Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rundingan ruang udara mesti berdasarkan pertimbangan 'teknikal dan operasi', tegas Vivian Balakrishnan

Meskipun Singapura menghormati kedaulatan Malaysia dan Indonesia berhubung ruang udaranya, rundingan mengenai aturan pengemudian udara mesti dilakukan berdasarkan pertimbangan teknikal dan operasi, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Vivian Balakrishnan di Parlimen hari ini (7 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Mar 2019 06:11PM Dikemas Kini : 07 Mar 2019 11:55PM

SINGAPURA: Meskipun Singapura menghormati kedaulatan Malaysia dan Indonesia berhubung ruang udaranya, rundingan mengenai aturan pengemudian udara mesti dilakukan berdasarkan pertimbangan teknikal dan operasi, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Vivian Balakrishnan di Parlimen hari ini (7 Mac).

Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa Malaysia dan Indonesia melahirkan hasrat untuk melihat perubahan pada aturan ruang udara di rantau ini. Beliau menekankan bahawa sebarang rundingan berhubung perkara itu mesti atas dasar untuk mempertingkatkan keselamatan dan paras kecekapan.

"Kami tentunya bersedia untuk menangani keprihatinan kedua-dua negara. Singapura menghormati kedaulatan Malaysia dan Indonesia berhubung ruang udaranya."

"Pada masa yang sama, rundingan berhubung aturan pengemudian udara mesti dilakukan berdasarkan pertimbangan teknikal dan operasi bagi tujuan untuk menjaga keselamatan dan kecekapan penerbangan awam," kata Dr Balakrishnan semasa membahaskan peruntukan bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Parlimen.

Beliau berkata sebarang perubahan pada aturan itu, jika wajar, mesti mematuhi peraturan-peraturan, syarat-syarat dan keputusan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Singapura menyediakan khidmat trafik udara di beberapa bahagian di selatan semenanjung Malaysia, di dalam Wilayah Maklumat Penerbangan Kuala Lumpur. Aturan itu diluluskan oleh ICAO pada 1973.

Pada Disember 2018, Malaysia menyatakan ia mahu menuntut balik "ruang udara yang diwakilkan" di selatan Johor, sambil merujuk kepada keprihatinan mengenai kedaulatan dan kepentingan negara.

Malaysia juga membangkitkan keprihatinan mengenai prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, dengan menyatakan bahawa laluan penerbangan itu akan menjejas kerja-kerja pembangunan dan operasi perkapalan di Pasir Gudang.

Dalam responsnya, Singapura menyatakan bahawa ILS setakat menggariskan laluan penerbangan sedia ada, menjadikan peraturan keselamatan lebih jelas dan telus.

MOT juga menyatakan bahawa prosedur-prosedur ILS tidak meninggalkan sebarang kesan tambahan terhadap para pengguna ruang udara, serta perniagaan dan penduduk di Johor.

Sementara itu, Indonesia sudah berkali-kali melahirkan harapan untuk mengambil alih wilayah maklumat penerbangan (FIR) di kepulauan Riau, yang diuruskan oleh Singapura sejak 1946 seperti yang dimandatkan oleh ICAO.

Singapura berkali-kali menyatakan bahawa FIR bukanlah isu kedaulatan, tetapi sebaliknya adalah tentang keselamatan dan kecekapan bagi trafik udara komersil.

Pada Khamis (7 Mac), Dr Balakrishnan berkata wilayah itu sudah "banyak meraih manfaat" daripada Singapura yang menyediakan khidmat trafik udara sejak 1946.

Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa Singapura menguruskan 740,000 penerbangan di FIR Singapura tahun lalu, dengan hampir separuh daripadanya mendarat atau berlepas dari Lapangan Terbang Changi. Lagi separuh adalah penerbangan yang menuju atau berlepas dari lapangan-lapangan terbang lain di rantau ini.

"Sektor penerbangan rantau ini sudah meraih banyak manfaat daripada aturan ini. Ia merupakan satu aturan yang memberi manfaat kepada dua-dua pihak di rantau ini, iaitu kita dan juga negara-negara jiran," kata Dr Balakrishnan, yang juga adalah Menteri Ehwal Luar. Beliau memangku jawatan menteri pengangkutan sedang Menteri Pengangkutan Khaw Boon beransur pulih selepas menjalani pembedahan.

Menyentuh mengenai pertikaian maritim antara Singapura dengan Malaysia pula, Dr Balakrishnan berkata "kemajuan agak baik dicapai" berhubung rundingan mengenai isu itu.

"Saya berharap untuk membuat pengumuman bersama dalam tempoh dua minggu akan datang," katanya.

Dr Balakrishnan menekankan bahawa pertikaian itu tidak akan menjejas daya maju Terminal Tuas yang bakal dibangunkan.

"Kerja-kerja pembangunan sedang diteruskan seperti dirancangkan dan ia tidak akan menjejas akses kepada kapal-kapal yang berlabuh di terminal itu pada masa hadapan. Saya boleh memberi jaminan bahawa agensi-agensi keselamatan kita akan terus berwaspada serta melindungi kedaulatan dan keselamatan perairan kita," katanya.

HSR: TIADA SARANAN DARIPADA M'SIA UNTUK KURANGKAN KOS

Bercakap mengenai projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pula, Dr Balakrishnan berkata Singapura belum lagi menerima sebarang saranan daripada Malaysia untuk mengurangkan perbelanjaan.

Singapura dan Malaysia bersetuju untuk menggantung projek berkenaan selama dua tahun iaitu sehingga 31 Mei 2020. Pada masa yang sama, Malaysia meminta agar kedua-dua pihak berbincang cara untuk meneruskan projek itu, dengan tujuan untuk mengurangkan perbelanjaan.

Mengenai Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura pula, Dr Balakrishnan berkata kerja pembinaan mungkin ditangguhkan lagi. Ini selepas Malaysia baru-baru ini meminta agar tarikh akhir bagi projek itu dilanjutkan lagi sehingga 31 Mac, bagi mengesahkan rakan kerjanya bagi projek itu.

Projek RTS, yang menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura, sepatutnya selesai dijalankan sehingga 2024. Khidmat itu tidak lagi dapat mencapai sasarannya, menurut Dr Balakrishnan.

Beliau bagaimanapun berkata Singapura percaya bahawa Laluan RTS itu adalah satu "projek yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak".

"Saya ingin memberi jaminan bahawa kami tetap komited untuk melaksanakan projek itu seperti yang ditetapkan dalam Persetujuan Dua Hala Laluan RTS," tambahnya.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan