Belanjawan 2019

Images
  • louis vuitton
    (Gambar: AFP)

Belanjawan 2019: Sektor perkhidmatan berdepan 'cabaran' kuota pekerja asing lebih rendah

SINGAPURA: Syarikat-syarikat dalam sektor perkhidmatan akan menghadapi 'cabaran' mengurangkan kadar bilangan pekerja asing, namun syarikat-syarikat progresif mungkin dapat menanganinya dengan lebih baik, kata para pemerhati industri.

Mereka mengulas tentang langkah memperketat bekalan pekerja asing yang diumumkan Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam ucapan Belanjawan pada Isnin (18 Feb).

Encik Heng mendedahkan bahawa Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) yang menetapkan kadar maksimum pekerja asing yang dibenarkan akan dikurangkan bagi sektor perkhidmatan. Ini akan dilaksanakan dalam masa dua tahun dengan nisbah dikurangkan dari 40 peratus kepada 38 peratus pada 1 Januari depan, dan kepada 35 peratus mulai 2021.

Sektor perkhidmatan disasarkan kerana jumlah pemegang Pas S dan permit kerja meningkat dengan cepat sementara jumlah pemegang Pas S adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun, kata Encik Heng sambil menambah bahawa sektor-sektor seperti makanan dan minuman (F&B) serta runcit masih amat bergantung kepada tenaga buruh.

Sektor perkhidmatan yang luas di Singapura merangkumi penginapan, khidmat makanan, informasi dan komunikasi, perniagaan serta khidmat pengangkutan dan penyimpanan.

Ketua Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perusahaan Antarabangsa Singapura Victor Mills berkata, pengurangan yang dirancangkan "tidak akan dialu-alukan" oleh sektor itu.

Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) menambah bahawa langkah memperketat kuota pekerja asing adalah sesuatu yang tidak 'dijangkakan', namun ia merupakan satu 'isyarat jelas' daripada Pemerintah tentang pentingnya mengekalkan dasar-dasar sedia ada terhadap pekerja asing supaya rakyat Singapura boleh terus mendapatkan pekerjaan yang bermakna dan gaji yang baik di masa hadapan.

Dalam kiriman emel kepada Mediacorp, Pengerusi Teo Siong Seng berkata bahawa waktu pekerjaan yang panjang dan sistem kerja syif dalam sektor F&B dan runcit "sering menimbulkan cabaran untuk mereka menggajikan pekerja tempatan dan menyebabkan mereka bergantung kepada pekerja asing".

"Kami berharap syarikat-syarikat yang paling terjejas akibat langkah itu boleh mengambil peluang untuk meneliti bagaimana mereka boleh memanfaatkan teknologi untuk berinovasi dan menyusun semula atau mereka semula tugas-tugas supaya ia lebih bermakna dan menarik bagi para pekerja tempatan," tambah Encik Teo.

Pandangan itu disokong oleh Ketua Pengguna dan Runcit KPMG Singapura, Jeya Poh Wan Suppiah, yang berkata bahawa industri itu akan menghadapi 'cabaran' pada awalnya. Beliau turut menarik perhatian, tuntutan dalam sektor tersebut menyebabkan peningkatan pada jumlah pekerja asing.

SBF juga menarik perhatian bahawa sektor perkhidmatan adalah sangat rencam dan penyesuaian pada DRC mungkin kaedah yang tidak berkesan.

Peguam Amarjit Kaur dari Withers KhattarWong, yang mempunyai pengalaman mengendalikan kes pertikaian berhubung pengambilan pekerja berkata sektor perkhidmatan merangkumi pelbagai industri dan 'langkah meluas' ini menimbulkan cabaran-cabaran unik kepada sebahagian sektor industri kecil yang amat bergantung kepada modal manusia dan tidak memanfaatkan automasi atau pendigitalan seperti khidmat jagaan kanak-kanak dan warga tua.

Salah sebuah syarikat yang ditemui Mediacorp bagaimanapun yakin ia dapat terus berkembang meskipun dengan pengumuman langkah tersebut. 

Syarikat khidmat penghantaran barangan runcit dan makanan secara online, Honestbee, menyatakan perniagaannya sudahpun berkembang untuk merangkumi ciri runcit fizikal dan ia juga dapat membantu para pekerja mempelajari kemahiran baru.

Sementara itu, Pemerintah komited untuk membantu syarikat-syarikat menyesuaikan diri dengan peralihan itu. 

Dalam satu rancangan bual bicara Talkback di stesen radio 938Now, Menteri Kedua Kewangan merangkap Pendidikan Indranee Rajah berkata langkah menyusun semula sektor F&B, misalnya, bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia bertujuan membantu perniagaan-perniagaan menilai cara mereka beroperasi dan bagaimana untuk menguruskan tenaga kerja dengan lebih cekap.

Menulis di laman Facebooknya selepas kenyataan Belanjawan disampaikan, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata terdapat skim-skim untuk membantu para majikan yang terjejas oleh langkah-langkah itu seperti skim Lean Enterprise Development (LED). Inisiatif ini membantu syarikat-syarikat supaya kurang bergantung kepada tenaga manusia serta meningkatkan mutu pekerjaan, tambahnya.  

- CNA/AI/ai

Top