Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sylvia Lim enggan mohon maaf, setakat akui dakwaan 'lihat reaksi rakyat' mungkin tidak benar

Pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim pada Khamis (8 Mac) memberi respons kepada permintaan Ketua Dewan Grace Fu di parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Mar 2018 04:33PM Dikemas Kini : 08 Mar 2018 10:34PM

SINGAPURA: Pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim pada Khamis (8 Mac) memberi respons kepada permintaan Ketua Dewan Grace Fu di parlimen, supaya beliau memohon maaf kepada ahli dewan kerana mendakwa pemerintah mahu "melihat reaksi rakyat" sebelum mengumumkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau bagaimanapun enggan berbuat demikian, tetapi mengakui "keraguannya", yang menyebabkan beliau membuat komen berkenaan mungkin tidak benar. Kenyataan tersebut turut diakui setiausaha agung WP Low Thia Khiang.

Bercakap di awal sidang parlimen pada Khamis (8 Mac), Cik Lim merujuk kepada beberapa laporan media dan komen ahli ekonomi yang mendorongnya berasa ragu bahawa pemerintah merancang untuk menaikkan GST lebih awal daripada garis masa yang ditetapkan, iaitu antara tahun 2021 hingga 2025.

"Pemerintah menyumbang kepada kesangsian ini selepas ia tidak menolak laporan dan ramalan ahli ekonomi mengenai kenaikan segera GST," katanya. "Berdasarkan urutan kejadian, saya yakin pemerintah mungkin berniat untuk menaikkan GST semasa Belanjawan ini. Bagaimanapun, semasa perdebatan hangat di akhir Belanjawan, saya menyatakan keraguan saya dengan jelas.

"Dalam berbuat demikian, saya yakin saya sedang menjalankan tugas saya sebagai seorang Anggota Parlimen bagi menyampaikan keprihatinan, reaksi dan kebingungan orang ramai. Saya tidak menuduh pemerintah tidak jujur seperti yang didakwa, dan tidak juga berniat menuduh pemerintah bersikap tidak jujur."

Cik Lim turut berkata: "Saya tidak boleh terima andaian beberapa Anggota Parlimen PAP terhadap kata-kata dan niat saya, semata-mata berdasarkan tafsiran mereka, yang terlalu sensitif.

"Memandangkan pemerintah kini menyangkal sebarang niat untuk menaikkan GST dengan segera, sekarang saya boleh terima bahawa keraguan saya mungkin tidak benar," katanya.

Sebagai memberi respons kepada Cik Lim, Cik Fu berkata beliau "benar-benar kecewa" seseorang yang berpengalaman seperti Cik Lim akan menuduh pemerintah bersikap tidak jujur, dan berkata tingkah laku Cik Lim mencerminkan "piawai rendah" Parti Pekerja dan anggotanya.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat juga bercakap, sambil mengatakan beliau boleh terima bahawa dalam perdebatan hangat itu Cik Lim mungkin mengeluarkan kata-kata tanpa niat, tetapi "hanyalah wajar dan mulia" bagi Cik Lim menarik balik dakwaan "melihat reaksi rakyat", selepas memeriksa faktanya.

Sambil menimbangkan isu tersebut, ketua WP, Encik Low berkata jika pemerintah tidak berniat untuk menaikkan GST lebih awal, "tidak salah" jika ia dinyatakan lebih awal bahawa pemerintah tidak berniat menaikkan GST pada Belanjawan ini.

"Itu mungkin akan menjernihkan keadaan, dan kebingungan dalam kalangan masyarakat, tentang spekulasi yang anda berdiam diri tentang kenaikan GST, tanpa menyatakan jenis cukai tersebut," katanya.

"GST adalah bentuk cukai, dan itu menyumbang kepada kebingungan orang ramai, sekaligus menyebabkan kemunculan tanggapan itu.

Encik Low juga berkata ia kini "jelas pemerintah tidak berniat untuk menaikkan GST pada waktu itu" dan bahawa "keraguan Cik Lim tidak benar pada waktu itu" juga. 

Sumber : CNA/IM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan