Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis S'pura perkenal inisiatif baru siasatan yang tertumpu kepada isu masyarakat

Satu inisiatif baru yang dipanggil Skim Bantuan dan Rujukan Masyarakat Home Team (HT CARES) akan diperkenalkan dalam siasatan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis S'pura perkenal inisiatif baru siasatan yang tertumpu kepada isu masyarakat

Gambar fail polis sedang menjalankan tugas. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 02 Mar 2018 06:50PM Dikemas Kini : 02 Mar 2018 06:53PM

SINGAPURA: Satu inisiatif baru yang dipanggil Skim Bantuan dan Rujukan Masyarakat Home Team (HT CARES) akan diperkenalkan dalam siasatan polis.

Demikian diumumkan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen hari ini (2 Mac).

"Apabila para pegawai kami berdepan dengan individu-individu yang melakukan kesalahan, mereka menyedari terdapat isu-isu dan keadaan rumit lain tentang individu-individu tersebut. Sebahagiannya mengalami masalah perubatan. Sebahagian yang lain pula berdepan kesukaran mencukupkan perbelanjaan. Ada juga yang dibelenggu masalah keluarga," jelas beliau.

"Kami akan mengerahkan para pegawai CARES di setiap Divisyen Polis. Para penyiasat akan mengendalikan aspek 'jenayah', manakala pegawai CARES akan menilai sama ada campur tangan sosial diperlukan untuk menangani isu-isu disebaliknya dalam bentuk kaunseling, bantuan kesehatan mental dan kewangan."

Para pegawai CARES - yang merupakan kakitangan dari Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO) - kemudian akan merujuk pesalah kepada agensi yang sesuai untuk mendapatkan bantuan. Pegawai CARES juga akan memberikan bantuan susulan.

"Kami sedang meneliti inisiatif ini secara terperinci bersama-sama MSF (Kementerian Sosial dan Pembangunan Keluarga) dan kami akan mencuba merintisnya di sebuah Divisyen Polis tahun ini," kata Encik Shanmugam.

SISTEM KEHAKIMAN JENAYAH

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri itu juga mendedahkan maklumat terkini tentang perubahan-perubahan lain dalam sistem kehakiman jenayah Singapura.

Kanun Keseksaan akan dipinda pada tahun ini, dengan semakan yang dilakukan selama dua tahun dijadual selesai "dalam tempoh beberapa bulan mendatang". Setelah itu, orang ramai akan dipelawa untuk memberikan maklum balas.

"Tumpuan utama Semakan Kanun Keseksaan itu akan mempertingkat perlindungan bagi individu yang mudah dianiaya - kanak-kanak; mereka yang mengalami masalah mental; pembantu rumah," kata Encik Shanmugam.

"Hukuman-hukuman kita secara amnya tegas. Namun kami akan tetap melakukan semakan dan berapa banyak bukti yang diperlukan."

Beliau juga berkata Rang Undang-Undang Orang Dewasa yang Mudah Dianiaya akan dibentang di Parlimen tidak lama lagi. Isu berkontroversil berhubung kes rogol dalam perkahwinan juga sedang disemak.

"Ayuh berterus terang, keganasan ke atas kaum wanita adalah salah. Tiada persoalan 'jika' dan tiada 'tetapi' berhubung perkara itu," tegas Encik Shanmugam. "Pemansuhan imuniti bagi kes rogol dalam perkahwinan sedang diteliti."

Selain itu, skim Orang Dewasa Sesuai - di mana para sukarelawan bebas dilatih untuk memberikan sokongan emosi kepada individu yang ditemu bual - bagi suspek bawah umur akan diluaskan kepada lebih banyak unit Polis dan Biro Narkotik Pusat pada bulan April dan termasuk Kastam dan Biro Siasatan Amalan Rasuah.

Rejim Latihan Reformatif bagi pesalah bawah umur juga akan dipertingkatkan lagi.

"Salah satu perubahan itu adalah untuk mengurangkan tempoh penahanan dari 18 bulan sekarang kepada 12 bulan. Ini sejajar dengan pendekatan lebih tersasar yang ingin kami ambil kerana setiap individu mungkin memerlukan tahap campur tangan yang berbeza serta tempoh pemulihan yang juga berbeza-beza," kata Encik Shanmugam, sambil menambah beliau akan menjelaskan tentang rejim tersebut semasa bacaan kedua pindaan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan Jenayah pada hujung bulan Mac.

CEGAH FAHAMAN AGAMA YANG MELAMPAU

Encik Shanmugan juga sekali lagi menekankan pentingnya untuk mencegah ajaran yang memecahbelahkan daripada berakar di Singapura.

"Walaupun hanya segelintir orang yang menyebarkan ajaran radikal, fahaman yang memecahbelahkan ia tetap berbahaya," tegas beliau. "Kami bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan masyarakat, pertubuhan-pertubuhan agama untuk mencuba melindungi masyarakat daripada pengaruh-pengaruh sedemikian."

"Contohnya, Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) menghasilkan video-video online untuk menjelaskan mengapa ideologi ISIS bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam."

Encik Shanmugam juga menekankan bagaimana para pendakwah asing - dari semua agama - yang diketahui menyokong keganasan atau memburuk-burukkan agama lain baik di Singapura mahupun di negara lain, mereka tidak akan dibenarkan menyampaikan ceramah di sini.

Beliau merujuk langkah mengharamkan dua pendakwah asing Kristian pada bulan September 2017 dan dua pendakwah asing Muslim pada bulan Oktober.

"Sebahagian masyarakat menyatakan Pemerintah mengambil tindakan keterlaluan; apa salahnya jika menurut Ismail Menk, mengucapkan 'Selamat Hari Krismas' atau 'Selamat Hari Deepavali' kepada yang bukan Muslim merupakan dosa besar dan kesalahan bagi seseorang Muslim?" ujar Encik Shanmugam. "Keputusan kami dibuat setelah membuat pertimbangan dengan teliti."

Singapura juga tidak terlindung daripada Islamofobia, kata Encik Shanmugam.

"Beberapa insiden sudah berlaku dan kita perlu memantau perkara ini. Kita tidak boleh membenarkan ancaman pengganasan dari negara lain menimbulkan kebimbangan, rasa curiga dan sangsi antara satu sama lain."

"Para pemimpin masyarakat kita sudah melakukan banyak usaha untuk memupuk sikap saling hormat menghormati dan memahami dalam kalangan masyarakat. Kumpulan Bina Keyakinan Antara Kaum (IRCC) adalah salah satu contoh. Pertubuhan Antara Agama (IRO) juga satu lagi contoh."

Encik Shanmugam memuji para pemimpin tempatan kerana menjadi teladan, sambil merujuk kepada Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram, Biskop Anglikan Rennis Ponniah dan mendiang Presiden Singapore Buddhist Lodge Lee Bock Guan.

"Sikap saling menghormati agama lain, kemahuan untuk berkongsi kehidupan antara satu sama lain yang memupuk ruang kehidupan bersama yang harmoni," kata beliau menggulung ucapannya. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan