Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tidak semua peruntukan S$3 bilion HSR akan digunakan

Tidak semua S$3 bilion yang diperuntukkan bagi projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan kereta api Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura dalam belanjawan Tahun Kewangan (FY) 2018 bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) akan dibelanjakan tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak semua peruntukan S$3 bilion HSR akan digunakan

(Gambar: MyHSR)

Diterbitkan : 23 Feb 2018 09:20PM Dikemas Kini : 23 Feb 2018 09:23PM

SINGAPURA: Tidak semua S$3 bilion yang diperuntukkan bagi projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan kereta api Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura dalam belanjawan Tahun Kewangan (FY) 2018 bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) akan dibelanjakan tahun ini.

Kementerian itu memberikan respons tersebut semasa menjawab pertanyaan Mediacorp hari ini (22 Feb) menyusuli pembentangan Belanjawan pada Isnin lalu (19 Feb).

Secara keseluruhannya sebanyak S$13.7 bilion diketepikan untuk kementerian tersebut bagi tahun ini, iaitu sekitar 50 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun lalu.

MOT menyatakan: "Memandangkan projek-projek kereta api antarabangsa ini baru, MOT mendapat peruntukan lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun lalu."

Namun, kementerian tersebut enggan mendedahkan pecahan perbelanjaan sebenar yang diperuntukkan bagi projek tersebut untuk Tahun Kewangan ini. "Dengan adanya projek-projek prasarana lain, kami tidak boleh berkongsi anggaran kos buat masa ini yang boleh mempengaruhi bidaan yang diserahkan dalam proses tender," menurut MOT.

PERSIAPAN DAN KAJIAN KEJURUTERAAN MASIH DIJALANKAN

Kementerian itu menambah, kerja-kerja persiapan dan kajian kejuruteraan terperinci bagi kedua-dua projek HSR dan RTS sedang dijalankan.

Untuk menyokong kerja-kerja ini, SG HSR ditubuhkan sebagai Syarikat Prasarana bagi menyokong pihak Singapura dalam projek ini.

Syarikat ini, anak syarikat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), juga sudah rancak merekrut kakitangan, sedang ia menyemak bidaan yang diterima bagi tender pembangunan.

"SG HSR sudah memulakan proses kelayakan awal bagi tender pembinaan prasarana awam HSR di Singapura," demikian menurut kementerian itu dalam kiriman emelnya.

"(MOT) juga sudah memulakan proses pengambilan tenaga kerja."

M'SIA, S'PURA BUKA TENDER BERSAMA ASSETSCO

Syarikat prasarana Malaysia, MyHSR Corp, bersama SG HSR, juga sudah melancarkan tender secara bersama dengan Assets Company (AssetsCo) bagi projek HSR pada Disember 2017.

"Mereka akan bertanggungjawab atas urusan reka bentuk, pembinaan, pembiayaan, pengendalian operasi dan penyenggaraan aset-aset kereta api (misalnya kerja-kerja landasan, kuasa, isyarat dan telekomunikasi) bagi HSR," menurut kementerian itu.

Ia menambah, AssetsCo akan menyelaras keupayaan rangkaian sistem itu bagi keperluan operasi dan penyenggaraan.

"Pembida diberi tempoh sehingga 29 Jun untuk membentangkan saranan-saranan kepada MyHSR Corp dan SG HSR," menurut MOT.

"Melalui proses pemerolehan yang terbuka, adil dan telus, MyHSR Corp dan SG HSR akan sama-sama memilih pembida yang layak."

Operasi-operasi khidmat HSR antara Kuala Lumpur dengan Singapura dijangka bermula menjelang akhir 2026.

Menurut MOT, LTA, syarikat prasarana Singapura bagi RTS Link, juga sudah membuka tender bagi pembinaan awam RTS pada Januari 2018.

Kerja-kerja pembinaan awam dijangka akan bermula tahun depan, dan khidmat penumpang di Laluan RTS dijangka bermula menjelang hujung 2024.

PROJEK-PROJEK KERETA API TEMPATAN

Hampir separuh belanjawan kementerian itu akan dibelanjakan bagi menampung projek-projek kereta api tempatan seperti membangunkan laluan-laluan MRT, menurut MOT.

Ini termasuk Laluan Rentas Pulau - yang dijangka selesai pada 2030, serta Laluan Daerah Jurong - yang akan dibuka pada 2025.

Pada 2019 pula, pembukaan fasa pertama Laluan Thomson-East Coast, dengan fasa kelima dan yang terakhir dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan