Belanjawan 2019

Images
  • edwin
    Menteri Negara Kanan Undang-Undang Edwin Tong. 

Rangka kerja pertama pembangunan kemahiran peringkat nasional sektor IP dilancarkan pada Ogos

SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada usaha untuk "membangunkan bakat dan mewujudkan pekerjaan" dalam sektor hak cipta intelektual (IP), Singapura akan melancarkan rangka kerja pembangunan kemahiran peringkat nasional yang pertama bagi sektor itu menjelang Ogos tahun ini. Ini menurut Menteri Negara Kanan Undang-Undang Edwin Tong di Parlimen pada Isnin (4 Mac).

Rangka kerja tersebut dibangunkan oleh Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura (IPOS) dengan kerjasama SkillsFuture Singapore.

"Rangka kerja ini akan menyediakan maklumat yang menyeluruh mengenai pilihan kerjaya, kemahiran-kemahiran yang diperlukan bagi pelbagai peranan dan juga program latihan yang relevan untuk sektor IP," menurut Encik Tong dalam ucapan Jawatankuasa Peruntukan beliau.

"Ini akan membantu meningkatkan keupayaan pekerja baru dan karyawan IP yang ada sekarang."

IPOS bekerjasama dengan Workforce Singapore berhubung Program Penukaran Profesional IP dan bersama SkillsFuture Singapore bagi Anugerah Pembelajaran SkillsFuture.

"Skim-skim tersebut menawarkan sokongan kewangan bagi melatih semula para pekerja baru dan juga para individu yang ingin menajamkan lagi kemahiran masing-masing," tambah Encik Tong.

MELINDUNGI "PEREKA DAN PEMBAWA PEMBAHARUAN"

Pemerintah akan mengetengahkan sistem IP untuk "memberi lebih sokongan kepada para pereka dan inovator," menurut Encik Tong.

Menjawab pertanyaan AP GRC West Coast Patrick Tay mengenai perlindungan hak IP bagi para pereka, Encik Tong berkata bahawa kementeriannya akan meminda Akta Hak Cipta.

Ini akan memudahkan para pereka untuk "mengukuhkan reputasi masing-masing", kerana kerja-kerja mereka perlu diiktiraf oleh pihak-pihak yang memilih untuk menggunakannya, jelas Encik Tong.

Kementerian Undang-Undang juga sedang menyemak semula sistem penyelesaian pertikaian IP bagi menjadikannya lebih mudah untuk "diakses", terutamanya bagi para individu dan SME, supaya mereka dapat melindungi hak masing-masing "dengan lebih berkesan", menurut Encik Tong.

Satu sesi mengumpul maklum balas diadakan pada lewat 2018 dan kementerian itu sedang mengkaji maklum balas yang diterima.  

- CNA/NA/na

Top