Belanjawan 2019

Images
  • nea
    (Gambar: NEA)

S'pura bakal perkenalkan strategi kurangkan sisa

SINGAPURA: Satu rang undang-undang baru akan dibentangkan tahun ini bagi memastikan masyarakat peniaga mengurangkan atau mengitar semula bahan sisa masing-masing.

Ia merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Sifar Sisa negara ini, yang merangkumi tiga bidang iaitu sampah elektronik atau 'e-waste', pembungkusan dan juga makanan terbuang.

Rancangan itu diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) di Parlimen hari ini (7 Mac).

Alat mobiliti elektrik akan dimasukkan ke dalam sistem pengurusan sisa elektrik dan elektronik wajib yang akan diperkenalkan dalam masa dua tahun akan datang.

Ia meliputi juga peralatan-peralatan IT, perkakas besar, bateri, lampu dan panel suria.

Di bawah rangka kerja baru itu, syarikat-syarikat pengeluar dan pengimport bertanggungjawab untuk mengumpul dan mengitar semula produk-produk elektronik yang dijual mereka di negara ini.

Namun bagi melicinkan proses itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan melantik sebuah agensi Pertubuhan Pengeluar Bertanggungjawab (PRO) untuk mengumpul sampah elektronik untuk dikitar semula.

Syarikat-syarikat pengeluar dikehendaki untuk membiayai perkhidmatan itu tetapi para pengeluar kecil dikecualikan.

HOTEL, PUSAT BELI-BELAH, SYARIKAT KATERING PERLU ASINGKAN SISA MAKANAN MULAI 2024

Mulai tahun depan, syarikat-syarikat perlu memberikan maklumat terperinci mengenai jenis dan jumlah pembungkusan yang digunakan dan rancangan untuk mengurangkannya.

Sebagai permulaan, hanya syarikat-syarikat yang meraih keuntungan tahunan melebihi $10 juta perlu berbuat demikian.

Premis-premis yang menjana sejumlah besar sisa makanan seperti hotel-hotel dan syarikat katering pula perlu mengasingkan sisa makanan untuk dirawat.

Sementara itu, mulai 2021, skim laporan wajib sampah yang memerlukan premis komersil yang besar untuk melaporkan data dan rancangan pengurangan sisa mereka, akan diperluaskan untuk meliputi kilang, gudang dan pusat konvensyen.

- CNA/RR/ai

Top