Belanjawan 2019

Images
  • low wage
    Lebih banyak sokongan bagi pekerja lanjut usia, bergaji rendah diumumkan di Belanjawan 2019. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Zainal Sapari: Belanjawan 2019 mesra pekerja

SINGAPURA: Belanjawan 2019 adalah satu belanjawan yang mesra pekerja kerana memberikan lebih banyak sokongan kepada semua golongan pekerja terutamanya pekerja bergaji rendah dan pekerja warga senja.

Demikian menurut Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Zainal Sapari. Oleh itu beliau menggesa para pekerja supaya memanfaatkan peluang latihan dan kerjaya agar kekal relevan dalam ekonomi baru.

Dalam landskap ekonomi digital masa kini kata beliau, penting bagi para pekerja terus memahirkan diri mereka dengan lebih mendalam lagi.

Usaha ini bukan saja harus diberikan tumpuan oleh golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) muda, tetapi juga setiap lapisan masyarakat tidak kira usia dan latar belakang.

Maka itu, lanjutan inisiatif yang ditumpukan bagi pekerja warga tua seperti Kredit Pekerjaan Khas (SEC) amat dialu-alukan Encik Zainal, yang juga AP GRC Pasir Ris-Punggol.


"Sekarang kita mengalami pasaran buruh yang ketat. Untuk pekerja-pekerja, dengan adanya bantuan yang diberi kepada majikan untuk menggajikan mereka, saya rasa lebih senang bagi mereka mendapat pekerjaan.

"Bagi mereka yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan pekerjaan, mereka boleh pergi ke e2i atau Workforce Singapore (WSG) yang boleh membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai," kata beliau.

PEKERJA MELAYU/ISLAM HARUS TERUS LENGKAPKAN DIRI DENGAN LATIHAN

Namun, lebih penting lagi, Encik Zainal berkata para pekerja Melayu/Islam harus terus melengkapkan diri mereka dengan latihan untuk mendakapi teknologi melalui program-program seperti Program Penukaran Profesional (PCP).

Ini tambah beliau penting supaya mereka boleh meneroka peluang kerjaya dalam sektor yang berbeza-beza.

"Seperti pekerja-pekerja lain di Singapura, saya juga rasa ramai pekerja Melayu yang terjejas dengan gangguan teknologi yang mungkin membuat mereka kehilangan kerja atau membuat pekerjaan yang ada sekarang kurang relevan. Jadi saya rasa bagi pekerja-pekerja Melayu ini, amatlah penting mereka menggunakan peluang-peluang yang diberi," jelas Encik Zainal.

Encik Zainal berkongsi bahawa pihak kesatuan akan terus mendampingi masyarakat yang memerlukan bantuan dalam kerjaya mereka.

Lantaran itu, beliau mengalu-alukan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) yang dapat membantu golongan pekerja bergaji rendah dalam mengimbangi perbelanjaan harian mereka. 

- BERITAmediacorp/tq

Top