Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem wajib pengurusan e-sisa berkuat kuasa jelang 2021

Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) akan menguatkuasakan sistem wajib bagi pengurusan sisa elektronik dan elektrik menjelang tahun 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Mar 2018 05:26PM Dikemas Kini : 07 Mar 2018 11:26AM

SINGAPURA: Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) akan menguatkuasakan sistem wajib bagi pengurusan sisa elektronik dan elektrik menjelang tahun 2021.

Demikian diumumkan oleh Menteri Negara Kanan Amy Khor hari ini (6 Mac).

Sistem itu akan meliputi lima kategori utama produk - teknologi infokom, seperti telefon bimbit dan komputer; panel-panel solar; bateri; lampu dan peralatan rumah yang bersaiz besar seperti peti sejuk, alat hawa dingin, mesin basuh dan alat pengering pakaian.

"Keseluruhannya, produk-produk itu merangkumi hampir 90 peratus e-sisa di Singapura," kata Dr Khor.

Sistem itu berfungsi melalui pendekatan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) - yang dilaksanakan di negara-negara seperti Sweden dan Korea Selatan - di mana para pengilang dan pengimport diwajibkan mengambil semula sebahagian daripada produk yang dijual di pasaran.

Bersama dengan Pertubuhan Tanggungjawab Pengeluar (PRO) yang diberi lesen oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), mereka mesti mengendalikan pengumpulan, pengangkutan dan perawatan e-sisa dengan betul.

Para pengeluar alat elektrik dan elektronik boleh bekerjasama untuk membangunkan PRO mereka sendiri.

Dr Khor menjelaskan: "Contohnya, PRO akan bekerjasama dengan para penjual peralatan elektrik dan elektronik untuk menubuhkan pusat-pusat pengumpulan e-sisa di dalam kedai itu sendiri. Semua penjual juga mesti menyediakan khidmat percuma pengambilan balik produk mereka."

Syarikat-syarikat seperti Courts, Harvey Norman dan Gain City akan menyertai program tersebut, kata beliau.

"Kami akan menetapkan sasaran bagi mengumpulkan e-sisa setelah mengadakan rundingan dengan industri dan menelitinya sebelum menguatkuasakan rangka kerja denda," tambah Dr Khor. Beliau berkata negara anggota Kesatuan Eropah, misalnya, sejauh ini diwajibkan mengumpulkan 45 peratus barangan elektronik yang dijual di pasaran, berdasarkan beratnya.

NEA juga akan memberikan lesen kepada loji kitar semula e-sisa bagi memastikan piawai keselamatan dan sekitaran yang tinggi semasa ia dikendalikan dan diproses.

E-sisa mengandungi bahan-bahan logam kecil yang berbahaya seperti raksa dan kadmium.

"Sistem e-sisa wajib ini akan membantu sekitaran dan ekonomi," kata Dr Khor.

"Sistem EPR sudah membuka peluang perniagaan dan pekerjaan baru dalam industri pengurusan dan kitar semula sisa di negara-negara lain. Di Perancis, misalnya, lebih 3,000 pekerjaan dalam industri kitar semula e-sisa diwujudkan sejak EPR dikuatkuasakan pada tahun 2005.

"Kami akan menyepadukan dan menyokong para pemain kecil industri supaya mereka juga boleh meraih manfaat daripada sistem nasional, termasuk mereka yang bekerja sebagai pekerja karung guni, yang menyediakan khidmat mengumpul barangan."

MEWR juga akan mengkaji amalan-amalan negara lain untuk membangunkan sistem yang cekap dari segi kos dan mengadakan rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan untuk melakar perincian penggubalan undang-undang serta penguatkuasaannya, kata Dr Khor.

Pada bulan-bulan mendatang, NEA juga akan mendapatkan maklum balas berhubung matlamat industri untuk membentuk PRO dan memperoleh idea-idea bagi model khidmat yang sesuai bagi rangka kerja EPR.

MASALAH SEMAKIN BESAR

Singapura menjana e-sisa seberat 60,000 tan setahun - jumlah yang dijangka meningkat dengan gaya hidup yang semakin mewah serta peralatan teknologi yang kian canggih.

"Ia seolah-olah setiap orang di Singapura membuang 73 telefon bimbit setahun," kata Dr Khor.

"E-Sisa mengandungi bahan-bahan logam yang boleh membahayakan sekitaran serta kesihatan awam jika tidak ditangani dengan betul. Sebahagian bahan itu juga boleh dikeluarkan daripada e-sisa yang dikumpulkan dengan cara yang betul dan dikitar semula. Inilah cara yang lebih berdaya mampan berbanding proses menggali logam asli.

Satu tinjauan NEA mendedahkan bahawa sekitar enam peratus penduduk buat masa ini membuang e-sisa mereka dalam tong kitar semula. Kadar pengitaran semula e-sisa oleh perusahaan dianggarkan lebih tinggi, sekalipun begitu "lebih banyak perlu dilakukan", menurut Dr Khor.

NEA juga mendapati e-sisa yang dikumpulkan oleh pekerja karung guni, sama ada diperbaharui dan dijual jika ia boleh digunakan semula atau ditanggalkan bahagian-bahagiannya dan dijual.

Sebahagian besar tidak berupaya memaksimumkan sumber yang diperolehi daripada e-sisa dan hanya mengitar semula bahagian-bahagian yang bernilai tinggi, menurut NEA dalam satu kenyataan media.

Di Singapura, e-sisa yang tidak dikitar semula dibakar, menyebabkan kehilangan sumber serta pengeluaran karbon yang menyumbang kepada pemanasan bumi dan perubahan iklim.

Pengendalian e-sisa oleh pekerja karung guni juga boleh menyebabkan bahaya di tempat kerja dan amalan-amalan sekitaran tidak mematuhi piawai - termasuk penyaliran bahan penyejuk daripada peti sejuk dan alat hawa dingin ke alam sekitar; dan juga tabiat membuang bahagian-bahagian yang mungkin membahayakan bersama-sama dengan sampah biasa.

Bahan logam berat dalam e-sisa juga akan mencemari debu barangan yang dibakar di Pulau Semakau.

Oleh itu, sebuah sistem yang dikawal diperlukan bagi memastikan para pengguna disediakan dengan cara-cara mudah untuk mengitar semula e-sisa dan e-sisa yang dikumpulkan disalurkan ke loji kitar semula yang betul di mana piawai keselamatan dan sekitaran dipatuhi.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan