Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AVA akan semak peraturan haiwan peliharaan; pertimbang pasang mikrocip pada kucing

Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) merancang untuk menyemak pendekatan kawal selianya berhubung isu-isu haiwan peliharaan bagi mencegah kes-kes di mana haiwan berkenaan ditinggalkan sehingga menjadi terbiar.

Anggaran Waktu Membaca:
AVA akan semak peraturan haiwan peliharaan; pertimbang pasang mikrocip pada kucing

Gambar fail kucing.

Diterbitkan : 07 Mar 2019 04:39PM Dikemas Kini : 07 Mar 2019 04:45PM

SINGAPURA: Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) merancang untuk menyemak pendekatan kawal selianya berhubung isu-isu haiwan peliharaan bagi mencegah kes-kes di mana haiwan berkenaan ditinggalkan sehingga menjadi terbiar, kata Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling di Parlimen hari ini (7 Mac).

Sebagai sebahagian daripada semakan itu, AVA akan menimbangkan untuk memasang mikrocip pada kucing peliharaan.

"AVA merancang untuk menjalankan semakan yang holistik terhadap pendekatan kawal selianya bagi isu-isu haiwan peliharaan, termasuk bagaimana untuk menggalak pemilikan haiwan peliharaan yang lebih bertanggungjawab serta mencegah haiwan-haiwan ditinggalkan sehingga terbiar," kata Cik Sun semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya.

Kucing-kucing yang ditinggalkan sehingga terbiar merupakan satu isu yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen GRC Nee Soon Louis Ng, yang juga adalah ketua eksekutif kumpulan kebajikan haiwan ACRES.

Encik Ng bertanya bagaimanakah AVA menangani isu itu, memandangkan ia menyusahkan para penduduk dan juga mereka yang memberi makanan kepada haiwan-haiwan, yang kini berdepan dengan peningkatan mendadak pada jumlah kucing terbiar.

Encik Ng juga menyarankan beberapa langkah seperti memasang mikrocip dan melesenkan kucing peliharaan bagi meningkatkan pencegahan.

Di Singapura, hanya anjing yang perlu dilesenkan dan dipasang mikrocip. Ini bagi mengesan anjing-anjing tersebut sekiranya berlaku penularan penyakit anjing gila atau rabies.

Persatuan Kebajikan Kucing bagaimanapun sedang bekerjasama dengan masyarakat untuk memasang mikrocip pada kucing peliharaan, kata Cik Sun. Program perintis itu, yang diberi nama Project Love Cats, sedang dijalankan di Chong Pang.

"Kami boleh menimbangkan untuk melanjutkan projek perintis di Chong Pang itu bagi memenuhi matlamat kami, dan sekiranya terdapat sokongan masyarakat yang kukuh di bahagian lain di Singapura," katanya.

Selain itu, Cik Sun turut menekankan pentingnya bekerjasama dengan masyarakat dan mendidik para pemilik haiwan peliharaan supaya bersikap lebih bertanggungjawab.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan menyiasat semua aduan mengenai haiwan peliharaan yang ditinggalkan sehingga terbiar.

"AVA memandang serius perbuatan meninggalkan haiwan peliharaan, dan ia akan menyiasat semua aduan berkaitan perbuatan itu," katanya. "Bagi mengenal pasti pemilik haiwan peliharaan yang terbiar, AVA mengumpulkan bukti dengan melakukan rondaan, menemu bual saksi dan menyemak rakaman CCTV."

Mereka yang didapati bersalah meninggalkan haiwan peliharaan sehingga terbiar boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 dan/atau dijatuhi hukuman penjara sehingga 12 bulan bagi kesalahan pertama. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan