Skip to main content

Iklan

Iklan

Pemimpin sektor awam perlukan lebih daripada kemahiran gubal dasar: Chan Chun Sing

Sektor perkhidmatan awam akan memerlukan para pemimpin yang mempunyai kemahiran melebihi bidang penggubalan dasar dan ia merancang untuk mencari bakat-bakat seperti itu, menurut Menteri bertanggungjawab bagi Perkhimatan Awam Chan Chun Sing di Parlimen pada Khamis (28 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin sektor awam perlukan lebih daripada kemahiran gubal dasar: Chan Chun Sing

Encik Chan Chun Sing tekankan kelayakan akademik bukan satu-satunya ciri yang perlu dimiliki pemimpin sektor khidmat awam masa depan. (Gambar: Chan Chun Sing/Facebook)

Diterbitkan : 28 Feb 2019 06:10PM Dikemas Kini : 28 Feb 2019 08:12PM

SINGAPURA: Sektor perkhidmatan awam akan memerlukan para pemimpin yang mempunyai kemahiran melebihi bidang penggubalan dasar dan ia merancang untuk mencari bakat-bakat seperti itu, menurut Menteri bertanggungjawab bagi Perkhimatan Awam Chan Chun Sing di Parlimen pada Khamis (28 Feb).

Encik Chan berkata beliau bersetuju dengan beberapa Anggota Parlimen yang menekakan keperluan membentuk kepimpinan perkhidmatan awam yang lebih pelbagai semasa berucap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan bagi Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Oleh itu, apabila perkhidmatan awam memilih pasukan kepimpinan pada masa akan datang, ia akan "lebih meneliti gabungan antara operasi, komunikasi, pengerahan dan pendedahan antarabangsa" melebihi kemahiran-kemahiran penggubalan dasar semata-mata, kata Encik Chan, yang juga merupakan Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

"Kami memerlukan pasukan kepimpinan perkhidmatan awam yang mempunyai bakat yang berbagai-bagai dan berupaya mengemukakan pelbagai perspektif," menurutnya.

"Perkhidmatan awam yang lebih pelbagai mempunyai lebih daya ketahanan untuk menghadapi ketidaktentuan di masa depan."

Kelayakan akademik tetap berperanan mengesahkan kemahiran dan keupayaan tertentu dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak akan mengetepikannya. Bagaimanapun, ia juga akan mencari kemahiran, kebolehan dan ciri-ciri lain apabila mengambil kakitangan, katanya.

"Melebihi intelek, kami juga mahu para pegawai yang mempunyai inisiatif dan idea-idea kreatif serta mereka yang mempunyai kemahiran perorangan dan dapat berkerjasama baik dengan orang lain," menurut Encik Chan.

Menteri itu turut berkongsi bagaimana usaha-usaha sedang dilaksanakan untuk membantu para pegawai awam melakukan tugas dengan cara pemikiran baru dan melengkapi mereka dengan kemahiran-kemahiran baru supaya mereka boleh berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik.

Para pegawai awam harus "berfikir dengan cara berbeza". Mereka mesti berupaya memandang lebih jauh daripada tugas yang dilakukan sekarang dan bekerja dengan rakan-rakan setugas mereka di kementerian atau agensi lain untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik, menurutnya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) akan memperluaskan sistem tawaran pekerjaan untuk mencakupi kumpulan pegawai yang lebih besar supaya mereka dapat meraih perspektif lebih luas dan lebih terdorong untuk bekerja di agensi-agensi berbeza dan bersama sektor swasta dan akar umbi, menurut Encik Chan.

Para pegawai awam bukan saja perlu membangunkan dasar-dasar baik tetapi melaksanakannya dengan baik juga tambahnya. Untuk berbuat demikian, mereka perlu memahami keperluan rakyat dan perniagaan dengan lebih baik, memahami apakah halangan dan cabaran sebenar yang dihadapi dalam melaksanakan dasar-dasar itu dan memastikan ia disempurnakan.

Satu inisiatif baru yang dinamakan Perkhimatan Awam Prihatin, akan diperkenalkan tahun ini untuk menggalak para pegawai menjadi sukarelawan dan berkhidmat kepada masyarakat. Ini akan membantu mereka untuk berkomunikasi lebih baik dengan rakyat, serta menggalak budaya memahami keperluan rakyat dengan lebih baik, menurutnya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan