Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada perubahan pada gaji menteri; strukturnya tetap dikekalkan, dedah DPM Teo

Anggota Parlimen seperti Encik Vikram Nair dan Encik Liang Eng Hwa bertanya sama ada semakan gaji sudah dilakukan, memandangkan tempoh lima tahun untuk melakukannya sudahpun berlalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Mar 2018 02:27PM Dikemas Kini : 02 Mar 2018 12:47AM

SINGAPURA: Tiada perubahan pada gaji para menteri.

Ini menurut Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean semasa membahaskan peruntukan bagi Pejabat Perdana Menteri di Parlimen hari ini (1 Mac).

Pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong berhubung perkara itu dimaklumkan setelah beberapa Anggota Parlimen seperti Encik Vikram Nair dan Encik Liang Eng Hwa bertanya sama ada semakan gaji sudah dilakukan, memandangkan tempoh lima tahun untuk melakukannya sudahpun berlalu.

Semakan terakhir oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dipengerusikan oleh Encik Gerard Ee selesai dijalankan pada 30 Disember 2011 dan Kertas Putih berhubung perkara itu kemudian disokong Parlimen pada Januari 2012.

Jawatankuasa tahun 2011 itu mengusulkan agar skim gaji menteri disemak setiap lima tahun dan sebuah jawatankuasa baru ditubuhkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada tahun 2017.

Encik Teo berkata PM Lee menubuhkan jawatankuasa baru itu pada tahun lalu untuk menyemak sama ada rangka kerja gaji masih sesuai dan sah berdasarkan matlamatnya dan apakah penyesuaian yang mungkin bermanfaat untuk tujuan tersebut.

Jawatankuasa itu juga meneliti sama ada "terdapat keperluan untuk mengubah gaji sekiranya terdapat perubahan pada paras gaji keseluruhan berdasarkan rangka kerja yang disarankan," tambah beliau.

Pengerusinya adalah Dr Gerard Ee, yang juga pengerusi jawatankuasa 2011. Lagi lapan anggota adalah Dr Abdul Razakjr Omar, Encik Thomas Chua, Cik Fang Ai Lian, Cik Euleen Goh, Encik Stephen Lee, Cik Mary Liew, Encik Ramasamy Dhinakaran dan Cik Mildred Tan-Sim.

Kesimpulan yang dibuat jawatankuasa itu kekal "relevan dan munasabah", namun ia menyarankan agar paras gaji diubah untuk menyaingi tanda aras yang dikemas kini dan syarat-syarat Bonus Nasional yang sebahagiannya diperhaluisi, kata Encik Teo.

Bagi paras gaji, jawatankuasa itu menyarankan ia disesuaikan setiap tahun sejajar dengan pergerakan tanda aras tahunan.

Jawatankuasa itu menyatakan tanda aras tersebut naik sembilan peratus sejak 2011 atau kadar pertumbuhan kompaun 1.5 peratus setahun sepanjang tempoh tersebut dan tiada penyesuaian dibuat pada gaji sepanjang tempoh itu, kata beliau.

Ia juga menyarankan agar julat bagi penunjuk Bonus Nasional diambil kira bagi keadaan ekonomi dan unjuran nasional dan untuk menyesuaikan elaun bagi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari 15 peratus daripada elaun AP kepada 20 peratus.

Jawatankuasa itu juga menyarankan untuk "mengiktiraf bahawa NCMP mempunyai hak mengundi penuh di Parlimen dari April 2017," kata DPM Teo.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Dr Ee berkata: "Penting untuk memastikan gaji yang betul ditetapkan kerana kami yakin dengan adanya individu-individu yang berkebolehan untuk menerajui Singapura akan mewujudkan kesan asas terhadap masa depan Singapura. Sekalipun begitu, kami mengetahui sejak gaji diturunkan pada tahun 2012, gaji para menteri tidak pernah diubah seiring dengan tanda aras selama enam tahun."

Sebagai respons, DPM Teo berkata Pemerintah sudah memutuskan untuk tidak membuat sebarang perubahan dan mengekalkan rangka kerja dan gaji sekarang.

Menjelaskan keputusan itu, beliau berkata meskipun tanda aras MR4 (Menteri Baru) sudah naik sembilan peratus sejak tahun 2011, Pemerintah menyatakan tanda aras MR4 2017 lebih rendah berbanding 2016. Ia akan terus memantau trend gaji, tambah beliau.

Encik Teo berkata demikian semasa Parlimen membahaskan peruntukan bagi Pejabat Perdana Menteri.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan