Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA EKSTRA: S'pura Rumah Kita untuk Keluarga, setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang baik

Aspirasi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) adalah untuk menjadikan Singapura Rumah Kita untuk Keluarga, di mana setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang baik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Aspirasi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) adalah untuk menjadikan Singapura Rumah Kita untuk Keluarga, di mana setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang baik.

Setiausaha Parlimen, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSG), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam ucapannya sewaktu perbahasan peruntukan belanjawan bagi kementeriannya di Parlimen semalam (12 Apr).

Menurut Dr Faishal, rumahtangga yang kukuh adalah penting maka itu MSF menyediakan pelbagai program pendidikan dan sokongan untuk pasangan suami isteri dan ibu bapa.

Beliau juga menambah bahawa langkah-langkah itu sudah menampakkan hasil positif.

Dalam ucapannya, Dr Faishal turut menyentuh tentang inisiatif-inisiatif yang baru diperkenalkan oleh kementeriannya demi menjadikan Singapura Rumah Kita untuk Keluarga, di mana setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang baik.

Ikuti video dan ucapan penuh Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dalam Bahasa Melayu ini.

===============

UCAPAN PROF MADYA MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM DI PARLIMEN, 12 APRIL 2016, BAGI KEMENTERIAN PEMBANGUNAN SOSIAL DAN KELUARGA (MSF)

Singapura, Rumah Kita untuk Keluarga

1. Keluarga yang kukuh adalah tunggak masyarakat, dan rumah tangga yang utuh adalah asas keluarga yang kukuh. Kanak-kanak adalah masa depan kita. Dengan keluarga yang kukuh dan sokongan baik dari masyarakat, anak-anak kita boleh mencapai permulaan hidup yang baik.

2. Di MSF, aspirasi kami adalah untuk menjadikan Singapura Rumah Kita untuk Keluarga, di mana setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang baik.

3. Kami mengutamakan pengukuhan rumah tangga dan keluarga melalui pelbagai program pendidikan dan sokongan rumah tangga serta keibubapaan. Ia berperanan untuk membimbing pasangan menyesuaikan diri ketika melayari alam rumah tangga dan keibubapaan. Bagi pasangan yang telah bercerai, kami membantu mereka mempelajari cara-cara untuk menjalankan keibubapaan bersama dengan berkesan. Bagi anak-anak mereka, kami membantu mereka mengharungi cabaran dan meningkatkan daya tahan dalam diri mereka.

4. Kini, kami dapat melihat hasil-hasil positif. Contohnya, kadar perceraian di kalangan pasangan Muslim yang baru mendirikan rumah tangga menunjukkan trend yang menurun. Kami juga menerima maklum balas positif tentang perubahan-perubahan dan program-program baru bagi pasangan yang bakal atau sedang melalui proses perceraian.

5. Kami akan terus berusaha untuk mengembangkan dan memperbaiki program pendidikan dan sokongan rumah tangga dan keibubapaan kami.

6. Satu lagi usaha utama kami adalah menyokong kanak-kanak kecil dan ibu bapa mereka. Kami akan teruskan usaha untuk memastikan bahawa ibu bapa dan kanak-kanak mampu mendapatkan penjagaan kanak-kanak dan tadika yang bermutu.

7. Seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, MSF akan mentadbirkan Langkah Pertama CDA baru, di mana Pemerintah akan memasukkan geran $3,000 ke dalam Akaun Pembangunan Anak untuk bayi-bayi Singapura yang baru lahir. Menteri Negara Kanan Cik Josephine Teo juga telah mengumumkan beberapa peningkatan bagi skim cuti ibu bapa. Saya pasti ramai pasangan yang bakal memulakan perjalanan sebagai ibu bapa akan mengalu-alukan inisiatif-inisiatif ini.

8. Kami akur bahawa kanak-kanak dari golongan rentan memerlukan lebih banyak bantuan. Terdapat segolongan kecil ibu bapa yang memerlukan lebih sokongan untuk memberi anak-anak mereka permulaan hidup yang baik. Kami akan meningkatkan sokongan untuk mereka melalui sistem sokongan perintis KidSTART. Inisiatif baru ini akan mengenal-pasti lebih awal kanak-kanak dari keluarga rentan dan berpendapatan rendah yang berumur 6 tahun ke bawah. Ia akan memberi mereka laluan kepada sokongan kesihatan, pembelajaran dan pembangunan, dan juga akan memantau perkembangan mereka pada tahun-tahun awal. Kami juga akan memberi ibu bapa pengetahuan dan kemahiran untuk menjaga dan menyokong pembangunan anak mereka.

9. Beberapa anggota Parlimen telah mengutarakan keprihatinan tentang sokongan kepada ibu bapa yang belum berumahtangga. Buat masa kini, sokongan untuk ibu bapa yang belum berumahtangga memang sudah sedia ada, terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah, seperti subsidi penjagaan kanak-kanak dan bantuan kewangan.

10. MSF telah menyemak semula dengan teliti apakah sokongan-sokongan lain untuk membantu anak kepada ibu bapa yang belum berumahtangga. Kita boleh memberi sokongan yang lebih kepada usaha-usaha mereka untuk menjaga anak-anak ini, dan menangani kekurangan yang mereka hadapi ketika lahir. Lantas, kami telah mengambil keputusan untuk meluaskan manfaat Akaun Pembangunan Anak (CDA), termasuk Langkah Pertama CDA, kepada anak ibu bapa yang belum berumahtangga. Kami juga akan membenarkan ibu-ibu yang belum berumahtangga untuk menerima cuti bersalin yang dibayar oleh Pemerintah. Ini akan dilaksanakan sebaik sahaja kami meminda undang-undang dan membuat penambahbaikan sistem.

11. Langkah-langkah ini amat bermanfaat untuk keperluan pembangunan atau penjagaan anak-anak. Ia juga akan menyokong usaha ibu bapa yang belum berumahtangga untuk menampung perbelanjaan anak-anak. Pada masa yang sama, perluasan langkah-langkah ini untuk merangkumi ibu bapa yang belum berumahtangga, tidak melemahkan konsep keibubapaan dalam konteks perkahwinan, di mana ia merupakan satu norma sosial yang sudah diterima dan dinilai tinggi oleh masyarakat. Sebab-sebab ini adalah asas keputusan kami.

12. Puan Pengerusi, Pemerintah akan terus melaksanakan dasar-dasar, skim-skim dan inisiatif untuk membina keluarga yang kukuh dan membantu anak-anak kita mendapat permulaan yang baik. Kami berharap untuk bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan masyarakat. Kita semua boleh memainkan peranan, terutama sekali dalam mendekati keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan sokongan dan bantuan. Bersama, kita boleh menjadikan Singapura Rumah Kita untuk Keluarga, di mana setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang baik.

13. Kita boleh menghubungkan mereka kepada bantuan yang sedia ada. Kita boleh membantu mereka secara peribadi juga. Kita boleh meluangkan masa menjadi sukarelawan dengan badan-badan kebajikan (VWOs) serta kumpulan bantu diri untuk membantu keluarga-keluarga ini.

14. Bersama, kita boleh menjadikan Singapura Rumah Kita untuk Keluarga, di mana setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang baik.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan