Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 perkara utama dari hari kedua perbahasan COS

Kementerian Pertahanan, Ehwal Luar dan Ehwal Dalam Negeri menjadi tumpuan dalam hari kedua perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) pada Jumaat (1 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
5 perkara utama dari hari kedua perbahasan COS

(Gambar-Gambar: Jeremy Long, MINDEF)

Diterbitkan : 02 Mar 2019 12:52AM Dikemas Kini : 02 Mar 2019 12:57AM

SINGAPURA: Kementerian Pertahanan, Ehwal Luar dan Ehwal Dalam Negeri menjadi tumpuan dalam hari kedua perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) pada Jumaat (1 Mac).

Kali ini, perbincangan merangkumi isu luar negara dan dalam negeri, meliputi topik-topik seperti Perjanjian Air 1962 dan keselamatan dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Inilah antara perkara-perkara utama yang dibincangkan:

1. HUBUNGAN 2 HALA S'PURA-M'SIA

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan memberitahu Dewan bahawa Singapura komited untuk menghuraikan isu dua hala dengan Malaysia "secara berbaik-baik dan membina", dengan mematuhi perjanjian-perjanjian dua hala dan undang-undang antarabangsa.

Dr Balakrishnan berkata komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berhubung Perjanjian Air 1962 baru-baru ini merupakan "kata-kata emotif" yang bertujuan untuk membangkitkan pendapat umum.

Dr Mahathir menyifatkan perjanjian air itu sebagai 'salah dari segi moral' sambil mempersoalkan bagaimana Singapura sebagai 'sebuah negara mewah' boleh membayar 'kadar yang tidak munasabah' bagi air mentah yang dijual oleh Singapura di bawah perjanjian tersebut.

"Perjanjian Air 1962 bukanlah mengenai negara manakah yang lebih mewah atau miskin. Sebaliknya, ia adalah mengenai menghormati perjanjian-perjanjian tersebut," kata Dr Balakrishnan.

Namun beliau berkata, Singapura dan Malaysia adalah jiran tetap dan "kita mahu menjadi jiran yang baik".

Dr Balakrishnan juga menarik perhatian bahawa Singapura sudah membelanjakan lebih S$1 bilion bagi projek-projek air di Johor, seperti projek Kolam Air Linggui. 

Menyentuh mengenai pertikaian maritim dan ruang udara antara Malaysia dengan Singapura pula, beliau berkata sebuah kumpulan kerja dijadual mengemukakan saranan bagi pertikaian maritim pada awal Mac. Sementara itu, para pegawai dari kedua-dua pihak sudahpun mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu-isu ruang udara.

Menteri Ehwal Luar itu juga menyentuh mengenai dasar luar Singapura sambil menekankan bahawa Singapura mesti mempertahankan sistem perdagangan global berbilang hala yang berdasarkan peraturan.

2. PELABURAN PERTAHANAN

Singapura akan membelanjakan lebih banyak dalam bidang pertahanan pada Tahun Kewangan (FY) ini, dengan perbelanjaan dijangka mencecah S$15.5 bilion, berbanding S$14.8 bilion pada FY2018.

Dalam ucapan perbahasan COSnya, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berkata membangunkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang berupaya melindungi kepentingan negara dan memastikan generasi rakyat Singapura akan datang kekal selamat memerlukan "pelaburan besar dan mantap".

"Pertahanan, terutama sekali bagi pulau kecil seperti Singapura, adalah penting jika kita ingin menjaga kepentingan negara dan mencegah serangan.

"Singapura sudah dalam proses membangunkan SAF yang moden dalam tiga bidang... yang mampu berdepan dengan cabaran-cabaran keselamatan dalam dunia nyata dan dunia maya pada abad ke-21," katanya.

Dr Ng juga menjelaskan mengenai rancangan yang sedang diusahakan bagi MINDEF:

1. Di udara: MINDEF akan membuat tempahan awal bagi empat jet pejuang canggih F-35 dari Amerika Syarikat, dengan pilihan untuk menempah lapan lagi pesawat seumpamanya.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan untuk menggantikan jet pejuang F-16. Ini bermakna kumpulan jet pejuang RSAF bagi masa hadapan akan merangkumi jet pejuang F-35 dan F-15SG.

2. Di dalam air: SAF akan meningkatkan jumlah kapal selam dan kapal perangnya, termasuk empat kapal selam kelas 'Invincible' yang baru. Kapal pelurunya juga akan digantikan dengan kapal penggempur berbilang peranan, dengan kapal yang pertama dihantar sekitar 2025.

3. Di darat: Kenderaan Tempur Berperisai generasi baru akan menggantikan kenderaan M113 sebagai kenderaan tentera utama mulai tahun ini.

3. HAB PERKHIDMATAN NEGARA SEHENTI

Dr Ng juga mengumumkan pembinaan Hab Perkhidmatan (NS) sehenti, di mana para anggota boleh menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menjalani NS, melatih di pusat jasmani bagi Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT) dan membeli peralatan di sebuah e-Mart.

Apabila siap kelak, pusat itu akan ditempatkan bertentangan stesen MRT Cashew di Bukit Panjang dan seluas sembilan ladang bola sepak.

Semasa perbahasan itu, Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How juga mengumumkan beberapa langkah yang bertujuan untuk memberi sokongan dan galakan kepada para anggota perkhidmatan negara.

"Para anggota perkhidmatan negara kami perlu mengimbangi komitmen peribadi dan NS mereka, dan kami harus berusaha untuk memberikan lebih keselesaan bagi mereka dengan meringankan beban pentadbiran jika boleh," katanya.

Antara langkah-langkah ini adalah memansuhkan syarat pemberitahuan untuk ke luar negara bagi perjalanan kurang enam bulan, serta inisiatif yang diberi nama 'NS Memories' yang memberi para anggota NS akses kepada gambar-gambar bukan rahsia bagi mendokumentasi perjalanan NS mereka, dari menjalani NS sepenuh masa sehinggalah selepas Tempoh Tamat Perkhidmatan (ORD).

4. KESELAMATAN MENJADI KEUTAMAAN BAGI SAF

Encik Heng juga mengikrarkan "pemeriksaan 100 peratus bagi semua latihan berisiko tinggi dan latihan lapangan" oleh SAF, dalam satu usaha untuk memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa melatih secara selamat adalah keutamaan MINDEF dan pihak tentera.

Latihan berisiko tinggi termasuklah latihan di luar negara dan latihan menembak dengan peluru betul, manakala latihan lapangan pula termasuk gerakan taktik dan lapangan. Sebelum ini, pemeriksaan dijalankan bagi semua latihan risiko tinggi dan bagi sesetengah latihan lapangan sahaja.

Pada Januari, pelakon Aloysius Pang cedera parah semasa menjalani Latihan Thunder Warrior di New Zealand. Pang meninggal dunia di Hospital Waikato, di mana mendiang dirawat. Kematiannya merupakan kematian keempat yang ada kaitan dengan latihan SAF dalam tempoh 18 bulan.

Sementara itu mulai Mac, Tentera Laut Singapura juga akan merintis sebuah aplikasi mudah alih di pangkalan tenteranya, yang akan membolehkan para askar untuk memetik dan mengongsi gambar-gambar mengenai bahaya keselamatan di tempat kerja dengan para anggota lain serta memaklumkan para pegawai keselamatan SAF yang relevan.

5. KESELAMATAN KEBAKARAN BAGI HOSPITAL, BANGUNAN "BERISIKO TINGGI" LAIN

Keselamatan kebakaran adalah salah satu topik yang dibahaskan di Parlimen pada Jumaat (1 Mac), dengan pihak berkuasa akan meminda Akta Keselamatan Kebakaran. Ini bermakna para pemilik bangunan-bangunan lama tertentu perlu melaksanakan peningkatan keselamatan kebakaran penting.

Bangunan perindustrian "berisiko tinggi", bangunan awam dan hospital-hospital akan diutamakan.

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling berkata pindaan itu juga akan menangani jurang terhadap penguatkuasaan, sekaligus membolehkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk mengambil tindakan terhadap "pihak bersalah yang menggunakan, atau menyebabkan penggunaan, produk-produk keselamatan kebakaran yang tidak diluluskan."

Buat masa ini, menjadi satu kesalahan untuk pihak-pihak tertentu seperti pemilik bangunan, penghuni dan karyawan-karyawan industri menggunakan produk-produk keselamatan kebakaran yang tidak diluluskan, kata Cik Sun.

Bagaimanapun, bukan satu kesalahan sekiranya pihak-pihak membekalkan produk keselamatan kebakaran tersebut tetapi tidak memasang produk-produk berkenaan pada bangunan-bangunan, tambahnya. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan