Belanjawan 2019

Images
  • AI
    Para pelajar Darjah 5 dan Darjah 6 menjalani kem yang dianjur oleh AI Singapore. (Gambar: AI Singapore/Facebook) 

S'pura akan 'gandakan' usaha bangunkan sektor kecerdasan buatan

SINGAPURA: Singapura akan "menggandakan" usahanya untuk membangunkan sektor kecerdasan buatan (AI) dan melengkapi tenaga kerjanya dengan kaedah-kaedah yang akan membolehkan mereka "mengambil bahagian secara bermakna" dalam sebuah masa depan yang ekonominya dipacu oleh teknologi, kata Menteri bertanggungjawab bagi Insiatif Negara Bijak, Vivian Balakrishnan pada Khamis (28 Feb).

Bercakap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan bagi Pejabat Perdana Menteri, Dr Balakrishnan menekankan bahawa AI, khususnya pembelajaran mesin sudah membawa kesan yang besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Orang ramai meraih manfaat daripada khidmat-khidmat seperti bantuan suara, penterjemahan bahasa, keberkesanan GPS dan amaran penipuan kad kredit.

Menurut beliau lagi, bagi pihak pemerintah Singapura, AI telah digunakan untuk mengesan insiden orang lemas, kegiatan penipuan berhubung SkillsFuture dan pengenalan suara.

Malah, AI digunakan untuk menyalin perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) tahun ini.

Salah satu penanda prestasi utama yang terkandung dalam Pelan Induk Digital Pemerintah yang dikeluarkan tahun lalu adalah untuk semua kementerian dan agensi berkaitan, mempunyai sekurang-kurangnya satu projek AI menjelang 2023.

Menurut Dr Balakrishnan, yang juga Menteri Ehwal Luar, sudah ada "asas baik" bagi AI di sini, menerusi usaha pelbagai agensi dari Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG), Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan agensi-agensi ekonomi yang lain.

Sebagai contoh, Yayasan Penyelidikan Nasional menubuhkan AI Singapore (AISG) untuk menggabungkan institusi-institusi kajian dan syarikat pemula dalam bidang ini pada 2017 lalu.

Tahun lalu, AISG mengumumkan program dipanggil AI untuk Semua atau 'AI for Everyone' untuk mengajar asas teknologi kepada 10,000 rakyat Singapura daripada pelajar sekolah menengah hingga orang dewasa, serta program AI yang lebih berpusatkan industri, menyasarkan 2,000 orang pekerja dewasa. 

- CNA/NA/na

Top