Tambang murah popular tapi 'tidak mampan', kata Khaw Boon Wan
Formula tambang pengangkutan awam sedang disemak semula untuk meneliti kos keseluruhannya dengan lebih cekap.
SINGAPURA: Formula tambang pengangkutan awam sedang disemak semula untuk meneliti kos keseluruhannya dengan lebih cekap.
Ini sedang belanjawan Kementerian Pengangkutan (MOT) meningkat bagi kerja-kerja naik taraf prasarana pada masa akan datang.
Di Parlimen hari ini (7 Mac) Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata meskipun buat masa ini tambang pengangkutan Singapura "dimampui", Pemerintah juga perlu memastikan kemampanan rangkaian pengangkutan.
"Kita mesti berhati-hati supaya (tambang) tidak ditetapkan pada harga terlalu rendah, memandangkan proses penyenggaraan sistem pengangkutan awam bermutu tinggi memerlukan sumber," kata beliau.
"Tambang yang murah (memang) popular, namun ia tidak berdaya mampan."
Formula sedia ada "tidak mencukupi", kata beliau dan Majlis Pengangkutan Awam (PTC) sedang melakukan semakan untuk menimbangkan "kos keseluruhan".
"Saya yakin mereka boleh menyarankan sistem yang adil sekaligus berdaya mampan. Sokonglah PTC apabila mereka memberikan cadangan," ujar Encik Khaw.
Merujuk kepada pelaburan-pelaburan besar yang dibuat untuk mempertingkat sistem pengangkutan, Encik Khaw berkata ia adalah satu "musibah" jika subsidi pengangkutan awam terus meningkat, sedangkan pendapatan merosot.
"Sepanjang tempoh lima tahun lalu, peningkatan pada khidmat pengangkutan awam sudah menaikkan kos operasi sekitar 60 peratus," kata beliau. "Salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah keupayaan rangkaian yang boleh menampung lebih ramai penumpang sedang kami membuka laluan baru dan menambah jumlah bas serta kereta api."
"Kenaikan kos yang tinggi dibiayai oleh Pemerintah," jelas beliau. "Sedang kos meningkat, tambang pula turun dua peratus dalam tempoh yang sama."
"Setiap dolar yang dibelanjakan untuk pengangkutan bermakna kurang sedolar diperuntukkan untuk perbelanjaan lain - seperti sekolah, jagaan kesihatan dan keselamatan," kata Encik Khaw, yang juga Menteri Penyelaras bagi Prasarana.
Belanjawan MOT adalah yang kedua tertinggi dalam kalangan kementerian lain, selepas Kementerian Pertahanan, tetapi lebih tinggi berbanding Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Negara dan Kementerian Pendidikan, tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.