Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

(BERITA EKSTRA) Mahu tapi malu? Masyarakat Melayu mahu melihat Presiden (Melayu) Dipilih?

Bagaimanakah pandangan masyarakat Melayu Singapura secara keseluruhannya tentang semakan kepada Presiden Dipilih (EP)?

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Nov 2016 11:07PM Dikemas Kini : 08 Nov 2016 11:01AM

SINGAPURA: Bagaimanakah pandangan masyarakat Melayu Singapura secara keseluruhannya tentang semakan kepada Presiden Dipilih (EP)?

Bagi generasi Melayu yang membesar dalam sistem meritokrasi, Dr Yaacob Ibrahim merumuskan begini: "Ramai yang mahukan seorang Presiden Melayu. Bagaimanapun, tidak ramai mungkin mahu mengaku hakikat ini secara terbuka."

Ikuti video ucapan terus terang Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam itu, dalam Bahasa Melayu, sebagaimana beliau sampaikan di Parlimen hari ini (7 Nov).

Anda juga boleh membaca ucapan tersebut di bawah ini:

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Puan Speaker, saya setuju dengan perubahan kepada sistem Presiden Dipilih.

Saya setuju bahawa kita perlu merubah kriteria kelayakan supaya para calon ada pengalaman yang cukup untuk mentadbir rizab negara dengan cekap.

Saya juga setuju dengan kuasa tambahan untuk Majlis Penasihat Presiden (CPA) memandangkan semakin rumitnya isu-isu yang dihadapi pemerintah. Kerjasama lebih erat antara CPA dan EP akan memastikan keputusan yang terbaik dapat dibuat untuk negara.

Usaha untuk memastikan setiap kaum di Singapura berpeluang untuk melihat wakil dari kaumnya menjadi seorang EP, jawatan tertinggi Negara, adalah satu hakikat masyarakat majmuk kita. Secara peribadi, saya ingin melihat ciri berbilang kaum Singapura menyerlah di setiap lapisan masyarakat. Usaha ke arah ini harus diteruskan. Buat masa ini, tumpuan saya adalah bagaimana ini dapat dicapai dalam sistem EP.

Kenapa genting untuk lindungi perwakilan minoriti

Puan Speaker, seperti yang telah saya terangkan awal tadi, banyak usaha telah dilakukan untuk mewujudkan satu identiti Singapura. Tetapi hakikatnya, setiap kaum masih cenderung untuk memilih kaum masing-masing.

Ada rakyat Singapura yang mungkin tidak selesa dengan hakikat ini termasuk saya sendiri. Misalnya ketika mula diperkenalkan pada 1989, saya ragu-ragu dengan beberapa dasar pemerintah seperti Dasar Integrasi Kaum (EIP) dalam perumahan awam. Namun ternyata EIP telah berjaya melaksanakan matlamat pemerintah untuk memastikan estet perumahan kita tidak menjadi kawasan setinggan yang didiami oleh kaum minoriti sahaja. Malah rakyat berpeluang untuk berintegrasi. Ternyata kita perlukan dasar seperti ini supaya kita tidak membuat kesilapan negara-negara yang mengabaikan kecenderungan manusia untuk berpuak-puak. Integrasi yang kita lihat di Singapura hari ini adalah hasil dasar-dasar sedemikian yang dicipta secara sedar. Ia juga memerlukan usaha yang berterusan untuk memupuk keharmonian di kalangan kaum-kaum yang berbeza.

Perubahan yang dicadangkan untuk EP, akan menjamin peluang untuk kaum minoriti menjadi seorang EP. Dalam jangka panjang, ini akan mencerminkan ciri-ciri masyarakat majmuk Singapura.

Pandangan tentang perlindungan bagi kaum minoriti

Hasil tinjauan yang dijalankan Institut Kajian Dasar dan Channel News Asia menunjukkan bahawa jika diberi peluang, sebahagian besar rakyat Singapura lebih cenderung untuk memilih calon dari kaum masing-masing sebagai Presiden.

Tinjauan MCI pula menunjukkan bahawa apabila ditanya sama ada Singapura perlukan seorang minoriti sebagai EP, sebahagian besar responden termasuk responden Cina bersetuju. Tetapi apabila ditanya tentang semakan sistem EP yang bakal memastikan perwakilan minoriti, mereka tidak setuju. Mengapa? Tinjauan-tinjauan ini mengesahkan kebimbangan daya ketika idea ini mula diperkenalkan.

Saya bimbang kerana sekali lagi perhatian dilontarkan kepada kaum minoriti lebih-lebih lagi masyarakat Melayu. Sepanjang 50 tahun lalu, masyarakat Melayu terus mendapat perhatian. Selepas Singapura berpisah daripada Malaysia, timbul persoalan tentang kedudukan orang Melayu di Singapura yang baru itu. Pada masa yang sama, kita menghadapi cabaran sosio-ekonomi termasuk pendidikan, kadar perceraian dan jenayah yang tinggi dan baru-baru ini pula, ancaman pengganasan. Keadaan ini kian berubah berkat kerja keras masyarakat dan sokongan pemerintah. Hakikatnya, masyarakat Melayu telah melalui pelbagai duri dan ranjau dan kita harus meneruskan perjuangan kita.

Berpandukan latar belakang inilah, saya khuatir tentang tahap sokongan bagi calon Melayu daripada rakyat Singapura yang lain.

Jadi saya tegas menyatakan bahawa kita tidak boleh mengubah kriteria ketat yang ditetapkan. Jika semakan ini dilakukan untuk memastikan perwakilan kaum minoriti, ia harus dilakukan kerana ia baik untuk Singapura dan semua rakyat Singapura bukan hanya kaum minoriti. Calon EP, sama ada datang dari kaum minoriti ataupun bukan, mesti dapat memenuhi kriteria kelayakan dan beliau baik untuk semua rakyat Singapura.

Pandangan Masyarakat Melayu

Saya akur bahawa keinginan untuk melihat Presiden dari kaum kita sendiri khususnya di kalangan orang Melayu adalah suatu yang bersifat emotif. Di kalangan, anggota masyarakat yang lebih dewasa, yang pernah dipimpin seorang Presiden berbangsa Melayu, rasa rindu mereka untuk melihat seorang lagi calon Melayu selepas 46 tahun, boleh difahami. Namun bagi generasi muda Melayu, yang membesar dalam sistem meritokrasi negara dan tidak pernah dipimpin oleh seorang Presiden Melayu, mereka agak berat hati untuk menerima semakan ini. Tetapi di dalam perbincangan tertutup, ramai yang mahukan seorang Presiden Melayu. Bagaimanapun, tidak ramai mungkin mahu mengaku hakikat ini secara terbuka.

Lebih dari kaum lain, masyarakat Melayu memiliki hasrat yang besar untuk melihat anggota kaumnya diiktiraf bagi pencapaian atau kepimpinan mereka. Oleh itu, apabila Natasha Nabila muncul sebagai pelajar terbaik PSLE dan memecahkan rekod agregat tertinggi di Singapura pada 2007, seluruh masyarakat Melayu tumpang bangga. Lain keadaannya jika seorang pelajar Cina yang menjadi pelajar PSLE terbaik. Kita tidak melihat masyarakat Cina meraikannya dengan begitu menyerlah.

Ini juga berlaku dalam keluarga saya sendiri. Pada 1968, abang sulung saya, Mohd Ismail Ibrahim muncul sebagai penerima Melayu pertama Biasiswa Presiden. Pada tahun yang sama, rakannya dari Raffles Institution, Christopher Catherasoo juga memenangi Biasiswa Presiden.

Namun sambutan dari kedua-dua kaum sangat berbeza. Apabila kami menghantar abang saya ke lapangan terbang Paya Lebar, seluruh kerabat keluarga saya hadir. Ada yang bermalam di rumah saya. Christopher hanya dihantar oleh keluarga terdekatnya sahaja. Seluruh lapangan terbang penuh dengan orang Melayu! Saat itu adalah saat untuk diraikan bersama sebagai sebuah masyarakat.

Pokoknya, jika kita ada seorang presiden, walaupun beliau berbangsa Melayu, calon itu mesti memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan. Kita mahu calon tersebut dihormati dan mendapat sokongan padu dari semua rakyat Singapura.

Rumusan

Madam Speaker, We must look for good, honest, hardworking, selfless individuals who are prepared to do what is right for Singapore. To be president is no mere job. It is a calling to serve all Singaporeans. It demands integrity, selflessness and the desire to always promote the common good. So regardless of the candidate’s race, they must all be held to the same high standards of character and values. We must never compromise on standards. We do not want, and we cannot accept, tokenism. We want a president to command the respect of all Singaporeans.

I therefore stand by the proposed enhancements to the Elected Presidency framework, because, first and foremost, these enhancements serve to ensure that the best qualified person who reflects the values and ethos of our nation will be elected to the highest office of our land.

Thank you.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan