Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Calon PAP Murali Pillai menang Pilihan Raya Kecil Bukit Batok

Calon PAP Murali Pillai diisytiharkan pemenang Pilihan Raya Kecil Bukit Batok. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 May 2016 01:19AM Dikemas Kini : 08 May 2016 02:11AM

SINGAPURA: Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) Murali Pillai diisytihar sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil Bukit Batok oleh Pegawai Pilihan Raya Ng Wai Choong pada Sabtu (7 Mei).

Encik Murali meraih 61.2 peratus undi, sementara calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Chee Soon Juan mendapat 38.79 peratus undi.

Menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD), sebanyak 24,192 keluar mengundi, termasuk 622 undi rosak, yang membentuk 94.03 peratus daripada 25,727 pengundi berdaftar.

Awal dari itu, ELD mengumumkan bahawa berdasarkan keputusan kiraan undi sampel, Encik Murali meraih 61 peratus undi, manakala Dr Chee mendapat 39 peratus undi.

Dalam sidang media yang diadakan menyusuli kemenangannya itu, Encik Murali berkata, beliau dengan "rendah hati sungguh tersentuh" dengan keputusan pilihan raya itu. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada SDP dan calonnya Dr Chee kerana berkempen dengan gigih.

"Mereka menjalankan kempen mereka dengan baik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana ia membantu saya untuk menerangkan pelan saya kepada para penduduk Bukit Batok dengan lebih jelas dan bernas lagi," kata Encik Murali.

Mengenai pelan bagi SMC itu, bakal AP baru Bukit Batok itu berkata beliau bercita-cita tinggi untuk kawasan undi perseorangan itu. "Saya mempelawa anda semua untuk sama-sama menjayakan rancangan-rancangan yang saya ingin lakarkan untuk para penduduk Bukit Batok. Banyak yang perlu dilakukan dan saya akan memulakannya esok."

DR CHEE: TIDAK RASA SEPERTI SATU KEKALAHAN

Dr Chee semasa berucap kepada para penyokongnya selepas keputusan rasmi diumumkan, turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong beliau kerana berhimpun di Stadium Bukit Gombak walaupun sudah larut malam. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Encik Murali atas kejayaannya itu.

"Saya rasa tersentuh. Tidak rasa seperti satu kekalahan," kata setiausaha agung SDP itu.

"Bagi mereka yang tidak mengundi bagi menyokong kami, saya akan berusaha untuk mendampingi anda dan saya akan terus bekerja keras untuk meyakinkan anda supaya menyokong SDP pada masa akan datang."

"Terima kasih Bukit Batok kerana mengundang saya ke mari. Saya kini kenal anda dengan lebih dekat dan semoga anda juga akan dapat mengenali saya dengan lebih baik pada masa akan datang," tambah beliau lagi.

PM LEE, MENTERI ALU-ALUKAN KEMENANGAN

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menulis di laman Facebooknya malam ini untuk mengucapkan tahniah kepada Encik Murali.

"Terima kasih, pengundi Bukit Batok atas sokongan padu anda. Anda telah memilih seorang AP yang benar-benar komited, yang boleh dipercayai dan sanggup bekerja keras untuk anda," tulis PM Lee dalam catatan Facebooknya itu.

"Ini bukan setakat kemenangan untuk Bukit Batok saja, tetapi ia juga menunjukkan kepada semua rakyat Singapura bahawa Pemerintah dan rakyat bersatu padu untuk terus membangunkan Singapura sebagai sebuah negara yang lebih baik," tegas beliau.

Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam memberitahu para wartawan bahawa beliau "agak terkejut" dengan prestasi cemerlang Encik Murali dalam pilihan raya kecil ini.

"Secara terus terang, saya tidak menjangkakan prestasi Murali sehebat itu. Saya rasa beliau memperlihatkan kebolehan yang sungguh menakjubkan," kata Encik Tharman.

"Secara jujur, saya amat gembira dengan keputusan ini."

Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing turut mengucapkan tahniah kepada Encik Murali di laman Facebooknya. "Tahniah kepada Murali Pillai dan keluarga Jurong. Banyak yang perlu diusahakan. Saya mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan pasukan anda."

Presiden Tony Tan Keng Yam mengeluarkan writ pilihan raya pada 20 April.

Kerusi SMC Bukit Batok dikosongkan selepas penyandangnya Encik David Ong meletak jawatan pada bulan Mac setelah didapati menjalin hubungan sulit dengan seorang aktivis akar umbi.
 

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan