Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

DPPMS: Inisiatif SG Maju, Ejen Inovasi mampu bantu syarikat tempatan dalami keupayaan

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyatakan program-program sokongan lebih khusus seperti SG Maju dan program perintis, Ejen Inovasi, boleh membantu syarikat-syarikat tempatan mendalami keupayaan masing-masing dan menembusi pasaran baru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyatakan program-program sokongan lebih khusus seperti SG Maju dan program perintis, Ejen Inovasi, boleh membantu syarikat-syarikat tempatan mendalami keupayaan masing-masing dan menembusi pasaran baru.

Daya usaha tersebut diumumkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam Belanjawan 2019 kelmarin (18 Feb).

Menurut DPPMS, kecanggihan teknologi digital akan mengubah cara perniagaan dijalankan. Maka itu penting bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk berinovasi dan menguasai ekonomi digital.

"Singapura ini adalah pasaran yang terhad dan saya fikir bahawa perniagaan-perniagaan kami harus mahu melintasi sempadan dan beroperasi secara antarabangsa.

"Yang penting, perniagaan harus menerima hakikat bahawa dunia digitalisasi ini adalah sesuatu yang sudahpun berlaku dan akan berlaku dan mereka harus mengubah perniagaan mereka supaya dapat menggunakan landasan diberi," kongsi Pengarah Eksekutif DPPMS Encik Azrulnizam Shah.

Pengarah Eksekutif DPPMS Azrulnizam Shah Sohaimi.

Di tengah-tengah pertumbuhan global yang semakin mencabar, program sokongan $1 bilion dalam Belanjawan kali ini dilihat sebagai lebih strategik dan tersasar dalam memenuhi pelbagai keperluan syarikat tempatan.

Sementara itu, sebilangan usahawan Melayu/Islam yang ditemui BERITAmediacorp menyifatkan Belanjawan 2019 sebagai meletakkan perniagaan mereka dalam ekosistem yang tepat untuk kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Ini terutamanya menerusi tumpuan pada Program Transformasi Digital untuk SME dan program baru SG Maju.

Antaranya adalah syarikat SSA Consulting Group yang ditubuhkan pada 1986. Setelah lebih 30 tahun beroperasi, syarikat itu terus berkembang sehingga berjaya memasuki pasaran di negara-negara serantau dan Timur Tengah.

CEO SSA Consulting Group Suhaimi Salleh. (Gambar: BERITAMediaCorp) 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SSA Consulting Group, Encik Suhaimi Salleh, percaya bahawa kejayaan berkenaan dapat dikecapi atas prinsip syarikat tersebut yang sentiasa ingin relevan dengan perkembangan semasa.

Sebagai contoh, SSA Consulting Group sudah mendakapi proses pendigitalan dan memanfaatkan geran-geran sedia ada seperti Geran Huraian Produktiviti.

Lantaran itu, skim yang diperluaskan dalam Belanjawan kali ini kata Encik Suhaimi, seperti Program Transformasi Digital untuk SME dapat mengukuhkan lagi syarikatnya.

"Proses transformasi digital ini kami anggap penting agar kami dapat meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesilapan dalam proses kerja kami serta memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggan kami.

"Dalam masa-masa yang mendatang ini, syarikat-syarikat SME boleh menjangkakan kos perniagaan akan terus meningkat kerana itu perlu bagi syarikat-syarikat SME terus meningkatkan keupayaan digital mereka," kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan