Belanjawan 2019

Images
  • mccy
    (Gambar: MCCY) 

MCCY lakar pelan baru untuk realisasikan suara belia dalam pembangunan Singapura

SINGAPURA: Para belia akan mendapat lebih banyak peluang untuk bersuara dalam membina Singapura yang mereka inginkan dengan pembentukan satu pelan tindakan yang baru, kata Menteri Negara Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Sim Ann dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan di Parlimen pada Jumaat (8 Mac).

Cik Sim berkata: "Kami tahu golongan belia ingin merealisikan perbincangan-perbincangan ini. Kami akan menyokong pembentukan Pelan Tindakan Belia SG itu untuk memberi mereka suara yang jelas dalam membina negara Singapura yang mereka inginkan."

Menurut beliau, siri dialog Youth Conversations atau Perbincangan Belia menonjolkan aspirasi, keperluan dan kepentingan para belia yang merangkumi pekerjaan, kesejahteraan mental dan pelestarian alam sekitar.

Golongan belia yang dimaksudkan merujuk kepada orang-orang yang berusia di antara 15 hingga 35 tahun.

Pelan tindakan itu dilakar oleh sebuah panel yang terdiri daripada para pemimpin belia dari pelbagai sektor dan organisasi yang akan menjelaskan visi para belia untuk negara Singapura pada tahun 2025 dan membawa kepada saranan-saranan dan kerjasama.

Panel yang turut diketuai oleh Cik Sim itu akan mengenal pasti peluang-peluang untuk golongan belia memberi saranan-saranan dasar dan melibatkan diri dalam projek-projek dengan pemerintah, masyarakat, pertubuhan-pertubuhan bukan mencari untung dan perusahaan-perusahaan untuk menerajui perubahan yang mereka harapkan.

Panel itu akan dibentuk pada suku kedua 2019 dan akan bekerja rapat dengan agensi-agensi pemerintah dan Majlis Belia Kebangsaan untuk melibatkan pihak-pihak berkepentingan dan para belia dari semua lapisan masyarakat.

Menurut Cik Sim, pelibatan-pelibatan itu akan dijalankan secara dalam talian dan secara langsung. Butiran-butirannya akan diumumkan pada akhir tahun ini.

RANGKAIAN BELIA SOMERSET

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), bersama-sama dengan NYC, menyatakan bahawa proses pelibatan itu akan bermula pada bulan April melalui tiga fasa.

Para belia boleh melibatkan diri mereka di bawah pelan tindakan itu dengan berkongsi maklum balas mereka mengenai Rangkaian Belia di kawasan Somerset.

Fasa pertama akan mengajak para belia untuk mengambil bahagian dan berkongsi pandangan mereka tentang apa yang mereka ingin lihat di Rangkaian Belia Somerset, dan bagaimana mereka dapat membantu untuk menyegarkan semula kawasan tersebut.

Cik Sim menyentuh tentang kawasan-kawasan tumpuan para belia masa kini seperti *SCAPE, The Red Box dan Skate Park, yang mengetengahkan muzik dan media, keusahawanan, pembelajaran serta sukan-sukan bandar.

Sehubungan itu, beliau mengatakan bahawa dengan pembaharuan Orchard Road, terdapat peluang yang unik untuk mereka melakar semula Rangkaian Belia itu.

Cik Sim berkata: "Kami akan melibatkan para belia dalam inisiatif mencipta tempat, dengan sesi-sesi dalam talian dan secara langsung supaya mereka boleh memberitahu kami bagaimana untuk membangunkan kawasan belia itu ke peringkat seterusnya."

Fasa kedua pula akan menyatukan maklum balas dan idea-idea para belia itu untuk dikaji oleh sebuah panel yang terdiri daripada pakar-pakar teknikal tentang kebolehlaksanaannya. Fasa terakhir akan mengajak para belia untuk menyuarakan pendapat mereka terhadap saranan-saranan yang sudah dipilih.

Menurut MCCY, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan pihak berkepentingan yang lain untuk pembangunan seterusnya dan pelaksanaan saranan-saranan tersebut.

SIRI PERBINCANGAN BELIA

Pelan tindakan itu akan memperlihatkan siri Perbincangan Belia diteruskan tahun ini melalui platform digital untuk melibatkan lebih ramai golongan muda. Versi percubaan dijadual akan dilancarkan pada April.

Menurut MCCY, lebih daripada 8,000 belia terlibat dalam siri-siri dialog itu pada 2018.

Platform digital yang baru itu akan mempunyai kemudahan seperti fungsi-fungsi pengundian dan perbincangan untuk golongan belia menyumbang dan bertukar pandangan.

Kementerian itu berharap bahawa melalui pelibatan sivik yang aktif, golongan muda akan berasa lebih diperkasakan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. 

- CNA/IL/il

Top