Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan tidak dirancang berdasarkan pilihan raya, kata Heng Swee Keat

Belanjawan 2019 adalah satu 'pelan strategik' bagi memastikan kejayaan Singapura dalam tempoh jangka panjang dan bukan berdasarkan kitaran pilihan raya, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa forum pasca Belanjawan yang disiarkan di televisyen pada Selasa (19 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2019 10:10AM Dikemas Kini : 21 Feb 2019 12:21AM

SINGAPURA: Belanjawan 2019 adalah satu 'pelan strategik' bagi memastikan kejayaan Singapura dalam tempoh jangka panjang dan bukan berdasarkan kitaran pilihan raya, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa forum pasca Belanjawan yang disiarkan di televisyen pada Selasa (19 Feb).

Encik Heng berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan hos forum itu mengenai kunci kira-kira Pemerintah dan sama ada lebihan fiskal yang diperolehi sejak permulaan penggal Pemerintah akan 'mendorong strategi pilihan raya' memandangkan Pilihan Raya Umum seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya awal 2021.

Sesetengah pakar ekonomi menganggarkan bahawa lebihan fiskal yang diperolehi sejak tiga tahun lalu melebihi S$15 bilion, selepas mengambil kira defisit S$3.5 bilion pada tahun kewangan ini.

Encik Heng berkata: "Belanjawan ini adalah satu pelan strategik bagi memperuntukkan sumber untuk memastikan Singapura kekal berjaya dan dinamik pada jangka panjang dan supaya ia adil untuk semua generasi."

Beliau menegaskan bahawa Pemerintah tidak membelanjakan wang sewenang-wenangnya hanya kerana pilihan raya semakin hampir.

Ditanya apakah yang ingin beliau katakan kepada mereka yang menyifatkan Belanjawan terbaru ini sebagai belanjawan pilihan raya, menteri kewangan itu menjawab: "Jika mereka maksudkan mereka berpuas hati dengan Belanjawan ini, saya menganggapnya sebagai sesuatu yang baik tetapi saya tidak merancang berdasarkan pilihan raya."

Encik Heng menjelaskan, beliau biasanya bermula dengan satu "senarai permintaan yang sangat panjang" bila mengadakan mesyuarat-mesyuarat pra Belanjawan bersama para ketua pelbagai kementerian. Senarai itu dipendekkan kepada beberapa perkara utama selepas perbincangan lanjut bersama para menteri dan Perdana Menteri.

"Inilah cara kami merancang Belanjawan dan saya mesti katakan, kami harus kekalkannya."

Menurut Encik Heng, "perkembangan-perkembangan yang tidak dijangkakan" sudah membantu meningkatkan hasil Pemerintah.

Misalnya pada Tahun Kewangan 2018, penggantungan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang tidak dijangkakan dan pengumpulan lebih tinggi daripada cukai setem dan lembaga berkanun menyumbang kepada lebihan S$2.1 bilion. Ini berbanding ramalan defisit keseluruhan sebanyak S$600 juta.

Meskipun Singapura 'beruntung' kerana status kunci kira-kira lebih baik sejak beberapa tahun kewangan lalu, beliau berkata ini hanya berlaku sekali dan 'tuah baik' tidak boleh membentuk asas perancangan Belanjawan, tambah menteri itu.

Semua lebihan yang diperolehi di akhir penggal Pemerintah akan menjadi sebahagian daripada rizab negara yang akan dilaburkan bagi menjana Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) yang lebih tinggi bagi masa hadapan. Ia merupakan salah satu cara lebih mampan bagi menggunakan lebihan Belanjawan, kata Encik Heng.

Ditanya oleh para wartawan selepas forum itu sekiranya Kementerian Kewangan (MOF) terlalu konservatif dalam rancangan perbelanjaannya sejauh ini, Encik Heng menerangkan bahawa ekonomi negara melalui proses kitaran.

Lebihan diperolehi jika ekonomi menunjukkan prestasi baik, namun jika berlaku kelembapan, Pemerintah harus memastikan ia mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyokong ekonomi serta para pekerjanya.

"Oleh itu, adalah penting untuk melakukan perancangan bukan saja dari tahun ke tahun, tetapi merancang dengan mempertimbangkan keperluan kita dan berupaya mengharungi peristiwa-peristiwa yang tidak dijangkakan." 

KOS SARA HIDUP ANTARA SOALAN DIAJUKAN

Pada Isnin (18 Feb), Encik Heng menyampaikan Belanjawan 2019 yang merangkumi perincian mengenai Pakej Generasi Merdeka serta pelbagai langkah lain bernilai S$4.6 bilion untuk membantu syarikat-syarikat dan para pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan. Bonus Bicentennial bernilai S$1.1 bilion juga diperkenalkan bagi memperingati dwiabad Singapura.

Semasa forum selama sejam itu, pelbagai soalan diajukan. Antaranya bagaimana Pakej Generasi Merdeka menggalak kehidupan aktif dan kesan penyusunan semula ekonomi terhadap syarikat-syarikat dan para pekerja.

Beberapa peserta juga bertanya mengenai 'pengecualian ketara' dalam Belanjawan kali ini, termasuk dasar-dasar mengenai pasaran hartanah tempatan dan kadar kelahiran negara ini.

Ada pula mahu lebih banyak bantuan disediakan kepada golongan tertentu seperti generasi tersepit dan berpendapatan pertengahan untuk menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

Encik Heng berkata adalah penting untuk Pemerintah memastikan kos sara hidup tetap dimampui dan ini dilakukan menerusi pelbagai cara.

Ini termasuk mengendalikan sebuah sistem yang terbuka dan berdaya saing dengan barangan diimport dari merata dunia, serta mengekalkan ekonomi yang kukuh.

Salah seorang peserta juga bertanya jika Pemerintah menimbangkan untuk menyerap GST bagi barangan asas seperti makanan.

Encik Heng menjawab bahawa ia sudah 'dikaji dengan teliti' sebelum GST diperkenalkan dan beliau juga meneliti semula hal tersebut baru-baru ini.

Berdasarkan pemerhatiannya ke atas bebera negara yang cuba melakukan pembezaan terhadap barang-barang keperluan, beliau berkata ia biasanya melibatkan 'pertikaian besar' mengenai apa yang disifatkan sebagai barangan keperluan dan ini tidak menghasilkan keputusan yang tepat.

Beliau menerangkan bahawa 'sistem mudah' yang diamalkan Singapura di mana setiap orang membayar harga yang sama tetapi memberi bantuan 'tertumpu' kepada golongan berpendapatan lebih rendah, adalah lebih berkesan.

Ditanya oleh Mediacorp sama ada Pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk menangani keprihatinan kos sara hidup, Encik Heng menarik perhatian kepada dua isu yang menyumbang kepada tanggapan bahawa barangan kini kurang dimampui. 

Ini termasuk aspirasi dan pola penggunaan yang kian berubah, serta bagaimana ramai penduduk rasa terjejas apabila harga barangan yang 'kerap' dibeli kini semakin meningkat.

Sungguhpun demikian, Pemerintah terus memastikan agar kadar pengangguran kekal rendah, iaitu di bawah tiga peratus meskipun di tengah-tengah keadaan global yang tidak menentu, selain 'pertumbuhan gaji agak meyakinkan' sejak beberapa tahun lalu.

"Salah satu ciri penting dalam menangani kos sara hidup adalah (kita) memastikan para pekerja terus kekal dalam pekerjaan," kata Encik Heng. "Kita mesti meneruskan usaha ini." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan