Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hab baru NS tingkat pengalaman para anggotanya

Menjelang 2023, para anggota Perkhidmatan Negara (NS) akan dapat memanfaatkan segala khidmat yang diperlukan - daripada pemeriksaan kesihatan sebelum menjalani NS hingga Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT) - di sebuah hab sehenti baru sebesar saiz sembilan padang bola sepak.

Anggaran Waktu Membaca:
Hab baru NS tingkat pengalaman para anggotanya

Lukisan Hab NS baru. (Gambar-Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 04:33PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 04:42PM

SINGAPURA: Menjelang 2023, para anggota Perkhidmatan Negara (NS) akan dapat memanfaatkan segala khidmat yang diperlukan - daripada pemeriksaan kesihatan sebelum menjalani NS hingga Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT) - di sebuah hab sehenti baru sebesar saiz sembilan padang bola sepak.

"Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga memutuskan untuk membina sebuah pusat kemudahan bagi memenuhi keperluan anggota NS dengan lebih baik lagi," kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan hari ini (1 Mac).

Hab NS, yang terletak bertentangan stesen MRT Cashew di Bukit Panjang, akan menempatkan pusat-pusat perubatan bagi pemeriksaan kesihatan, pusat latihan jasmani bagi IPPT dan e-Mart bagi membeli peralatan NS. Hab itu juga akan menggunakan teknologi canggih seperti pengenalan wajah, automasi dan kaedah analitik bagi meningkatkan pengalaman para pengunjung.

Pangkalan Tenaga Manusia Pusat (CMPB) di kem Depot Road di mana proses pendaftaran NS dijalankan, juga akan dipindahkan ke hab tersebut. Bangunan yang dikosongkan akan digunakan bagi tujuan lain.

Buat masa ini, mereka yang bakal menjalani perkhidmatan negara mengambil IPPT di Stadium Toa Payoh, membuat pendaftaran di CMPB Depot Road, dan kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Perubatan Tentera di Kent Ridge.

TIDAK LAGI PERLU BERITAHU JIKA KELUAR NEGARA

Di samping itu, Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How mengumumkan beberapa langkah baru bagi mempertingkat pengalaman NS dengan tujuan untuk menunjukkan sokongan dan galakan kepada para anggota Perkhidmatan Negara.

Sebagai permulaan, mulai 1 Mac, MINDEF dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri akan memansuhkan syarat pemberitahuan untuk ke luar negara bagi perjalanan kurang enam bulan.

Buat masa ini, para anggota NS yang ke luar negara selama antara 15 hari dengan enam bulan, perlu memaklumkan agensi-agensi tersebut tentang perjalanan ke luar negara dan memberikan butir yang diperlukan untuk menghubungi mereka.

MENYUMBANG SEMASA TEMPOH KERAHAN DENGAN KEPAKARAN AWAM

Encik Heng juga mengumumkan bahawa para anggota kerahan NS kini boleh menyumbang kepada pertahanan negara dengan kepakaran yang mereka miliki sebagai orang awam lebih awal dalam pusingan Latihan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (ORNS) mereka. Kepakaran yang dimaksudkan termasuk kemahiran-kemahiran "relevan dan penting" seperti kejururawatan dan infokomunikasi.

Sebelum ini, para anggota kerahan NS perlu menghabiskan pusingan latihan selama 10 tahun sebelum dibenarkan bertukar kepada peranan yang membenarkan mereka menggunakan kepakaran awam masing-masing.

LEBIH BANYAK KURSUS TINGKAT KEMAHIRAN BAGI NSF

Bagi para anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF), MINDEF akan membantu mereka dalam fasa peralihan kepada bidang pengajian atau pekerjaan dengan memperkenalkan tiga inisiatif pada pertengahan 2019.

Pertama, para NSF boleh menggunakan kredit Program Pekerjaan Sebelum Tamat NS (E-PREP) dan memilih daripada sekitar 3,000 kursus, termasuk kursus-kursus SkillsFuture yang menumpukan perhatian kepada kemahiran-kemahiran seperti analisis data dan keselamatan siber. Antara kursus lain yang boleh disertai adalah Kursus-Kursus Online Terbuka yang ditawarkan para penyedia latihan yang diluluskan SkillsFuture seperti Udemy.

Kedua, MINDEF akan bekerjasama dengan Institut-Institut Pengajian Tinggi untuk melakarkan kursus-kursus bermodul bagi E-PREP yang akan memberikan NSF pengecualian kredit bagi program-program pengajian tinggi selepas Tempoh Tamat Perkhidmatan (ORD).

Akhir sekali, MINDEF akan menyediakan satu program kerjaya untuk para NSF mendekati tarikh ORD dengan menjalankan bengkel-bengkel khidmat nasihat SkillsFuture.

MINDEF dan Angkatan Bersenjata Singapura juga akan mencuba satu inisiatif dinamakan 'NS Memories' untuk "memperkukuh penglibatan dan menyokong NS".

Sumber : CNA/AQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan