Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 perkara anda perlu tahu tentang Belanjawan 2019

Belanjawan 2019 adalah sebuah 'belanjawan pengembangan', dengan Menteri Kewangan Heng Swee Keat turut mengumumkan Bonus Bicentennial dan pelbagai langkah untuk membantu rakyat Singapura menampung kos jagaan kesihatan. Berikut adalah rumusannya.

Anggaran Waktu Membaca:
7 perkara anda perlu tahu tentang Belanjawan 2019

Menteri Heng Swee Keat keluar dewan Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Diterbitkan : 19 Feb 2019 01:53AM Dikemas Kini : 19 Feb 2019 01:58AM

SINGAPURA: Belanjawan 2019 adalah sebuah 'belanjawan pengembangan', dengan Menteri Kewangan Heng Swee Keat turut mengumumkan Bonus Bicentennial dan pelbagai langkah untuk membantu rakyat Singapura menampung kos jagaan kesihatan.

Encik Heng turut mendedahkan lebih banyak perincian mengenai Pakej Generasi Merdeka yang dinanti-nantikan, yang secara keseluruhannya bernilai S$8 bilion.

Apakah manfaat yang boleh diraih oleh setiap rakyat Singapura dan perusahaan-perusahaan tempatan daripada langkah-langkah yang diumumkan pada Isnin (18 Feb) ini?

Ini rumusannya:

1. TERIMA KASIH, GENERASI MERDEKA

Seperti yang dijangkakan, Menteri Kewangan memberikan lebih banyak perincian mengenai Pakej Generasi Merdeka yang diumumkan awal sebelum ini. Encik Heng menyifatkannya sebagai "tanda penghargaan negara" kepada golongan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Singapura.

Lima manfaat utama yang diumumkan adalah:

  • tokokan S$100 bagi Generasi Merdeka yang memiliki kad PAssion Silver
  • tokokan Medisave bernilai S$200 setahun bagi tempoh selama lima tahun
  • subsidi CHAS dan potongan harga di poliklinik, klinik pesakit luar spesialis awam
  • subsidi premium MediShield Hayat
  • insentif S$1,500 untuk menyertai CareShield Hayat

2. 'BELANJAWAN PENGEMBANGAN' TAHUN INI

Seperti tahun kewangan lalu, belanjawan Pemerintah bagi Tahun Kewangan 2019 (FY2019) tetap bersifat pengembangan, dengan defisit asas dianggarkan sekitar S$7.1 bilion.

Ini tidak termasuk tokokan pemerintah dan Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih daripada rizab-rizab lalu.

Secara keseluruhannya, defisit S$3.5 bilion atau 0.7 peratus GDP dijangkakan, dengan perbelanjaan lebih tinggi diperuntukkan bagi pertahanan, pendidikan dan kesihatan.

3. BUKAN SAGU HATI TAPI MASIH BONUS

Tahun lalu, Menteri Kewangan mengakhiri pembentangan Belanjawan 2018 dengan nada gembira sambil mengumumkan 'angpau' bagi semua rakyat Singapura yang berusia 21 tahun dan ke atas.

Tahun ini pula, Bonus Bicentennial bernilai S$1.1 bilion diumumkan bagi memperingati 200 tahun Singapura.

Ini termasuk baucar GST dan rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 50 peratus (dihadkan pada S$200 bagi setiap pembayar cukai) bagi pendapatan yang diraih pada 2018.

Rakyat muda Singapura pula akan mendapat tokokan tambahan pada akaun Edusave dan Pendidikan Pos-Menengah, sementara rakyat Singapura lebih tua yang layak boleh menjangkakan tokokan sekali saja dalam akaun CPF.

Pekerja bergaji rendah juga akan mendapat lebih banyak bantuan melalui Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS).

4. TUMPUAN KEPADA JAGAAN KESIHATAN

Jagaan kesihatan menjadi tumpuan utama, dengan lebih banyak dana diperuntukkan bagi subsidi premium dan pelbagai bentuk sokongan lain.

Dengan lagi S$3.1 bilion diketepikan tahun ini, sebanyak S$5.1 bilion secara keseluruhannya akan diperuntukkan bagi Dana Sokongan Jagaan Jangka Panjang yang baru untuk membiayai subsidi CareShield Hayat dan ElderFund.

Selain itu, subsidi CHAS juga akan dipertingkat:

  • Perlindungan CHAS akan diperluaskan untuk merangkumi semua rakyat Singapura yang mengalami keadaan kronik, tanpa mengira pendapatan mereka
  • Rakyat Singapura dari golongan berpendapatan rendah dan golongan pertengahan yang juga pemegang kad CHAS Jingga akan mendapat subsidi bagi penyakit-penyakit biasa
  • Subsidi bagi penyakit kronik yang rumit juga akan dipertingkat

5. LEBIH BANYAK SOKONGAN BAGI PEKERJA, PERUSAHAAN

Langkah-langkah bernilai S$1 bilion turut diumumkan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan membangunkan keupayaan "tinggi". Firma-firma juga boleh menjangkakan bantuan "khusus" untuk mengatasi cabaran dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Bagi para pekerja, Program Penukaran Profesional yang ada kaitan dengan blockchain, perisian benam dan pasang siap, sedang sokongan gaji turut dilanjutkan bagi pekerja lanjut usia.

Namun, nisbah pekerja asing dalam sektor perkhidmatan akan diturunkan, dengan Encik Heng menegaskan bahawa "bergantung kepada ramai pekerja asing bukanlah satu huraian jangka panjang".

6. ... KURANG MENYERONOKKAN BAGI GOLONGAN INI

Berita kurang menyeronokkan ini adalah bagi mereka yang keluar bercuti, dengan pelepasan import GST yang berkurangan dan konsesi alkohol bebas cukai yang dikurangkan.

Mereka yang berada di luar negara kurang 48 jam akan dikenakan GST ke atas barangan yang dibeli di luar negara bernilai lebih S$100 berbanding elaun S$150 sebelum ini. Perubahan ini berkuat kuasa mulai tengah malam Selasa.

7. CUKAI DIESEL NAIK SEGANDA

Encik Heng turut mengumumkan cukai diesel dinaikkan dari 10 sen kepada 20 sen setiap liter berkuat kuasa serta merta, sebagai sebahagian daripada penyusunan semula cukai diesel.

Pada masa yang sama, satu cukai khas tahunan bagi teksi yang menggunakan diesel akan dikurangkan sebanyak $850 secara tetap, manakala cukai khas ke atas kereta diesel akan dipotong sebanyak S$100.

Bas-bas sekolah yang menggunakan diesel juga akan mendapat tambahan rebat tunai sehingga $3,200 sepanjang tempoh tiga tahun.

Kenderaan komersil menggunakan diesel akan mendapat rebat cukai jalan 100 peratus bagi tempoh selama setahun dan sebahagian rebat cukai jalan selama lagi dua tahun. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan