menetapkan gaji minimum akan memufliskan Singapura. Dan tiba-tiba, mereka melaksanakan model gaji progresif, kecuali ada banyak kekurangannya.

"Maksud saya, anda tidak ada suruhanjaya gaji yang adil untuk melihat kes-kes pencabulan ini. Ya, anda bayar mereka gaji minimum setiap bulan. Tapi anda mahu mereka bekerja lebih panjang. Itu tidak adil."

Dr Chee menambah bahawa negara-negara lain termasuk Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong menyediakan skim insurans pemberhentian kerja bagi para warganya.

"Mereka perlu dibantu mengatasi kejutan itu, buat sementara waktu, untuk membantu mereka mengharungi masa-masa sukar, dan kemudian barulah mereka boleh fokus mencari pekerjaan baru, atau sekurang-kurangnya, dilatih semula.

"Dalam hal-hal ini, saya rasa Pemerintah tidak berfikir panjang, dan saya berharap mereka akan menyedarinya dan lebih progresif dalam pendekatan mereka bagi para pekerja," kata Dr Chee.

Meskipun Dr Chee akur bahawa tidak mungkin untuk memberi pekerjaan kepada semua orang, beliau menegaskan bahawa para pekerja memerlukan bantuan sebaik sahaja diberhentikan kerja.

"Dalam separuh kedua tahun ini, keadaan akan menjadi bertambah buruk, begitu juga bagi tahun-tahun mendatang. Kami perlu wujudkan insurans pemberhentian kerja ini secepat mungkin.

"Saya akan bekerjasama dengan sesiapa saja di Parlimen yang bersedia bekerjasama dan mengusahakan rang undang-undang yang boleh kami sarankan, dan memastikan penduduk di sini mendapat bantuan," tambah Dr Chee.

MASA MENUNGGU LEBIH SINGKAT DI SESI BERTEMU PENDUDUK?

Dr Chee juga berkata jika dipilih, beliau akan mengadakan lebih daripada satu Sesi Bertemu Penduduk setiap minggu sebagai Anggota Parlimen sepenuh masa, supaya masa menunggu dapat dikurangkan.

Dr Chee berkata: "Saya sudah berkali-kali dengar mereka perlu menunggu, kadangkala hingga beberapa jam, semata-mata untuk meminta AP menulis surat yang ringkas. Mengapa? Saya rasa ini sesuatu yang boleh dikendalikan dengan mudah jika AP menghabiskan lebih banyak masa dalam kawasan undi, maknanya, sepenuh masa.

"Anda perlu adakan lebih dari satu Sesi Bertemu Penduduk (setiap minggu), bergantung kepada permintaan, dan jangan biarkan penduduk tunggu terlalu lama.

"Dan jika anda hanya boleh lakukannya pada sebelah malam, bagaimana pula dengan mereka yang bekerja syif malam? Apa yang mereka akan lakukan? Adakah mereka tidak akan dapat berjumpa dengan anda? Anda perlu ada di sana.

"Tidak ada cara lain, seseorang AP itu perlu berkhidmat secara sepenuh masa untuk berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan," kata Dr Chee. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan