Belanjawan 2019

Images
  • sg parliament house
    Rumah Parlimen di Singapura. (Gambar fail: Edgar Su/Reuters)

Hari pertama perbahasan Jawatankuasa Perbekalan: 5 perkara utama

SINGAPURA: Daripada bayi, perkahwinan hinggalah kecerdasan buatan (AI), para Anggota Parlimen (AP) membincangkan pelbagai isu secara meluas pada hari pertama perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada Khamis (28 Feb), menyusuli ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Tumpuan diberikan kepada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan sedang menteri-menteri menjawab soalan-soalan perbahasan dan memberikan perkembangan terkini tentang rancangan untuk tahun kewangan akan datang.

Berikut adalah lima mesej utama:

1. PEMIMPIN PERKHIDMATAN AWAM PERLU ADA CIRI-CIRI MELEBIHI INTELEK

Mereka yang ingin menyertai perkhidmatan awam, sila ambil perhatian: Pasukan kepimpinan di masa hadapan akan dipilih bukan hanya kerana kemahiran menggubal dasar atau daya intelek. Sektor tersebut ingin mencari satu gabungan antara "operasi, komunikasi, kerahan dan pendedahan antarabangsa," menurut Menteri bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing.

Beliau bersetuju dengan beberapa Anggota Parlimen yang bercakap mengenai keperluan membentuk kepimpinan perkhidmatan awam yang lebih pelbagai.

Para pegawai awam juga digalak untuk "berfikir dengan cara berbeza" agar dapat berkhidmat untuk rakyat dengan lebih baik.

Salah satu usaha ke arah tersebut adalah inisiatif baru yang dinamakan Perkhidmatan Awam Prihatin, yang akan diperkenalkan tahun ini untuk menggalak para pegawai menjadi sukarelawan dan berkhidmat kepada masyarakat. Ini akan membantu mereka untuk berkomunikasi lebih baik dengan rakyat, serta menggalak budaya memahami keperluan rakyat yang lebih baik, menurutnya.

2. TAPI KAMI AKAN GANDAKAN KECERDASAN BUATAN

Singapura perlu 'menggandakan' usaha membangunkan sektor kecerdasan buatan, dedah Menteri bertanggungjawab bagi Insiatif Negara Bijak, Vivian Balakrishnan.

Ini bermakna memperluaskan pengetahuan setempat. Beliau menambah, AI akan dibangunkan supaya semua orang boleh meraih manfaat daripada keupayaan sedemikian. Ini dapat dilakukan dengan mengajar pemikiran komputasi dan celik data di sekolah-sekolah dan melatih orang-orang dewasa dalam sains data dan kemahiran AI.

"Kami tidak jangkakan semua orang menjadi seorang pakar AI," menurut Dr Balakrishnan. "Tetapi AI ... adalah teknologi umum.... dan kami mahu tenaga kerja kami berupaya menggunakan kaedah (seperti itu) untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam masa depan ekonomi yang dipacu AI.

3. TEMPAT LETAK KENDERAAN "BIJAK" TIDAK LAMA LAGI

Inisiatif-inisiatif Negara Bijak akan dikemas kini tahun ini, sedang pihak berkuasa mengumumkan perluasan dua inisiatif - Moments of Life dan MyInfo - untuk lebih memenuhi keperluan rakyat.

Apa yang akan diperluaskan:

Moments of Life: Aplikasi ini membantu para ibu bapa menguruskan tahun-tahun awal pembangunan anak-anak mereka dan akan diperluaskan untuk mencakupi "detik-detik penting kehidupan" lain seperti menggalak warga tua untuk menjalankan gaya kehidupan aktif dan untuk rakyat merancang awal dalam isu-isu berkaitan akhir hayat.

MyInfo Business: Ini bertujuan membantu melancarkan urusniaga antara perniagaan, sebagai contoh, menjimatkan masa pemilik perniagaan apabila menghantar data yang disahkan-Pemerintah. Berita baik bagi para pemandu juga, kerana satu percubaan baru tahun ini bertujuan memudahkan pemandu mencari tempat letak kenderaan. Menerusi satu projek baru juga, pihak berkuasa akan menguji sensor-sensor bijak untuk memberikan maklumat tempat-tempat letak kereta kosong di bahu jalan pada masa nyata.

Ujian tersebut akan bermula pada separuh pertama tahun ini untuk tempoh enam bulan di Telok Ayer Street dan Temple Street.

Para pemandu boleh melihat sekiranya ada tempat letak kenderaan menerusi laman URA dan fungsi Find Parking di aplikasi OneService app. Setelah hasil percubaan itu dinilai, maklumat mengenai tempat letak kenderaan di bahu jalan akan dilancarkan di Parking.sg pada fasa seterusnya.

4. SUBSIDI AGAR PRASEKOLAH LEBIH DIMAMPUI

Pemerintah juga mahu mendengar pandangan rakyat Singapura berkaitan bayi dan perkahwinan. Dalam beberapa bulan ini, pihak berkuasa akan mendapatkan pandangan orang awam mengenai keperluan dan keprihatinan mereka mengenai perkahwinan dan keibubapaan, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri Cik Josephine Teo.

Cik Josephine Teo berkata beliau sedar akan keprihatinan ibu bapa mengenai kos seperti yuran prasekolah. Oleh itu, rangka kerja subsidi prasekolah sedang dikaji semula untuk memastikan ia lebih dimampui golongan ibu bapa.

Cuti keibubapaan juga mendapat tumpuan, dengan AP GRC Nee Soon Louis Ng bertanya sekiranya ada kemungkinan menambah jumlah cuti.

Menurut Cik Teo, pemerintah akan terus mengkaji hal tersebut tetapi beliau berkata "kami mesti berhati-hati bila mewajibkan perniagaan-perniagaan melakukan lebih banyak lagi" kerana ia akan menjejas perniagaan mereka.

5. LEBIH MUDAH UNTUK SME SERTAI PROJEK AWAM

Untuk memudahkan syarikat-syarikat kecil dan sederhana mengambil bahagian dalam projek-projek awam, pemerintah akan meningkatkan had nilai sebut harga kepada S$90,000 tahun ini berbanding S$70,000 sekarang.

Ini akan membenarkan syarikat-syarikat kecil dan pemula untuk mendapatkan projek-projek pemerintah bernilai lebih tinggi menerusi sebut harga dengan syarat dan ketetapan kontrak yang lebih mudah dan biasanya diproses dengan lebih cepat, menurut Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah. 

- CNA/NA/aq

Top