Skip to main content

Iklan

Iklan

Norma gaji pekerja khidmat sosial yang dibiayai Pemerintah, naik hingga 12%

Mulai 1 April, mereka yang bekerja di program-program yang dibiayai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menyaksikan norma gaji mereka naik sebanyak 12 peratus, dedah Menteri Desmond Lee hari ini (7 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:
Norma gaji pekerja khidmat sosial yang dibiayai Pemerintah, naik hingga 12%

Gambar seorang pakar fisioterapi (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 07 Mar 2018 09:24PM Dikemas Kini : 07 Mar 2018 09:29PM

SINGAPURA: Mulai 1 April, mereka yang bekerja di program-program yang dibiayai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menyaksikan norma gaji mereka naik sebanyak 12 peratus, dedah Menteri Desmond Lee hari ini (7 Mac).

Pekerjaan tersebut termasuk kakitangan intervensi awal dan pendidikan khas, pakar psikologi, pekerja sosial, pakar terapi, jururawat dan yang lain-lain.

"Contohnya, seorang guru kanan yang dilatih dalam pendidikan awal keperluan khas, mungkin boleh menjangkakan kenaikan sekitar 8 peratus," kata Encik Lee.

"Keperluan sosial masa depan berkembang dengan lebih rumit dan sengit, dan kami terpaksa meningkatkan permintaaan daripada sektor dan karyawan kami... Bagi memastikan keberkesanan Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO), kita harus terus mengambil mereka yang bagus untuk menyertai dan kekal dalam sektor ini."

Tambah beliau: "Ramai dalam kalangan mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan sosial tidak bekerja hanya kerana duit. Bagi mereka ia adalah satu panggilan untuk berkhidmat. Meskipun begitu, mereka layak untuk menerima gaji yang setanding dan wajar atas sumbangan mereka yang diiktiraf."

Norma gaji merujuk kepada purata gaji kasar dengan pekerjaan yang setanding dalam pasaran pekerjaan, di mana MSF menggunakannya untuk mendapatkan perangkaan dana tenaga manusia yang diperlukan bagi program-program yang dikendalikan VWO di bawah kementerian itu.

Gaji norma disemak semula oleh MSF dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS) setiap tiga tahun. Dalam masa itu, gaji juga akan disesuaikan mengikut rentak pertumbuhan gaji secara purata di pasaran pekerjaan yang lebih luas lagi.

NCSS akan menerbitkan norma-norma gaji ini di dalam garis pandu, di mana VWO disarankan untuk merujuknya, walaupun mereka mendapat kelonggaran untuk menguruskan kewangan dan sumber manusia mereka sendiri.

Kini, sekitar tiga suku pekerja VWO yang mengendalikan program yang dibiayai MSF dibayar gaji mengikut garis pandu tersebut.

"Pembiayaan MSF kepada program-program yang dikendalikan VWO akan naik sekitar S$11 juta, atau 5 peratus, pada Tahun Kewangan 2018," kata Encik Lee.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa Rangka Kerja Kemahiran bagi Perkhidmatan Sosial juga akan dilancarkan lewat tahun ini.

"Rangka kerja ini dibangunkan bersama SSG (SkillsFuture Singapore), VWO dan para karyawan perkhidmatan sosial bagi membantu para karyawan untuk merancang kerjaya mereka dengan lebih baik lagi dan secara proaktif mempertingkatkan kemahiran mereka untuk menepati permintaan sektor," kata Encik Lee.

"Ia akan mengandungi maklumat mengenai prospek kerjaya, kemahiran yang diperlukan bagi pekerjaan utama, juga wadah-wadah pembelajaran untuk membangunkan kemahiran ini."

"Ini dan inisiatif-inisiatif lain menyokong VWO untuk menarik minat dan membangunkan pekerja yang baik. Saya berharap para majikan dan pekerja menggunakan peluang ini sepenuhnya, supaya sebagai satu sektor kami akan lebih kukuh dan dapat menunaikan misi kami dalam perkhidmatan sosial."

Encik Lee turut menambah: "Sektor (perkhidmatan sosial) dan pekerjanya adalah rakan penting dan tidak boleh tidak, dalam misi kita untuk menangani ketidakserasian gaji, mempertingkatkan keluarga dan individu, melindungi mereka yang terdedah kepada bahaya dan memastikan tiada siapa yang tertinggal."  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan