Skip to main content

Iklan

Iklan

Penjaja baru program gerai inkubasi dapat nikmati diskaun sewa lebih panjang

Mereka yang bercita-cita menjadi penjaja dan menyertai program gerai inkubasi bakal menikmati tempoh diskaun lebih panjang untuk menyewa gerai, kata Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor hari ini (7 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Penjaja baru program gerai inkubasi dapat nikmati diskaun sewa lebih panjang

Gambar fail pusat penjaja.

Diterbitkan : 07 Mar 2019 10:22PM Dikemas Kini : 07 Mar 2019 10:26PM

SINGAPURA: Mereka yang bercita-cita menjadi penjaja dan menyertai program gerai inkubasi bakal menikmati tempoh diskaun lebih panjang untuk menyewa gerai, kata Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor hari ini (7 Mac).

Potongan harga sewa gerai inkubasi sebanyak 50 peratus dilanjutkan dari enam bulan kepada sembilan bulan.

"Ini bagi menangani maklum balas bahawa lebih banyak masa diperlukan sebelum perniagaan mereka dapat bertapak," kata Dr Khor semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya di Parlimen.

Program gerai inkubasi dilancarkan pada Februari 2018 bagi menyokong mereka yang bercita-cita menjadi penjaja merasai dunia perniagaan penjaja sebelum memutuskan sama ada mereka mahu memulakan gerai sendiri. Gerai-gerai mereka dilengkapi dengan perkakas asas bagi mengurangkan kos permulaan.

Sejak ia dilancarkan, lebih 50 permohonan diterima bagi 15 gerai inkubasi, termasuk dua gerai terbaru yang ditawarkan di Pasar Chinatown.

SUBSIDI KHIDMAT CUCI PINGGAN MANGKUK DIPERLUASKAN

Para penjaja sedia ada yang menggunakan khidmat mencuci pinggan mangkuk terpusat juga bakal meraih manfaat daripada subsidi yang dilanjutkan di bawah geran Pusat Penjaja Produktif.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) kini membiayai sehingga 70 peratus yuran khidmat mencuci pinggan mangkuk para penyewa gerai bagi tempoh dua tahun pertama ia digunakan. Agensi itu kini akan membayar 50 peratus daripada kos itu bagi tahun ketiga dan 30 peratus bagi tahun keempat.

Khidmat mencuci pinggan mangkuk terpusat diperkenalkan dengan tujuan untuk mengurangkan jumlah tenaga kerja yang diperlukan untuk khidmat seumpama itu.

Menurut NEA, ia memperluaskan subsidi itu bagi terus menggalak para pegerai supaya menggunakan khidmat berkenaan, serta memudahkan peralihan apabila mereka perlu membayar kos penuh khidmat tersebut.

Bagi pusat-pusat penjaja perusahaan sosial pula, NEA akan membayar separuh daripada yuran mencuci pinggan mangkuk pada 2019 dan 30 peratus pada 2020.

PEGERAI SEHC ALU-ALUKAN PERUBAHAN KONTRAK, KATA AMY KHOR

Isu sekitar pusat-pusat penjaja perusahaan sosial (SEHC) menarik perhatian ramai pada tahun lalu, menyusuli aduan yang dibuat mengenai kos operasi tambahan seperti mencuci pinggan mangkuk, memulangkan dulang dan yuran runding cara.

Isu-isu itu menyebabkan NEA menyemak syarat-syarat kontrak utama antara pegerai dengan pengendali.

"Saya sudahpun melakukan lawatan ke semua tujuh SEHC untuk mendapatkan maklum balas daripada para pegerai mengenai perubahan yang dilakukan dan saya gembira bahawa sebahagian besar daripada mereka mengalu-alukan perubahan itu," kata Dr Khor hari ini (7 Mac).

"Kami akan terus membaiki model itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada para penjaja dan pihak berkepentingan lain."

Tujuh daripada 114 pusat penjaja di Singapura dikendalikan oleh perusahaan sosial privet dan kooperatif seperti: Fei Siong Social Enterprise, NTUC Foodfare, Timbre+Hawkers, Hawker Management oleh Koufu dan OTMH oleh Kopitiam.

Setakat 31 Januari, para pengendali SEHC sudahpun menganjurkan 18 sesi maklum balas dengan para pegerai untuk "membincangkan maklum balas dan melakarkan idea" bagi mempertingkatkan pusat-pusat penjaja, menurut NEA.

Dr Khor juga mengumumkan bahawa Pemerintah akan membantu menubuhkan dua kumpulan kerja berhubung bidang niaga dan budaya penjaja. Kumpulan-kumpulan kerja itu akan terdiri daripada para penjaja, pejuang makanan tempatan dan wakil daripada pelbagai bidang.

Salah satu kumpulan akan meneroka idea untuk memikat dan menyokong muka baru dalam dunia perniagaan penjaja, manakala kumpulan kedua pula akan menimbangkan cara-cara bagi menggalak sifat baik budi dan amalan memulangkan dulang.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan