Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Speaker Parlimen tekankan Belanjawan 2019 bukan 'Belanjawan pilihan raya'

Bagi Belanjawan tahun ini, Pemerintah memutuskan untuk memperuntuk dana bagi membangunkan negara dan bukan memberi habuan semata-mata supaya rakyat rasa gembira, kata Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin.

Anggaran Waktu Membaca:
Speaker Parlimen tekankan Belanjawan 2019 bukan 'Belanjawan pilihan raya'

Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin semasa menggulung perbahasan Belanjawan dan Jawatankuasa Peruntukan yang berlangsung selama hampir dua minggu.

Diterbitkan : 08 Mar 2019 11:27PM Dikemas Kini : 08 Mar 2019 11:32PM

SINGAPURA: Bagi Belanjawan tahun ini, Pemerintah memutuskan untuk memperuntukkan dana bagi membangunkan negara dan bukan memberi habuan semata-mata supaya rakyat rasa gembira, kata Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin. Beliau berucap demikian semasa menggulung perbahasan Jawatankuasa Peruntukan pada Jumaat (8 Mac).

Encik Tan menarik perhatian bahawa terdapat sistem-sistem di dunia, di mana belanjawan dirancang secara terburu-buru, dari satu kitaran pilihan raya kepada pilihan raya lain. Ini kerana "tumpuan diberikan kepada keadaan semasa, dan semata-mata untuk memenangi pilihan raya".

Pelaburan jangka panjang dalam bidang prasarana awam tidak selalu dilakukan kerana "anda tidak meraih keuntungan politik daripada usaha sedemikian," kata beliau.

Sebaliknya di negara-negara yang tercemar dengan rasuah, wang biasanya dibelanjakan bagi inisiatif-inisiatif yang menggalak penduduk supaya mengundi dengan cara tertentu. Menurut beliau, terdapat banyak projek seumpama itu kerana para pegawai boleh "memperolehi wang rasuah", dengan melakukan apa sahaja kerana mereka tidak tahu berapa lama lagikah mereka akan menyandang jawatan tersebut.

Sebaliknya, Belanjawan Singapura berteraskan "pandangan yang disuarakan oleh kebanyakan anda (di Parlimen) sejak beberapa tahun lalu, dan ia juga berdasarkan pandangan rakyat Singapura lainnya di pelbagai forum," kata Encik Tan di Parlimen.

"Setiap Belanjawan dibina di atas belanjawan-belanjawan lalu. Sentiasa ada konteks dan sentiasa ada sistem yang ditetapkan," tambahnya.

Encik Tan berkata bagi mereka yang berasa bahawa mereka tidak meraih manfaat secara langsung daripada Belanjawan tahun ini, mereka perlu beringat bahawa banyak golongan berbeza "dimuliakan" menerusi Belanjawan tahun ini. Mengimbas ke tahun-tahun sudah, kata beliau, "jelas bahawa kita juga meraih manfaat daripada cara-cara tertentu."

Encik Tan berkata demikian sebagai menyokong ucapan Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa beliau menggulung perbahasan Belanjawan tahun ini.

Encik Heng ketika itu berkata: "Walaupun tiada sesuatu yang baru bagi anda tahun ini, anda sekeluarga tentunya sudah meraih manfaat daripada setiap Belanjawan sebelum ini."

Encik Tan juga menjawab pertanyaan mengenai sama ada habuan Belanjawan tahun ini adalah sebahagian daripada 'skim sinis pilihan raya'.

"Secara jujur, jika ini Belanjawan pilihan raya, anda tidak akan melihat kami memperkenalkan Pakej Generasi Merdeka. Kita akan mengalihkan beban itu kepada masa hadapan," katanya. "Itulah yang dilakukan kebanyakan Pemerintah kerana wang tersebut boleh dibelanjakan untuk membuat kita lebih gembira menerusi pelbagai cara lain."

"Pemerintah yang bijak secara politik akan menggunakan kekuasaannya untuk mewajarkan lebih banyak lagi perbelanjaan, daripada bercakap tentang berjimat cermat, tentang keseimbangan, tentang untung rugi kemungkinan kenaikan GST pada penggal akan datang.

"Hakikatnya, agak dangkal secara politik untuk berbuat demikian! Pemerintah mana di dunia ini yang akan berbuat demikian sedangkan mereka ada dana dan rizab untuk melakukan lebih banyak lagi bagi menggembirakan para pengundi?," tambah Speaker Parlimen itu.

Awal dari itu, Encik Heng menjawab pertanyaan tersebut dengan mengatakan bahawa Belanjawan tahun ini adalah satu pelan strategik bagi memastikan kejayaan Singapura dalam jangka panjang, dan bukan berdasarkan kitaran pilihan raya.

Semasa menyampaikan ucapannya, Encik Tan turut memuji para Anggota Parlimen yang bukan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Saya juga mahu menarik perhatian bahawa parti pembangkang, sekurang-kurangnya mereka yang hadir di Dewan ini (dan) NMP kami sejak beberapa tahun lalu - menyokong pendekatan ini meskipun kami kadangkala mempunyai pandangan yang berbeza dan bercanggah mengenai perinciannya," kata Encik Tan.

Mereka, kata Encik Tan, tidak mahukan sokongan politik sewenang-wenangnya atau bersikap populis.

Beliau turut berkata Pemerintah hanya boleh mengambil pendekatan itu jika rakyat Singapura menyokongnya. Rakyat pula hanya boleh menyokong pendekatan itu jika mereka memahami isu-isu yang dibahaskan di Parlimen serta mempunyai pandangan yang sama.

"Maka itu, jika kami sebagai sebuah Parlimen boleh kekal relevan, dipercayai dan dihormati, rakyat boleh memberikan kami ruang dan mandat untuk memimpin dan melakarkan langkah hadapan," kata Encik Tan.

Ucapan Encik Tan menggulung perbahasan Belanjawan dan Jawatankuasa Peruntukan yang diadakan selama hampir dua minggu. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan