Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pengecualian cukai yang dikurangkan tidak akan banyak menjejas syarikat pemula di S’pura

Meski pengecualian cukai yang dibentangkan dalam Belanjawan 2018, berkurangan berbanding sebelumnya, pengasas syarikat-syarikat pemula tidak bimbang akan perkara ini. Malah, ada yang mengatakan bahawa mereka tidak akan banyak terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengecualian cukai yang dikurangkan tidak akan banyak menjejas syarikat pemula di S’pura

Gambar fail ruang kerja bersama JustCo di Robinson Road. (Gambar: Tang See Kit)

Diterbitkan : 21 Feb 2018 09:25AM Dikemas Kini : 21 Feb 2018 09:27AM

SINGAPURA: Meski pengecualian cukai yang dibentangkan dalam Belanjawan 2018, berkurangan berbanding sebelumnya, pengasas syarikat-syarikat pemula tidak bimbang akan perkara ini. Malah, ada yang mengatakan bahawa mereka tidak akan banyak terjejas.

Menurut para pakar dan usahawan tempatan, perubahan cukai yang bakal berkuatkuasa dalam jangka masa dua tahun ini, akan menjejas syarikat-syarikat pemula yang sudah mula meraih keuntungan.

Selain itu, terdapat inisiatif-inisiatif dan geran-geran lain yang ditawarkan pemerintah. Demikian menurut para pakar dan usahawan yang ditemui Mediacorp.

Dalam kenyataan Belanjawan yang dibentangkan kelmarin (19 Feb), Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata Pengecualian Cukai Pemula (SUTE), yang diperkenalkan pada Tahun Taksiran 2005 bagi menyokong keusahawanan, akan disemak dan dibataskan kepada S$200,000 pertama pendapatan kena cukai sebuah syarikat pemula, berbanding had sekarang sebanyak S$300,000.

Perubahan lain termasuk pengecualian cukai yang dikurangkan bagi S$100,000 pertama pendapatan dari 100 peratus kepada 75 peratus. S$100,000 pendapatan boleh cukai selanjutnya akan mendapat pengecualian 50 peratus.

Pengecualian Cukai separa juga akan diubah bagi mengehadkan konsesi cukai kepada S$200,000 pertama pendapatan boleh cukai. Perubahan ini akan berkuatkuasa pada atau selepas Tahun Taksiran 2020.

Namun, perubahan ini, khususnya SUTE, dijangka tidak akan mempunyai kesan besar kerana kebanyakan syarikat pemula di Singapura "belum lagi perlu membayar cukai". Demikian menurut ketua cukai keusahawanan dan swasta PwC Singapura, Lennon Le.

Syarikat-syarikat pemula yang ditemui Mediacorp juga berkongsi pandangan yang sama.

Kebanyakan syarikat pemula di Singapura berada di tahap awal dan penekanan kuat terhadap pertumbuhan bermakna syarikat pemula biasanya akan menyalurkan semula sebarang keuntungan untuk mengembangkan perniagaan dalam tahun-tahun awal penubuhan mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif MatchMove Shailesh Naik.

Menggunakan syarikat teknologi kewangan pemulanya sebagai contoh, Encik Naik berkata Matchmove masih belum lagi meraih keuntungan dan dijangka berada dalam kedudukan yang sama buat "satu jangka masa". Ia juga akan terus menyalurkan dana untuk membangunkan produk dan mengembangkan pasarannya. Syarikat pemula tempatan itu dibangunkan pada 2014, dan sejak itu sudah menembusi tujuh negara.

"Sebilangan besar tidak memberi tumpuan terhadap keuntungan bagi lima hingga tujuh tahun pertama. Segala keuntungan yang diraih akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan tanpa perlu membuat pinjaman. Itulah model yang sering digunakan para syarikat pemula yang maju."

Dengan itu, Encik Naik berpendapat cukai pengecualian yang dikurangkan berkemungkinan besar akan menjejas syarikat pemula yang baru bertapak dan meraih keuntungan memandangkan pengecualian SUTE dikenakan ke atas syarikat pemula bagi tiga Tahun Taksiran pertama. Mereka yang "hampir membuat tawaran awam awal (IPO)" dan perlu memastikan syarikat mencatat keuntungan, juga akan merasakan bebannya, tambah beliau.

Encik Khoo Kar Kiat, yang memulakan syarikat penghantaran makanan Fastbee.sg sekitar dua tahun lalu, bersetuju dengan pendapat itu.

"Kebanyakan syarikat pemula dalam bidang teknologi tidak mencatat keuntungan pada tahap-tahap awal kerana matlamat mereka adalah untuk menghasilkan produk yang baik dan memberi tumpuan mendapatkan lebih ramai pelanggan. Oleh itu, kesannya seharusnya sedikit."

Namun Encik Khoo menambah, isyarat dari pemerintah "sedikit mengelirukan" kerana pengecualian cukai menyimpang daripada skim-skim sokongan bagi syarikat-syarikat pemula.

Bagaimanapun, sebilangan besar berpendapat pada umumnya sekitaran di sini masih menyokong perniagaan.

Cik Val Yap, pengasas syarikat teknologi insurans PolicyPal, menarik perhatian tentang pelbagai skim yang boleh dimanfaatkan para usahawan sepetinya untuk mendapat dana atau bantuan para pakar.

Misalnya, beliau memohon Geran Pemula ACE dan menerima S$50,000 untuk memulakan operasi pada 2016.

Potongan cukai berganda yang diumumkan dalam Belanjawan 2018 bagi yuran pendaftaran harta intelektual (IP) dan Platform Inovasi Terbuka (OIP) juga langkah "yang sangat baik", kata Cik Yap.

OIP akan menjadi wadah bagi syarikat-syarikat untuk bekerjasama dengan firma infokom dan teknologi untuk membangunkan huraian-huraian digital.

"Kebanyakan syarikat pemula ingin melindungi aset mereka sendiri meski IP dan tanda dagangan menelan belanja yang tinggi," kata beliau. "Bagi OIP, ia satu bentuk sokongan masyarakat yang juga penting."

Cik Gillian Tee, pengasas syarikat pemula penjagaan kesihatan Homage juga mengalu-alukan skim OIP, di samping perubahan pada Cukai Berganda bagi Skim Penyerantauan (DTDI).

Sementara itu, kadar cukai korporat bagi syarikat pemula sebanyak 4.3 peratus merupakan satu lagi "insentif besar", kata Cik Tee merujuk kepada kenyataan belanjawan Encik Heng.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan