Skip to main content

Iklan

Iklan

Perbelanjaan pertahanan dikekalkan meski muncul ancaman baru, dedah Ng Eng Hen

Perbelanjaan pertahanan Singapura akan dikekalkan pada paras yang sejajar dengan inflasi - sekitar 3 hingga 4 peratus setiap tahun - meskipun terdapat ancaman-ancaman baru dan perbelanjaan yang kian meningkat dalam kalangan negara jiran, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Mar 2018 01:03PM Dikemas Kini : 02 Mar 2018 10:41PM

SINGAPURA: Perbelanjaan pertahanan Singapura akan dikekalkan pada paras yang sejajar dengan inflasi - sekitar 3 hingga 4 peratus setiap tahun - meskipun terdapat ancaman-ancaman baru dan perbelanjaan yang kian meningkat dalam kalangan negara jiran, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

"Dalam masa sepuluh tahun akan datang, MINDEF (Kementerian Pertahanan) tidak menjangkakan peningkatan pada perbelanjaan pertahanan," katanya dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) hari ini (2 Mac).

Perbelanjaan pertahanan Singapura melonjak dari kurang S$5 bilion pada 1988 kepada S$14 bilion tahun lalu, sekaligus membentuk 19 peratus daripada perbelanjaan pemerintah. Sungguhpun demikian, Dr Ng menarik perhatian bahawa ia jauh lebih rendah berbanding kemuncaknya pada 2005, di mana perbelanjaan pertahanan membentuk sepertiga daripada keseluruh perbelanjaan pemerintah.

SAF berhasil menjimatkan S$200 juta tahun lalu melalui inovasi dan proses kerja yang lebih baik, kata Dr Ng. Malah, penjimatan tersebut adalah yang tertinggi dalam tempoh empat tahun.

"SAF menaik taraf peralatan yang sedia ada bagi mengelak daripada membeli platform-platform baru," kata Dr Ng sambil menarik perhatian bahawa peningkatan dijalankan ke atas aset-aset tentera yang ada sekarang seperti kereta kebal Leopard dan helikopter Chinook.

ANCAMAN BARU

Kesemua ini dilakukan sedang Singapura berdepan dengan ancaman-ancaman baru dalam bentuk pengganasan dan serangan siber. Menurut Dr Ng, serangan siber dijangka "sama dahsyat seperti serangan fizikal."

Sedang emel-emel sulit yang mengandungi perisian hasad disasarkan terhadap para anggota kanan tentera dan jabatan-jabatan yang menguruskan maklumat-maklumat sensitif, MINDEF mengamalkan berbilang pendekatan terhadap pertahanan sibernya, kata Dr Ng.

Ini termasuk program-program seperti Skim Siber NSF dan program membanteras pepijat serta langkah-langkah fizikal seperti mengasingkan sistem-sistem sensitif daripada Internet dan memanfaatkan "pasukan-pasukan merah" bagi mengesan dan menguji kelemahan sistem.

Bagi usaha memerangi pengganasan pula, Dr Ng berkata bahawa Institut Latihan Pertahanan Pulau sudahpun melatih 18,000 askar dalam operasi pertahanan dalam negeri. Mulai tahun ini, rekrut-rekrut yang menjalani Latihan Asas Tentera juga akan dilatih sebagai responden pertama dalam menangani krisis atau insiden keselamatan di luar masa tugas.

Meskipun begitu, Dr Ng berkata bahawa Singapura harus menyertai usaha antarabangsa untuk "membanteras pengganasan dari peringkat awal lagi".

"Kami perlu bekerjasama dengan jiran-jiran ASEAN dalam (usaha) membanteras pengganasan, terutama sekali kerana risiko militan asing melarikan diri daripada Iraq dan Syria kian meningkat," katanya sambil menambah bahawa Singapura bersedia menghulurkan bantuan kepada Filipina bagi melakukan rondaan di Laut Sulu.

Selain itu, Dr Ng berkata bahawa SAF akan terus mengerahkan anggotanya ke Iraq tahun ini dalam usaha menentang ISIS. Ini selepas negara ini menerima permintaan daripada Setiuasaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis untuk menyumbang lebih banyak sumber kepada usaha itu, katanya.

Unit Latihan Antipengganasan SAF bersama-sama dengan tentera Australia dan Britain akan melatih Pasukan Keselamatan Iraq untuk menghapuskan bom buatan sendiri serta menjalankan latihan taktik perang dan senjata. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan