Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2019 bernilai S$80.3 bilion demi bina 'Singapura kukuh, bersatu padu'

Menteri Kewangan Heng Swee Keat hari ini (18 Feb) menyampaikan kenyataan Belanjawan yang menggariskan perancangan strategik "untuk membina sebuah Singapura yang kukuh dan bersatu padu".

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2019 bernilai S$80.3 bilion demi bina 'Singapura kukuh, bersatu padu'

Menteri Kewangan, Heng Swee Keat. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 18 Feb 2019 11:07PM Dikemas Kini : 20 Feb 2019 08:46PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat hari ini (18 Feb) menyampaikan kenyataan Belanjawan yang menggariskan perancangan strategik "untuk membina sebuah Singapura yang kukuh dan bersatu padu".

Beliau berkata "kuasa-kuasa baru sedang membentuk semula sekitaran global", dan ia berinteraksi secara kompleks di peringkat global, serantau dan nasional dan terdapat keperluan untuk Singapura menentukan hala tujunya dengan penuh yakin berasaskan kekuatannya yang tersendiri.

Seperti yang dijangkakan, perincian bagi Pakej Generasi Merdeka dibentangkan oleh Encik Heng di Parlimen. Pakej itu pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa berucap di Rapat Hari Kebangsaan 2018.

Rakyat Singapura yang dilahirkan pada tahun 1950-an termasuk dalam kategori mereka yang - seperti disifatkan oleh Encik Heng - "memainkan peranan penting" dalam pembangunan negara dan bersatu mewujudkan sebuah masyarakat berbilang budaya serta berbilang kaum.

Antara yang menarik perhatian bagi pakej tersebut adalah tokokan S$200 setiap tahun ke dalam akaun Medisave, selama lima tahun bermula tahun ini.

Ini selain menerima subsidi-subsidi sepanjang hayat bagi jagaan pesakit luar.

Subsidi-subsidi istimewa Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS)
bagi penyakit-penyakit kronik dan rawatan pergigian akan diberikan tidak mengira pendapatan, jelas beliau.

"Pakej Generasi Merdeka adalah tanda penghargaan negara ke atas sumbangan-sumbangan mereka dan satu cara untuk menunjukkan bahawa kami menjaga mereka pada usia tua," kata Encik Heng.

"Ia mewujudkan ketenangan fikiran berhubungan kos-kos jagaan kesihatan pada masa akan datang, di samping membantu mereka kekal aktif dan sihat."

Pakej itu dijangka dimanfaatkan hampir 500,000 rakyat Singapura dan menurut Encik Heng, ia dianggarkan bernilai lebih S$8 bilion sepanjang hayat penerimanya.

Lantaran itu, beliau akan mempertuntukkan S$6.1 bilion dari Belanjawan kali ini dan dengan jumlah faedah yang terkumpul pada masa akan datang, ia akan meliputi kos-kos yang diunjurkan.

Rakyat Singapura yang layak akan dimaklumkan pada bulan April dan menerima kad-kad Generasi Merdeka dari bulan Jun. Menteri Kesihatan Gan Kim Yong akan memberikan perinciannya semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS), tambah beliau.

BONUS BICENTENNIAL

Sebagai satu lagi tanda penghargaan kepada sejarah silam negara, Encik Heng juga mendedahkan dua inisiatif untuk meraikan 200 tahun Singapura sejak Stamford Raffles tiba di sini.

Yang pertama, adalah memperuntukkan S$200 juta bagi Dana Masyarakat Bicentennial Singapura, yang memadankan dari dolar ke dolar derma yang dibuat kepada institusi-institusi bertaraf awam (IPC) dalam Tahun Kewangan 2019.

"Dengan ini, kami berharap untuk menggalakkan lebih ramai lagi rakyat Singapura, termasuk yang lebih muda untuk menonjolkan semangat menyumbang semula (kepada masyarakat)," kata beliau.

"Dalam pada itu, kami menggalak IPC untuk mendampingi lebih ramai penderma."

Maklumat lanjut akan dikongsi oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam perbahasan yang diadakan pada tarikh berasingan, ujar beliau.

Inisiatif-inisiatif lain adalah Bonus Bicentennial, yang termasuk lebih banyak bantuan kewangan untuk rakyat Singapura berpendapatan rendah serta rebat 50 peratus ke atas cukai pendapatan peribadi.

Para pekerja berpendapatan rendah yang menerima bayaran Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), misalnya, akan diberikan tambahan 10 peratus Bonus Bicentennial Daya Kerja bagi kerja yang dilakukan pada tahun 2018 - dengan bayaran minimum sebanyak S$100 - secara tunai.

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah rendah dan menengah juga akan meraih manfaat menerusi tokokan S$150 ke dalam akaun-akaun Edusave. Ini selain sumbangan-sumbangan tahunan yang diterima daripada Pemerintah, kata beliau.

Encik Heng berkata: "Dari masa ke masa, apabila kewangan kita membolehkan, kami berkongsi lebihan-lebihan dengan rakyat Singapura dan memberikan lebih banyak untuk membantu mereka yang mempunyai keperluan tertentu. Dengan bonus ini, saya berharap semua rakyat Singapura, baik yang muda mahupun yang tua, akan menyertai kami dan meraikan detik penting dalam sejarah Singapura."

DORONGAN INDUSTRI

Encik Heng turut menggariskan bagaimana Pemerintah berhasrat untuk menangani cabaran-cabaran masa depan dan memastikan bahawa Singapura utuh dan para pekerjanya kekal berdaya saing dan relevan di dunia.

Beliau berkata rakyat Singapura "gigih berusaha" untuk melabur dalam pembelajaran mereka. Jumlah penduduk dalam tenaga kerja yang menjalani latihan meningkat dari 35 peratus pada 2015 kepada 48 peratus dalam tahun 2018, tambah beliau.

Pada masa akan datang, seramai 76,000 orang mendapat pekerjaan menerusi inisiatif Suai-Maju dari tahun 2016 hingga 2018, tambah beliau.

Pada masa akan datang, Pemerintah akan melancarkan Program Penukaran Profesional (PCP) berkaitan 'blockchain', perisian benam (embedded software) dan prabikinan (prefabrication) untuk mempersiap rakyat Singapura beralih ke bidang-bidang baru, kata beliau.

Sekalipun demikian, beliau menekankan bahawa pertumbuhan daya penghasilan tidak rata dalam pelbagai sektor. Sektor pengilangan, misalnya, menunjukkan prestasi yang baik walaupun berdepan persaingan sengit di peringkat global.

Dalam sektor perkhidmatan, bagaimanapun, sebahagian firma mencatat kemajuan yang baik. Namun sebahagian yang lain, seperti Makanan dan Minuman (F&B) serta Runcit kekal memerlukan tenaga kerja yang banyak dari segi penghasilan, kata beliau lagi.

Kenaikan jumlah pemegang Pas S dan permit kerja dalam sektor perkhidmatan, pada hakikatnya, meningkat sekitar tiga peratus setahun atau 34,000 dalam tempoh tiga tahun lalu.

Jumlah pemegang Pas S yang meningkat dalam sektor perkhidmatan itu adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun dan Encik Heng berkata, jika trend tenaga asing ini berterusan, ia mungkin "tidak berdaya mampan".

Oleh itu, Pemerintah sedang mengubah suai kuota tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan menerusi dua cara: mengurangkan Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) dan separa DRC Pas S dalam tempoh dua tahun dari 2020.

"Pemerintah mengakui ketidaktentuan ekonomi dan tekanan kos yang berada di hadapan kita," kata beliau.

"Tetapi jika kita tidak bertindak awal, firma-firma kita akan lebih sukar untuk bersaing dalam beberapa tahun akan datang dan para pekerja kita akan ketinggalan."

Terdapat langkah-langkah untuk menyokong syarikat-syarikat ini sedang mereka menyesuaikan diri. Ini termasuk langkah memperluas sokongan pembiayaan sebanyak 70 peratus kepada Geran Pembangunan Perusahaan selama lagi tiga tahun pada bulan Mac 2023, ujar Encik Heng.

Beliau berkata, sekitar S$4.6 bilion dijangka dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun akan datang ke atas langkah-langkah ekonomi yang dipertingkat, yang diumumkan dalam belanjawan tahun ini.

BANTUAN JAGAAN KESIHATAN

Satu lagi bidang yang diberi tumpuan dalam Belanjawan kali ini adalah jagaan kesihatan, khususnya keperluan jagaan kesihatan memandangkan rakyat Singapura semakin menua.

Encik Heng mengumumkan subsidi CHAS di klinik-klinik biasa (GP) juga akan dipertingkat menerusi tiga cara.

Yang pertama, ia akan diperluas kepada semua rakyat Singapura yang menghidap penyakit kronik tidak mengira pendapatan, sementara rakyat Singapura pemegang kad Chas jingga yang berpendapatan rendah hingga pertengahan akan diberi subsidi bagi sakit-sakit biasa selain penyakit kronik.

Subsidi-subsidi bagi penyakit kronik kompleks juga ditambah, kata beliau.

Encik Heng menekankan bahawa klinik-klinik CHAS juga perlu menunjukkan prestasi yang baik. Ini supaya Kementerian Kesihatan (MOH) dapat melihat bagaimana untuk membantu kesihatan para pesakit mereka.

MOH juga akan menyemak semula panduan klinik bagi jagaan yang disediakan di klinik-klinik CHAS, tambah beliau.

Menteri Kewangan itu juga mengulas lebih lanjut mengenai peracangan untuk memperkukuh perlindungan kewangan bagi jagaan jangka panjang.

Beliau berkata MOH mengumumkan ia akan memperkenalkan skim CareShield Hayat mulai 2020, yang merupakan peningkatan kepada skim ElderShield sedia ada.

Terdapat juga skim baru ElderFund yang dilancarkan tahun depan untuk membantu rakyat Singapura yang kurang upaya teruk dan berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan kewangan tambahan bagi jagaan jangka panjang, ujar Encik Heng.

Dengan ini, Encik Heng berkata beliau akan mengetepikan lagi S$3.1 bilion bagi Belanjawan kali ini, sebagai tambahan kepada S$2 bilion yang diperuntukan pada tahun lalu.

Jumlah keseluruhan S$5.1 bilion akan diperuntukkan bagi Dana Sokongan Jagaan Jangka Panjang untuk membantu membiayai inisiatif-inisiatif yang disebutkan di atas.

"Ini adalah komitmen besar untuk membantu rakyat Singapura dari segi keperluan jangka panjang," kata beliau.

TANGANI PERUBAHAN IKLIM

Encik Heng juga menggariskan bagaimana Pemerintah sedang mempersiap negara bagi menangani perubahan iklim, termasuk Pelan Tindakan Iklim yang dilancarkan pada 2016.

"Perubahan iklim dan kenaikan paras air laut mengancam kewujudan kita," tegas beliau.

"Sebagai negara yang terletak di kawasan rendah, tiada tempat untuk kita melarikan diri apabila paras air laut naik."

Beliau berkata seiring dengan Pelan Tindakan Iklim, jalan-jalan raya yang berhampiran kawasan perairan sudah dinaikkan, manakala Terminal 5 Lapangan Terbang Changi akan dibina 5.5 meter di atas paras air laut.

Namun, untuk melindungi Singapura daripada ancaman-ancaman ini, Encik Heng berkata, pemerintah perlu membuat lebih banyak pelaburan; sekali dengan keperluan prasarana sedia ada, kos keseluruhan prasarana akan meningkat dengan banyak.

Pada masa akan datang, Encik Heng berkata, cukai karbon akan dikenakan ke atas pengeluaran tahun ini.

Selain itu, Pelan Induk Tanpa Sisa akan diperkenalkan pada separuh kedua tahun ini untuk meneliti perkara-perkara seperti pengurusan lebih baik sisa makanan, elektronik dan bungkusan termasuk plastik, kata beliau.

Encik Heng turut memberitahu bahawa Pemerintah melihat "kesan-kesan positif" sejak memperkenalkan langkah-langkah mengurangkan penggunaan minyak disel di negara ini pada 2017.

Untuk meneruskan usaha itu, beliau mengumumkan bahawa cukai eksais ke atas minyak disel akan segera dinaikkan 10 sen satu liter kepada 20 sen satu liter.

Cukai khas tahunan ke atas kereta-kereta dan teksi yang menggunakan minyak disel masing-masing dipotong S$100 dan S$850 buat selamanya.

PERANCANGAN FISKAL

Akhir sekali, Encik Heng menjelaskan bagaimana Pemerintah merancang untuk membiayai inisiatif-inisiatif dalam Belanjawan tahun ini.

Beliau berkata ia akan meneroka pelaburan-pelaburan baru menggunakan strategi fiskal yang berbeza, mengambil satu pendekatan bagi pelaburan-pelaburan besar dalam prasarana dan satu lagi pendekatan bagi perbelanjaan berulang dalam sosial dan keselamatan.

Dari segi pelaburan-pelaburan prasarana, yang beliau sifatkan sebagai "besar dan tidak menentu" yang manfaatnya meliputi generasi demi generasi rakyat Singapura, pembiayaan menerusi pinjaman adalah lebih adil dan cekap, kata beliau.

Merujuk kepada pembangunan Changi East sebagai contoh, Encik Heng berkata Changi Airport Group akan mengambil pinjaman untuk membiayai bahagiannya dalam pelaburan prasarana.

Untuk mengurangkan kos-kos perbelanjaan, Pemerintah akan memberikan jaminan ke atas pinjaman bagi Changi East, dengan persetujuan Presiden Halimah Yacob, kata beliau.

"Ini membolehkan kita untuk memanfaatkan kekuatan kunci kira-kira (balance sheet) Pemerintah untuk menyokong pelaburan strategik ini," jelas Encik Heng.

Beliau menambah Pemerintah sedang meneliti pilihan menggunakan hutang pemerintah sebagai sebahagian daripada pembiayaan bagi projek-projek prasarana jangka panjang yang akan dikendaliannya.

Bagi perbelanjaan berulang dalam bidang-bidang seperti jagaan kesihatan, pendidikan prasekolah dan keselamatan, Encik Heng berkata pendekatan lebih adil dan kukuh adalah dengan memenuhinya menggunakan pendapatan berulang-ulang. Inilah sebabnya sistem cukai Singapura mesti sentiasa disemak semula.

Selain daripada kenaikan GST daripada tujuh kepada sembilan peratus pada masa akan datang dan memperkenalkan GST bagi khidmat-khidmat import, Encik Heng berkata beliau akan memperketat potongan cukai import ke atas para pelancong dan konsesi bebas cukai arak dari tiga liter kepada dua liter.

DEFISIT BELANJAWAN TAHUN KEWANGAN 2019

Bagi Tahun Kewangan 2018, Pemerintah menjangkakan lebihan keseluruhan sebanyak S$2.1 bilion atau 0.4 peratus dari segi keseluruhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Ini, katanya, adalah kenaikan S$2.7 bilion dari defisit S$600 juta yang diramalkan setahun lalu disebabkan "penggantungan dua tahun projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura yang tidak dijangkakan dan juga hasil kutipan cukai setem yang lebih tinggi dari yang dijangkakan."

Tidak termasuk tokokan Pemerintah ke dalam dana dan Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) daripada simpanan-simpanan lalu, Encik Heng berkata, defisit asas sebanyak S$7 bilion atau 1.4 peratus GDP dijangkakan. Ini menjadikannya Belanjawan Pengembangan.

Bagi Tahun Kewangan 2019, beliau berkata pendirian Pemerintah masih bersifat pengembangan dengan defisit asas S$7.1 bilion dan secara keseluruhan, menjangkakan defisit belanjawan sebanyak S$3.5 bilion atau 07 peratus daripada GDP.

Perbelanjaan keseluruhan kementerian-kementerian dijangka mencecah S$80.3 bilion bagi tahun kewangan ini, iaitu 1.6 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

"Kita mempunyai lebihan fiskal terkumpul yang mencukupi bagi penggal Pemerintah ini, untuk membiayai keseluruhan defisit dalam Tahun Kewangan 2019. Tiada pengambilan daripada simpanan lalu," kata Encik Heng. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan