Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua lebihan belanjawan $7.7 bilion dikongsi dengan rakyat S'pura

Semua lebihan belanjawan yang tidak dijangkakan daripada tahun kewangan 2017 sudah dikongsi dengan rakyat Singapura dalam pelbagai bentuk.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Mar 2018 03:35PM Dikemas Kini : 06 Mar 2018 10:24PM

SINGAPURA: Semua lebihan belanjawan yang tidak dijangkakan daripada tahun kewangan 2017 sudah dikongsi dengan rakyat Singapura dalam pelbagai bentuk.

Menteri Kedua Kewangan Lawrence Wong berkata demikian di Parlimen hari ini (6 Mac), sambil menegaskan bahawa Bonus SG tidak boleh dilihat "secara berasingan".

Seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negara, Singapura dijangka meraih lebihan belanjawan sebanyak $9.61 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac.

Jumlah itu empat kali ganda lebih tinggi berbanding unjuran rasmi sebanyak $1.91 bilion. Ini sebahagian besarnya diperolehi menerusi sumbangan-sumbangan besar badan berkanun dan jumlah cukai setem yang lebih tinggi.

Keseluruhan tambahan $7.7 bilion melebihi anggaran rasmi dikongsi dengan rakyat Singapura dalam pelbagai cara dan bukan setakat Bonus SG $700 juta, tegas Encik Wong.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada saranan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Azmoon Ahmad, supaya Pemerintah berkongsi lebih banyak daripada lebihan belanjawan.

"Kita tidak menyimpan lebihan. Kita berkongsi semuanya dengan rakyat Singapura tetapi dalam pelbagai bentuk," kata Encik Wong semasa membahaskan peruntukan Belanjawan bagi kementeriannya hari ini.

"Sebahagian daripadanya akan digunakan untuk keperluan masa akan datang. Sebahagian lain pula dibelanjakan untuk keperluan sekarang dan sebahagian lagi dikongsi menerusi pemindahan langsung, seperti Bonus SG," tambah beliau, sambil menggesa supaya lebihan itu dilihat "secara menyeluruh".

Encik Wong kemudian merujuk kepada dana $5 bilion yang diketepikan bagi Dana Prasarana Kereta Api "yang akan memberi manfaat kepada semua penumpang kereta api", manakala $2 bilion digunakan sebagai subsidi premium dan sokongan dalam bentuk lain apabila semakan ElderShield selesai.

"Subsidi-subsidi premium bagi rakyat Singapura bergaji rendah dan golongan pertengahan akan memastikan skim ElderShield dipertingkat kekal dimampui ramai dan ia secara langsung dapat dimanfaatkan oleh individu-individu itu dan keluarga mereka."

Lantaran itu, Bonus SG, yang mengagihkan sehingga $300 bagi setiap rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada tahun ini tidak seharusnya dilihat sebagai "agihan yang berasingan".

Sebaliknya Encik Wong merujuk kepada contoh bantuan sosial sedia ada, seperti Baucar GST, Rebat U-Save dan Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC).

Sepanjang beberapa tahun lalu, Pemerintah juga sudah memperingkat skim-skim tetap dalam pelbagai sektor, seperti perumahan dan jagaan kesihatan, dengan lebih banyak bantuan disasarkan kepada kumpulan masyarakat berpendapatan rendah.

"Sokongan yang kami sediakan buat rakyat Singapura yang memerlukan bantuan menjangkaui Bonus SG dan skim-skim bantuan secara langsung itu," kata beliau.

Dalam ucapannya, Encik Wong juga menyentuh tentang pendekatan pembiayaan keseluruhan Pemerintah dan menekankan, meskipun ia menimbangkan untuk membuat pinjaman bagi projek-projek prasarana tertentu, ia akan "melakukannya secara berhemat dan memilih".

Ini bermakna ia akan "membuat pinjaman bagi projek-projek sesuai", yang menjana aliran pendapatan mencukupi pada masa akan datang untuk melunaskan pinjaman tersebut, menurut Encik Wong. Salah satu contoh projek seumpama itu adalah Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, tambah beliau.

"Jika kita tidak berhemat dan memilih apabila membuat pinjaman, kita mungkin dibebani kos faedah yang semakin meningkat dan itu bukanlah sesuatu yang mahu kita lakukan."

Oleh itu, tetap akan ada projek-projek prasarana yang akan terus dibiayai Pemerintah menerusi perbelanjaan pembangunan dari belanjawan tahunan, kata Encik Wong.

Bagi Tahun Kewangan 2018, perbelanjaan pembangunan "tinggi sedikit" sekitar 28 peratus daripada keseluruhan Belanjawan, tambah Encik Wong.

Pada masa akan datang, perbelanjaan pembangunan akan meningkat di tengah-tengah pelaburan berterusan dalam projek-projek prasarana.

Sementara itu, perbelanjaan operasi juga dijangka meningkat didorong oleh pembiayaan bagi sektor-sektor seperti jagaan kesihatan dan keselamatan.

"Kami akan terus memantau perbelanjaan antara operasi dan pembangunan. Ia tentang keseimbangan. Penting untuk kita mengimbanginya," kata Encik Wong.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan