Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah patut perkenal pakej jagaan kesihatan tetap, menyeluruh bagi warga emas: Pritam Singh

Satu pakej jagaan kesihatan yang "menyeluruh dan tetap" dengan "faedah perubatan tahap asas" sepatutnya diperkenalkan berbanding pakej-pakej sekali sahaja seperti Pakej Generasi Merdeka, kata ketua Parti Pekerja Pritam Singh di Parlimen hari ini (26 Feb). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah patut perkenal pakej jagaan kesihatan tetap, menyeluruh bagi warga emas: Pritam Singh

Anggota Parlimen Parti Pekerja Pritam Singh pada 26 Feb.

Diterbitkan : 26 Feb 2019 08:46PM Dikemas Kini : 26 Feb 2019 09:51PM

SINGAPURA: Satu pakej jagaan kesihatan yang "menyeluruh dan tetap" dengan "faedah perubatan tahap asas" sepatutnya diperkenalkan berbanding pakej-pakej
sekali sahaja seperti Pakej Generasi Merdeka, kata ketua Parti Pekerja Pritam Singh di Parlimen hari ini (26 Feb).

Encik Singh memberi respons kepada kenyataan Belanjawan Menteri Kewangan Heng Swee Keat dan berkata bahawa beliau menerima maklum balas daripada beberapa warga emas bahawa mereka tidak meraih faedah perubatan untuk beberapa tahun disebabkan tahun mereka dilahirkan.

"Sama juga bagi warga emas yang terlepas mendapat manfaat daripada Pakej Generasi Perintis yang lebih lumayan pada 2014, bila mereka berusia antara 60 dengan 64 tahun ketika itu. Mereka berasa bahawa usia kelayakan 60 tahun bagi Pakej Merdeka tidak konsisten dengan Pakej Perintis," kata AP Aljunied itu.

Encik Singh berkata ada "sebab baik" untuk meyakini bahawa Singapura mampu menyokong pakej jagaan kesihatan seumpama itu.

Sejak penyertaan Temasek Holdings ke dalam rangka kerja Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) pada 2016, syarikat itu sudah menyumbang sebanyak S$5 bilion setahun.

Ini membawa kepada jumlah sekitar S$25 bilion sepanjang penggal lima tahun, bermula dari penggal Pemerintah sedia ada, kata Encik Singh.

Kenaikan 35 peratus dalam NIRC daripada 2016 dapat memperjelaskan lebihan yang terkumpul dalam penggal Pemerintah sedia ada, kata Encik Singh.

Dengan kaedah-kaedah dana pembangunan baru menerusi pinjaman yang diumumkan Encik Heng pada awal tahun ini, Encik Singh ingin tahu jika hasil pendapatan dapat diperuntukkan untuk membiayai lebih banyak perbelanjaan berulang.

"Jika ya, kelihatannya membiayai inisiatif jagaan kesihatan menyeluruh dan tetap untuk warga tua kita tidak boleh ditolak sebagai tidak jujur, tidak munasabah atau tidak cermat. Sebalikanya, ia boleh dan patut dianggap sebagai tunggak utama bagi sebuah negara Singapura yang kukuh dan bersatu," kata Encik Singh.

Skim seperti itu sepatutnya menumpukan perhatian kepada usaha meringankan beban belanja yang dikeluarkan dari kocek sendiri bagi khidmat jagaan kesihatan utama untuk menangani isu kos sara hidup semua rakyat Singapura berusia 60 tahun dan ke atas.

"Satu pakej perubatan yang tetap dan menyeluruh bagi warga emas juga akan menjadi lambang penyepaduan di kalangan seluruh rakyat Singapura yang memegang pasport merah dan sehubungan itu, usia kelayakan bagi skim-skim tetap sedemikian patut ditiadakan."

Encik Singh berkata skim seumpama itu juga boleh memanfaatkan rakyat Singapura berusia bawah 60 tahun dan memberikan mereka "ketenangan fikiran".

"Oleh kerana semua rakyat Singapura memberikan komitmen terbaik dan membayar cukai seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan kepada pemerintah sepanjang tahun-tahun mereka bekerja, satu pakej tetap yang membantu warga emas untuk menangani isu-isu kos sara hidup pada usia lanjut akan menyuntik satu mesej perpaduan menjangkaui semua lapisan masyarakat Singapura," katanya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan