Belanjawan 2019

Images
  • masagos zulkifli reach
    Encik Masagos Zulkifli

Masagos ajak masyarakat rebut peluang yang diperuntuk dalam Belanjawan 2019

SINGAPURA: Belanjawan tahun ini adalah belanjawan berprinsip, yang berkongsi lebihan negara bersama rakyat, malah ia juga memenuhi keperluan generasi masa depan. Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli.

Lantaran itu, beliau menggesa masyarakat Melayu/Islam untuk merebut peluang sokongan yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019. Ini agar masyarakat Melayu/Islam dapat sama-sama bergerak maju mengharungi sekitaran global yang kian mencabar.

Encik Masagos menyeru demikian semasa sesi dialog pasca Belanjawan 2019, anjuran unit maklum balas Pemerintah, REACH, dengan kerjasama Berita Harian, malam semalam (19 Feb).

MASAGOS: TINGKATKAN DIRI AGAR SESUAI DENGAN CABARAN SEMASA

Beliau yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air turut mengajak masyarakat melihat Belanjawan tahun ini dalam lensa jangka masa panjang, bagi membina sebuah masyarakat yang maju dan dapat menyumbang kembali kepada negara.

Ini lebih-lebih lagi dengan perubahan luar yang tidak menentu seperti pertembungan antara kuasa membabitkan China, yang akan merubah sistem ekonomi dunia.

"Selama 200 tahun sejarah Singapura dilukis bersama kita sekarang menghadapi cabaran yang besar, cabaran yang baru.

"Dengan Belanjawan ini kita dapat menggembleng tenaga bersama, kita dapat mempersiapkan diri, kita dapat mengambil peluang secepatnya supaya masa depan yang penuh cabaran ini dapat kita ubah menjadi peluang untuk kita terus ke depan sebagai masyarakat dan juga sebagai negara," kata Encik Masagos.

Maka itu tambah Encik Masagos untuk mempersiap golongan Melayu/Islam berdepan dengan cabaran ini, pelbagai dana akan diperuntukkan. Antaranya demi mewujudkan lebih banyak pekerjaan-pekerjaan baru yang bermakna serta mengembangkan lagi perusahaan agar ia diiktiraf di mata dunia.

Mengulas lebih lanjut tentang isu-isu berkaitan masyarakat Melayu/Islam dan Belanjawan Negara, Encik Masagos berkata masyarakat Melayu/Islam rata-rata sedar dan prihatin terhadap pakej-pakej yang disediakan.

Bagi Encik Masagos, respons positif itu mencerminkan bagaimana masyarakat Melayu/Islam mengetahui dan memahami kepentingan mereka, sekali gus memahami 'kepentingan-kepentingan yang mereka harus maju'.

RAHAYU: BELIA & BELANJAWAN NEGARA

Turut dibincangkan dalam sesi tersebut ialah soal pemberian habuan menerusi Pakej Generasi Merdeka dan Bonus Bicentennial serta sokongan bagi karyawan dan syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).

Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam yang turut hadir sebagai anggota panel turut menarik perhatian tentang usaha jangka panjang Belanjawan 2019, bagi memanfaatkan golongan belia.

Menurut Cik Rahayu, salah satu caranya ialah menerusi sinergi M³ - MUIS, MENDAKI, MESRA.

"Satu aspek yang juga ditimbulkan ialah bagaimana kesediaan belia kita untuk masa akan datang. Ini saya rasa adalah satu topik penting dan ini juga ada kaitannya dengan pelan masyarakat dan pelan Singapura pada masa akan datang.

"Dan ini penting untuk kita ajak belia kita faham apakah keadaan ekonomi apakah industri-industri yang akan berkembang dan bagaimana mereka dapat terus kekal relevan dan maju pada masa akan datang," tekan Cik Rahayu.  

- BERITAmediacorp/tq

Top