Skip to main content

Iklan

Iklan

Pakej Generasi Merdeka: Apa yang anda perlu tahu

Subsidi penjagaan kesihatan, peruntukan bagi aktiviti sihat dan pengangkutan awam - inilah beberapa faedah yang boleh dijangkakan warga Singapura yang lebih berusia sebagai sebahagian daripada Pakej Generasi Merdeka (MGP).

Anggaran Waktu Membaca:
Pakej Generasi Merdeka: Apa yang anda perlu tahu

(Gambar fail: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 19 Feb 2019 09:29AM Dikemas Kini : 19 Feb 2019 09:34AM

SINGAPURA: Subsidi penjagaan kesihatan, peruntukan bagi aktiviti sihat dan pengangkutan awam - inilah beberapa faedah yang boleh dijangkakan warga Singapura yang lebih berusia sebagai sebahagian daripada Pakej Generasi Merdeka (MGP).

Pertama kali diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018, pakej ini bertujuan menghargai Generasi Merdeka dan membantu mereka membiaya kos penjagaan kesihatan serta menggalak mereka untuk lebih aktif dan menjaga kesihatan.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Isnin (18 Feb) mendedahkan lebih perincian tentang pakej tersebut dalam pembentangan Belanjawan 2019.

SIAPA LAYAK?

Pakej itu dijangka memberi manfaat kepada sekitar 500,000 ribu warga Singapura, termasuk:

- Mereka yang lahir pada tahun-tahun 1950an

- Mereka dilahirkan pada 1949 atau lebih awal namun tidak disertakan dalam Pakej Generasi Perintis

Semua penerima perlu sudah pun memiliki kerakyatan pada 1996.

BERAPA KOSNYA?

Pakej ini dijangka berjumlah S$8 bilion dolar secara keseluruhannya menjangkau sepanjang hayat para penerima. Sebanyak S$6.1 bilion akan diperuntukkan bagi Dana Generasi Merdeka baru. Dengan faedah yang dikumpulkan, lama kelamaan ia akan membiayai keseluruhan kos yang dijangkakan bagi pakej ini, menurut Menteri Kewangan dalam pembentangannya.

BILA IA BERMULA?

Semua warga emas yang layak akan dimaklumkan menjelang April 2019 dan akan menerima kad Generasi Merdeka mereka mulai Jun tahun ini. Perincian lanjut akan diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan.

Ini antara manfaat yang ditawarkan:

1. TOKOKAN S$100 DALAM KAD PASSION SILVER

Warga berusia akan menerima tokokan sekali sahaja bernilai S$100 ke dalam kad PAssion Silver, yang boleh digunakan bagi membayar kegiatan atau kemudahan di kelab masyarakat, yuran masuk ke kolam renang, pengangkutan awam dan lain-lain.

2. TOKOKAN MEDISAVE

Warga emas Generasi Merdeka juga akan mendapat tokokan akaun Medisave sebanyak S$200 setahun selama lima tahun sehingga 2023. Ini bagi membantu mereka menambah simpanan bagi keperluan jagaan kesihatan.

3. SUBSIDI JAGAAN PESAKIT LUAR TAMBAHAN, SEPANJANG HAYAT

Subsidi Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) khas akan dihulurkan kepada para penerima pakej bagi penyakit-penyakit biasa dan kronik serta prosedur pergigian. Semua penerima pakej Generasi Merdeka akan menerima manfaat ini tidak kira tahap pendapatan, termasuk mereka yang tidak mempunyai kad CHAS sekarang.

Mereka juga akan menerima potongan tambahan 25 peratus di atas bil bersubsidi di poliklinik dan klinik-klinik pakar awam pesakit luar.

4. SUBSIDI PREMIUM MEDISHIELD HAYAT TAMBAHAN

Satu lagi subsidi sepanjang hayat.

Subsidi ini bermula dengan lima peratus daripada premium MediShield Hayat dan dinaikkan kepada 10 peratus selepas warga emas mencecah usia 75 tahun.

Ini bermakna mereka akan menerima diskaun antara S$31.50 hingga S$918, bergantung pada harga premium.

5. SATU LAGI 'INSENTIF PENYERTAAN' CARESHIELD HAYAT

Warga emas yang menyertai CareShield Hayat akan menerima tambahan S$1,500 (apabila skim itu dilaksanakan bagi kohort sedia ada pada 2021).

Ini di samping jumlah S$2,500 yang diumumkan sebelum ini. Dengan ini, semua warga Generasi Merdeka yang menyertai skim itu akan mendapat insentif penyertaan berjumlah S$4,000. 

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan