Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah harap perbelanjaan NIRC dapat dikekalkan pada 50% seberapa lama mungkin

Pemerintah ingin mengekalkan perbelanjaan bagi Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) pada 50 peratus seberapa lama yang mungkin.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Feb 2018 09:54AM Dikemas Kini : 21 Feb 2018 10:13PM

SINGAPURA: Pemerintah ingin mengekalkan perbelanjaan bagi Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) pada 50 peratus seberapa lama yang mungkin.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Kewangan Indranee Rajah semalam (20 Feb).

Beliau berkata demikian di luar sesi Perbincangan Belanjawan 2018 yang diadakan di Muzium Negara Singapura. Cik Indranee mempengerusikan perbincangan itu bersama pengerusi REACH Sam Tan dalam usaha mengumpul maklum balas berkaitan Belanjawan Singapura 2018. Sekitar 100 penyumbang REACH, belia, golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), anggota akar umbi, kesatuan dan pemimpin perniagaan menghadiri acara tersebut.

Cik Indranee ditanya tentang mengapa bukan perbelanjaan NIRC dinaikkan tetapi Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Menjawab, beliau berkata menaikkan jumlah NIRC kepada antara 60 hingga 70 peratus bermakna perbelanjaan lebih tinggi selain menjejas jumlah pokok akaun tersebut.

"Kami berpendapat 50 peratus adalah satu perangkaan yang wajar. Jika anda memilih jalan mudah, tidak lama kemudian, anda perlu bekerja keras. Dan kemudian anda tidak dapat memastikan akan terus menerus mendapat pulangan yang konsisten sepanjang masa, anda tidak akan dapat menjangkakan keadaan pasaran pelaburan."

"Jadi perkara yang lebih baik jika anda ingin memastikan pulangan konsisten, stabil dan mampan... adalah untuk terus memanfaatkan, tapi mengekalkannya pada 50 peratus, dan kemudian juga menaikkan GST," kata Cik Indranee.

Cik Indranee juga ditanya jika kenaikan GST yang bakal dilaksanakan antara 2021 dengan 2025 diumumkan terlalu awal. Beliau menegaskan ini dilakukan bagi memberi rakyat Singapura lebih banyak masa untuk membuat persiapan, "supaya dapat meguruskan kewangan mereka". Ia juga bagi memastikan rakyat tahu perubahan yang akan berlaku. "Kami ingin berterus terang dengan penduduk Singapura."

Cik Indranee berharap rakyat Singapura akan memahami bahawa apabila GST dinaikkan, wang terkumpul akan akhirnya dipulangkan kepada mereka - dalam bentuk pembangunan dalam sektor penjagaan kesihatan, prasarana, keselamatan dan pendidikan. Beliau juga menyakinkan rakyat Singapura akan ada pakej-pakej serta penambahan bagi skim baucar GST untuk membantu mereka membuat penyesuaian kepada perubahan yang dijalankan.

Antara topik lain yang dibincangkan dalam sesi tersebut termasuk isu mengenai levi amah asing lebih tinggi bermula April 2019. Encik Tan, yang juga Menteri Negara di Pejabat Perdana Menteri merangkap Tenaga Manusia, menarik perhatian kini terdapat 240,000 pembantu rumah asing di Singapura dan jumlahnya dijangka terus meningkat.

"Setiap bulan, MOM menerima beberapa ribu permohonan untuk menggajikan amah asing. Jadi kami melakukan unjuran, dan berdasarkan trend sekarang, sebelum 2020, jumlah pembantu rumah asing di sini akan mencecah 300,000. Selepas 2020, ia mungkin naik kepada 400,000 atau 500,000 orang jika tidak dikawal. Kami juga tidak mahu masyarakat kita, negara kita untuk terlalu bergantung kepada pembantu rumah asing."

Di acara itu, Encik Tan juga mengumumkan REACH akan menganjurkan 12 lagi sesi maklum balas untuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat untuk mendapatkan pandangan mereka.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan