Belanjawan 2019

Images
  • josephine teo
    Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo semasa wawancara bersama stesen radio Mediacorp, 938NOW.

Daya tarikan pekerjaan sektor perkhidmatan S'pura akan beransur malap bagi pekerja asing

SINGAPURA: Sektor perkhidmatan Singapura mesti mengambil langkah berani yang mungkin menyakitkan. Sektor itu juga perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan kemungkinan berlakunya keadaan di mana tidak ramai pekerja asing yang sanggup bekerja di sini berdasarkan gaji yang ditawarkan.

Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata inilah salah satu sebab utamanya Singapura tidak boleh terlalu bergantung kepada para pekerja asing dalam sektor tersebut.

"Ia bukanlah satu keputusan yang mudah. Kami terpaksa menimbangkannya banyak kali," kata Cik Teo sambil merujuk kepada kenyataan Belanjawan 2019 yang disampaikan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat, di mana beliau mengumumkan potongan pada kuota pekerja asing dalam sektor perkhidmatan.

Juga dikenali sebagai Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC), kuota itu menetapkan nisbah maksimum pekerja asing yang boleh digajikan oleh sesebuah syarikat.

DRC bagi sektor berkenaan akan dipotong dari 40 peratus pada masa ini kepada 35 peratus menjelang 2021.

Jumlah pemegang Pas S juga akan diturunkan daripada 15 peratus kepada 10 peratus, secara bertahap-tahap pada 2021.

Dalam wawancara bersama stesen radio Mediacorp 938NOW, Cik Teo menarik perhatian kepada keadaan di mana golongan pertengahan di negara-negara Asia Tenggara mungkin meningkat pada masa hadapan.

Jika negara-negara itu menjadi lebih mewah, rakyatnya juga akan memperolehi gaji yang serupa dengan apa yang ditawarkan di Singapura. Lantaran itu, ramai daripada mereka mungkin enggan mengambil pekerjaan perkhidmatan seumpama itu di sini.

Cik Teo menambah bahawa hasil positif yang tercetus akibat keputusan menyesuaikan potongan pada DRC akan menjadikan amalan perniagaan lebih mampan. Pekerjaan perlu direka semula secara holistik, ujar beliau, manakala para pekerja tempatan perlu mempunyai kemahiran baru demi menyesuaikan diri dengan masa hadapan yang lebih bergantung kepada digital.

Pemerintah akan membantu syarikat-syarikat untuk mencapai matlamat tersebut menerusi skim-skim yang diperluaskan dan inisiatif-inisiatif baru. Misalnya, Encik Heng mengumumkan pelbagai langkah bernilai S$1 bilion bagi membantu syarikat-syarikat tempatan membuat transformasi.

TIADA PERUBAHAN PADA SEKTOR LAIN

Menulis di laman Facebooknya menyusuli pengumuman Belanjawan 2019, Cik Teo memberi jaminan kepada syarikat-syarikat bahawa tiada perubahan lain dibuat kepada kuota DRC bagi sektor-sektor lain.

Beliau menambah bahawa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tidak akan menaikkan levi pekerja asing. Ia juga tidak akan membuat perubahan pada dasar-dasar sedia ada bagi para pemegang Pas Pekerja.

Dari segi memberi insentif kepada syarikat-syarikat bagi menggajikan para pekerja pula, terutamanya mereka yang lanjut usia dan diberhentikan ataupun mungkin dibuang kerja, Cik Teo berkata program-program di bawah Inisiatif Suai-Maju MOM seperti Program Sokongan Kerjaya berjaya membuahkan hasil.

Setakat ini, program-program Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) seumpama itu berjaya memadankan 76,000 pemohon pekerja dengan pekerjaan baru.

Oleh itu, Cik Teo berkata beliau "amat gembira" dengan pengumuman Encik Heng bahawa CSP akan dilanjutkan selama dua tahun lagi sehingga Mac 2021.

Beliau juga berkata sebahagian besar pekerja itu tidak menerima potongan gaji apabila menerima tawaran pekerjaan baru.

Para pemohon pekerja yang meminta bantuan daripada WSG juga tidak perlu bimbang membelanjakan wang bagi menjalani latihan, kata Cik Teo. Ini kerana program-program latihan kemahiran menerima subsidi daripada Pemerintah dan para majikan.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2019 akan memperuntukkan lagi S$3.6 bilion bagi membantu para pekerja berdepan dengan gangguan teknologi.

BONUS BICENTENNIAL

Pengagihan Bonus Bicentennial bernilai S$1.1 bilion bagi golongan rakyat Singapura yang berpendapatan rendah merupakan satu lagi pengumuman utama dalam Belanjawan 2019.

Cik Teo bagaimanapun berkata, ia seharusnya dianggap sebagai satu habuan. Sebaliknya ia harus dilihat sebagai satu cara mengiktiraf dan memberi ganjaran bagi kerja keras para pekerja.

Sekitar 1.4 juta rakyat Singapura yang berpendapatan rendah akan menerima agihan Bonus Bicentennial sehingga S$300 menerusi Baucar GST.

Para pekerja berpendapatan rendah - di bawah skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) - juga akan menerima Bonus Daya Kerja Bicentennial.

Mereka akan menerima tambahan 10 peratus bayaran bagi kerja-kerja yang dilakukan pada 2018, dengan bayaran minimum sebanyak S$100 dalam bentuk wang tunai. 

- CNA/AI/ai

Top