Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Chee akui 'amat kecewa', dakwa hadapi saingan tidak adil dengan PAP

Dr Chee mengatakan bahawa politik merupakan "satu perjalanan" dan sementara "destinasi masih jauh lagi" beliau akan terus berusaha gigih berjuang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bercakap kepada para wartawan selepas kekalahannya, Dr Chee Soon Juan mendakwa beliau menghadapi persaingan tidak adil dengan calon PAP Murali Pillai.

Ini kerana beliau juga menghadapi persaingan dengan media arus utama yang dianggapnya sebagai sebahagian "jentera negara".

Ratusan penyokong SDP mula tiba di pusat perhimpunan di Stadium Bukit Gombak seawal 6 petang, untuk menunggu keputusan pilhan raya. Suasana riuh pada mulanya dengan para penyokong menyorak dan melaungkan nama Dr Chee.

Namun para penyokong menjadi resah sebaik sahaja kiraan undi sampel diumumkan.

Dalam ucapannya, Dr Chee mengucapkan terima kasih kepada para penyokong dan keluarga beliau dan berharap SDP akan mendapat keputusan yang lebih baik pada masa depan apabila ia bertanding di Bukit Batok.

"Terima kasih semua, terima kasih banyak-banyak. Sudah pukul 11.30 malam dan anda masih di sini. Saya sangat terharu dan rasa dihargai. Ini tidak rasa seperti satu kekalahan," kata beliau.

Semasa pilihan raya umum lalu, SDP mendapat 26 peratus undi di Bukit Batok. Kali ini, Dr Chee berjaya menambah lagi 12 peratus undi. Namun, Dr Chee akui beliau agak kecewa tetapi mengatakan bahawa politik merupakan "satu perjalanan" dan sementara "destinasi masih jauh lagi" beliau akan terus berusaha gigih berjuang dalam apa yang disifatkannya sebagai "masyarakat yang tidak demokratik".

"Saya sudah katakan banyak kali, orang masih salah menafsirkannya. Tetapi saya sudah acap kali katakan kita bukan berlawan. Kadangkala kita terlepas pandang bahawa kita masih lagi berada dalam masyarakat yang tidak demokratik. Jadi itulah sesuatu yang kita sedar akan dan bukan sesuatu yang akan menghalang kami. Jadi terus maju dan kami pastikan kami akan sampai kepada tujuan kami," tambah Dr Chee.

Para penyokong yang ditemui turut hampa dengan keputusan yang diraih dan berharap Dr Chee diberi peluang untuk mengutarakan pandangannya di Parlimen.

"Saya sebenarnya rasa sakit hati jugalah kerana dia sudah banyak berusaha untuk cuba menang dalam pilihan raya ini tetapi kalah," kata seorang penyokong Dr Chee, Muhd Iqbal Yazid.

"Kita pun hendak kena hadapi kenyataan dan saya berharap insyaAllah, dalam pilihan raya yang bakal datang ini, saya berharap SDP dapat diberi peluang untuk masuk ke parlimen," kata seorang lagi penyokong SDP, Muhd Sufyan Rais.

Ini merupakan kekalahan Dr Chee yang kelima sejak beliau pertama kali bertanding dalam pilihan raya kecil GRC Marine Parade pada 1992. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan