Belanjawan 2019

Images
  • grace fu 2
    Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu.

Lagi 5 pusat sukarelawan baru bakal dibangunkan jelang 2019

SINGAPURA: Lagi lima pusat sukarelawan (VC) akan dibangunkan di pelbagai bandar di Singapura menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu hari ini (8 Mac).

Pusat-pusat berkenaan merupakan pertubuhan berteraskan masyarakat di merata Singapura yang sudah dikenal pasti oleh Pemerintah untuk memainkan peranan bagi merekrut dan membangunkan keupayaan para sukarelawan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mencipta peluang bagi kegiatan sukarelawan serta menjalinkan kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memenuhi keperluan bandar tersebut.

Semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya, Cik Fu berkata: "VC ini akan merekrut, mengurus dan membangunkan para sukarelawan secara kerap, serta mencipta peluang sukarelawan berdasarkan keperluan tempatan dan membangunkan kerjasama dengan pihak berkepentingan."

Kelima-lima pusat itu dilancarkan menyusuli dua pusat perintis yang dibangunkan di Bedok dan Jurong East.

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menyatakan lokasi kelima-lima VC itu sedang dimuktamadkan, dan Pemerintah akan mengongsi perinciannya "apabila ia sudah bersedia".

Cik Fu berkata VC di Bedok, yang diberi nama Khidmat Masyarakat Filos (Filos Community Services), akan menghasilkan kit peralatan bagi mendampingi para sukarelawan. Ia juga akan menghasilkan rangka kerja bagi mendampingi pihak berkepentingan dalam usaha menggalak kegiatan sukarelawan di bandar tersebut.

Beliau menambah bahawa VC di Jurong East, iaitu Pusat Berbilang Khidmat Loving Heart (Loving Heart Multi-Service Centre), sudahpun melancarkan program "Neighbour Cares" - iaitu sejenis program bagi mengerahkan jiran tetangga sebagai para sukarelawan bagi membantu golongan warga tua yang memerlukan khidmat sokongan.

Menurut MCCY, projek-projek perintis sebelum ini menunjukkan usaha berdedikasi di peringkat tempatan - iaitu membangunkan bakat sukarelawan dan meningkatkan keupayaan mereka serta menyelaraskan permintaan dan bekalan sukarelawan - adalah penting bagi meninggalkan kesan yang besar.

Menurut kementerian itu lagi, ia akan menyokong VC dengan menghubungkan pusat-pusat tersebut dengan sumber yang disediakan serta memperluaskan rangkaiannya. Selain itu, ia juga akan membantu membangukan keupayaan pengurusan sukarelawannya, serta mengongsi maklumat bagi membantu mereka memanfaatkan dan menggunakan sumber-sumber dengan lebih berkesan.

Cik Fu juga menarik perhatian bahawa Pemerintah akan menyemak kemajuan VC tersebut sebelum memperluaskan usahanya.  

- CNA/AI/ai

Top