Belanjawan 2019

Images
  • silver zone
    Gambar Zon Perak.

Lagi 20 lokasi dilengkapi ciri Zon Perak mesra warga tua

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan memperkenalkan zon keselamatan di lagi 20 lokasi di merata Singapura untuk menjadikan jalan raya lebih selamat kepada pejalan kaki warga tua.

Demikian menurut LTA hari ini (7 Mac).

Digelar Zon Perak, kawasan-kawasan itu terletak di estet-estet perumahan seperti Ang Mo Kio, Pasir Panjang, Tampines dan Yishun.

Ia menampilkan ciri-ciri keselamatan seperti jalan raya yang lebih sempit demi mendorong kenderaan mengurangkan kelajuan, dan dipasang dengan prasarana tambahan seperti ‘membahagi’ jalan raya dengan pembahagi tengah, yang membolehkan warga tua berhenti dengan lebih selamat untuk berehat di tengah jalan raya.

Kerja-kerja pemasangan ciri-ciri keselamatan itu dijangka selesai menjelang 2020.

Skim Zon Perak sudah pun dilaksanakan di 15 kawasan sejak ia pertama kali diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan pada 2014.

Perangkaan menunjukkan kadar kemalangan melibatkan pejalan kaki warga tua di zon-zon sedemikian merosot hampir 75 peratus, menurut LTA.

Semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya di Parlimen hari ini (7 Mac), Setiausaha Parlimen Kanan Pengangkutan Baey Yam Keng berkata LTA akan bekerjasama dengan masyarakat untuk mempertingkatkan reka bentuk Zon-Zon Perak.

Encik Baey menarik perhatian Pemerintah sudah mengamalkan "huraian inovasi" bagi membaiki zon-zon tersebut, dengan menguji penanda jalan tiga dimensi di Whampao Drive. Penanda itu bertujuan untuk menggalak para pemandu supaya mengurangkan had laju disebabkan oleh laluan jalan raya yang kelihatan lebih sempit.

Lampu-lampu LED juga dipasang di lintasan belang di zon-zon tersebut supaya para pemandu lebih berhati-hati terhadap para pejalan kaki pada waktu malam.

LTA menyatakan ia merancang untuk melaksanakan 50 Zon Perak di estet-estet perumahan menjelang 2023. 

- CNA/AI/ai

Top