Belanjawan 2019

Images
  • smu students
    (Gambar: Universiti Pengurusan Singapura, SMU)

Para AP gesa rakyat S'pura rebut peluang kerja, sokongan pendidikan dalam Belanjawan 2019

SINGAPURA: Para pekerja diajak supaya merebut peluang-peluang baru dalam Program Pertukaran Profesional (PCP) yang kini menyertakan bidang baru seperti blockchain.

Demikian seruan para Anggota Parlimen (AP) yang ditemui BERITAmediacorp untuk berkongsi pandangan mereka berhubung Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada Isnin (18 Feb).

Mereka juga menyambut baik pelbagai pengumuman baru Pemerintah untuk terus mengukuhkan sokongan bagi pendidikan.

PELUANG PERMULAAN BAIK 'TERUTAMA BAGI ANAK-ANAK KITA'

Salah satu tumpuan Belanjawan 2019 adalah untuk memperkukuh sokongan dalam pendidikan.

Maka tidak hairanlah, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan kedua terbesar selepas Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan tahun ini, iaitu S$13.2 bilion.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat semalam mendedahkan, seorang murid yang memulakan sekolah rendah tahun lalu, secara keseluruhannya akan menerima subsidi pendidikan berjumlah S$130,000 apabila dia tamat sekolah menengah.

Kini, para pelajar sekolah rendah dan menengah akan terus mendapat sokongan baru dalam pendidikan mereka, iaitu tokokan Edusave sebanyak S$150.

Manakala pelajar pos menengah bakal mendapat sehingga S$500 dalam Akaun Pendidikan Pos Menengah (PSEA) mereka.

Pemerintah juga sedang meneroka bagaimana untuk memperkukuh sokongan dan jagaan selepas sekolah bagi para pelajar yang kurang bernasib baik.

"Satu inisiatif yang baik sekali kerana ia memberi dorongan kepada masyarakat untuk memberi peluang kepada mereka yang memerlukan pertolongan. Terutamanya anak-anak kita, supaya mereka mendapat peluang untuk ada permulaan yang baik bagi semua bayi di Singapura," kata Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Prof Madya Faishal Ibrahim.

"Walau apa pun cabaran yang mereka hadapi di rumah, mereka akan terus mendapat pendidikan yang baik, dan akses kepada peluang-peluang," kata AP SMC MacPherson Tin Pei Ling. "Ia adalah isyarat yang kuat bahawa Pemerintah percaya akan pentingnya pendidikan dan membantu warga muda kekal berdaya sosial".

PEKERJA DIBANTU BERTUKAR KERJAYA

Golongan pekerja juga terus dibantu.

Selain dari segi bantuan kewangan, yang menjadi tumpuan adalah membantu para pekerja meningkatkan kemahiran dan bertukar kerjaya ke bidang digital.

Ini misalnya menerusi pelancaran Program Pertukaran Profesional (PCP) dalam bidang-bidang baru seperti blockchain dan perisian sedang Singapura bergerak ke arah menjadi hab teknologi kewangan.

"Apa yang menteri telah mengatakan bahawa cabaran buat masa depan itu adalah tinggi. Jadi banyak pertolongan yang diberikan, peningkatan SEC dan juga kredit pekerjaan untuk mereka mempertingkatkan diri. Apa yang ketara juga adalah PCP untuk blockchain untuk pekerja pertengahan usia, pertengahan kerjaya untuk menceburi bidang-bidang sektor baru," kongsi AP GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat.

Lantaran itu, para AP berharap, golongan pekerja akan mengambil peluang untuk terus membangunkan kemahiran mereka.

- BERITAmediacorp/tq

Top